Muhyiddin: Amanah, Warisan harus elak pertembungan di Sabah

Muhyiddin mahu mengelakkkan pertembungan antara Warisan dan parti komponen Pakatan Harapan.

PETALING JAYA: Amanah Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dinasihatkan agar menyelesaikan masalah perebutan kerusi secara berhemah bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya akan datang.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata presiden kedua-dua parti tersebut perlu mencapai kata sepakat sebelum penamaan calon 28 April.

“Amanah ada di sana sebab keluar daripada PAS. Terserah kepada Warisan untuk mencari jalan penyelesaian kepada tuntutan beberapa kerusi yang dibuat oleh Amanah sebagai komponen Pakatan Harapan di Sabah.

“Saya minta budi bicara presiden Warisan dan Amanah untuk berbincang supaya isu tuntutan kerusi selesai sebelum hari penamaan calon begi elak pertembungan,” katanya ketika diminta mengulas permintaan Datuk Seri Shafie Apdal supaya Warisan bertanding di Sabah, manakala Amanah dan PPBM tidak bertanding di negeri itu.

Muhyiddin yang mewakili PPBM memberi jaminan parti itu tidak akan bertanding di Sabah.

“Memang pun kita tidak akan bertanding, kita tidak ada cawangan di sana. Sejak awal lagi PPBM membuat keputusan kita tidak masuk Sabah atau Sarawak jadi tidak berbangkit yang disebutkan presiden Warisan,” katanya.

Terbaharu Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah menegaskan partinya akan bertanding di sekurang-kurangnya 2 kerusi di Sabah walaupun Shafie mendahului permintaannya sebelum ini.

Hamzah menyifatkan Shafie tamak dan menggambarkan akan berlakunya perpecahan undi jika Warisan tidak bertolak ansur.

Mahkamah gantung arahan bubar PPBM

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin memaklumkan PPBM bebas bergerak dalam pilihan raya kali ini selepas mahkamah menggantung arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Peguam saya menyatakan bantahan awal peguam negara terhadap permohonan semakan PPBM telah ditolak. Mahkamah juga menggantung perintah JPPM yang kononnya membubarkan sementara PPBM. Tiada halangan PPBM berfungsi sebagai parti politik yang sah,” katanya.

Beliau menambah PPBM bagaimanapun akan terus menggunakan lambang PKR sebagaimana yang disepakati oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Muhyiddin berkata PPBM akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap JPPM yang didakwa mengeluarkan arahan yang tidak bertepatan dengan undang-undang.

“Ini bermakna PPBM dibenarkan oleh mahkamah untuk meneruskan cabaran terhadap JPPM,” katanya.

PPBM dilaporkan memfailkan satu lagi semakan kehakiman pada 13 April lalu, selepas permohonan terdahulu ditolak mahkamah.

PPBM memohon mahkamah membatalkan perintah pembubaran sementara JPPM.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14