‘Saya tak gentar lawan Muhyiddin’, kata Ismail

Ismail Mohamed berpegang pada kata-kata azimat ‘pantang berundur sebelum berjuang’.

JOHOR BAHRU: Pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh Ismail Mohamed tidak gentar menentang bekas mentornya yang kini Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin di kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ismail, 47, berkata keyakinannya berdasarkan pada kata-kata azimat yang menjadi pegangannya “pantang berundur sebelum berjuang”.

Menurutnya, peluang “bersemuka” dengan bekas timbalan presiden Umno dan penyandang kerusi Parlimen itu menyemarakkan semangatnya untuk bekerja keras demi kepentingan rakyat khususnya masyarakat Pagoh.

“Kita tahu selama ini semangat BN sememangnya kuat di Parlimen Pagoh. Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk bertanding pada PRU14 ini. Penghargaan itu akan saya zahirkan dengan usaha keras untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Johor di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, hari ini.

Ismail yang juga pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri adalah penyandang kerusi DUN Bukit Serampang (kini dikenali sebagai Bukit Kepong) dan bertukar bertanding di kerusi Parlimen pada PRU kali ini.

Pada PRU13, Muhyiddin ketika itu bertanding atas tiket BN dan Umno mengalahkan calon PAS, Mohamad Rozali.

Sementara itu, Datuk Tan Cher Puk daripada MCA yang dicalonkan semula untuk bertanding kerusi DUN Johor Jaya berkata beliau yakin sokongan masyarakat di kawasan itu kini memihak kepada BN memandangkan wakil rakyat pembangkang sebelum ini gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Dalam 5 tahun ini, rakyat nampak siapa yang masih bersama mereka setiap hari dan bagaimana pihak di sebelah sana terus hilang selepas pilihan raya dan kemudian muncul semula lepas 5 tahun.

“Jadi, melihat kepada ini, saya yakin rakyat telah sedar dan akan menyokong semula BN pada PRU14,” katanya.

Pada PRU13, Tan kalah kepada calon DAP Liow Cai Tung.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Muhyiddin yakin di Pagoh, ‘doa’ calon BN semoga berjaya