Masa Dr M dah tamat, kata penyandang Langkawi

Nawawi Ahmad berkata pesaingnya dimamah usia menghampiri usia 1 abad.

ALOR SETAR: Masa untuk Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tamat, kata Datuk Nawawi Ahmad yang dinamakan Barisan Nasional hari ini untuk berdepan bekas perdana menteri itu pada pilihan raya 9 Mei ini.

Nawawi walaupun pemikiran Dr Mahathir masih tajam, umur bekas perdana menteri itu dimamah usia yang mendekati 1 abad. Dr Mahathir kini berusia 93 tahun.

“Sudah tentu ada batasan dari segi fizikal, mental dan tenaga kerja. Mungkin 1 hari dia tidak boleh kerja 24 jam sebagaimana orang muda seperti kami,” kata Nawawi.

“Kami menghormati Dr Mahathir, namun begitu orang Langkawi akan pilih wakil rakyat yang boleh kerja siang malam di tempat sendiri.”

Nawawi dipilih semula oleh BN untuk mempertahankan kerusi Langkawi, sementara Dr Mahathir kali pertama bertanding di pulau peranginan itu, selepas menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu selama 7 penggal dari 1974-2008.

“Saya percaya orang Langkawi beri sokongan kepada BN, kerana wakil rakyat dapat menyelesaikan masalah rakyat di bawah,” katanya kepada pemberita di Seri Mentaloon hari ini selepas pencalonannya.

Nawawi gembira pucuk pimpinan parti memberi kepercayaan untuk terus mempertahankan Langkawi dan merasa bertanggungjawab untuk memastikan BN mencipta kemenangan 3-0 di pulau itu. Langkawi termasuk kerusi DUN Ayer Hangat dan Kuah, di mana Mohd Rawi Abdul Hamid dan Nor Saidi Nanyan juga dipilih semula untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Nawawi berkata tidak dapat dinafikan Dr Mahathir mempunyai sisa pengaruh di Kedah, tetapi ini bukan perkara besar.

“Kita tidak dapat menafikan sekumpulan orang tidak berpuas hati dan menyalahkan kerajaan. Kita juga tidak dapat menolak pemimpin pembangkang yang kuat menyokong rakyat, oleh itu rakyat mengambil kesempatan ini.

“(Tapi) seperti yang saya lihat, mungkin lebih kurang riak. Tidak akan ada tsunami,” katanya.

Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Nawawi pilihan yang tepat kerana beliau lama berkhidmat di sana. “Orang Langkawi menanyakan mengapa Dr Mahathir bertanding di Langkawi dan bukan di Kubang Pasu, kerana dia tabur banyak jasa di sana.

“Jadi terdapat tanda tanya, kerana mungkin orang Kubang Pasu tidak suka dia,” katanya.

Ahmad Bashah yakin pengundi Langkawi akan “membuat keputusan yang tepat” dan BN boleh menang dengan majoriti besar.

Pada 2013, Nawawi memenangi 11,861 undi berbanding calon PKR, Ahmad Abdullah dan calon bebas.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14