Pertarungan 5 penjuru bakal berlaku di Labuan

Labuan bakal menyaksikan pertarungan 5 penjuru antara calon BN, PAS, Warisan, Parti Harapan Rakyat Sabah dan calon bebas pada PRU14.

LABUAN: Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan bakal menyaksikan pertarungan 5 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAS, Warisan, Parti Harapan Rakyat Sabah dan calon bebas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ini ekoran pengumuman kepimpinan Parti Harapan di Kota Kinabalu hari ini iaitu parti itu akan memasukkan Labuan dalam senarai 16 kerusi yang akan ditandinginya, bagaimanapun senarai nama calon akan diumumkan esok.

Minggu lepas PAS mengumumkan Penolong Ketua PAS Labuan, Ahmad Junid Mohd Aling, yang berasal dari Kota Belud Sabah sebagai calon parti itu bagi Parlimen Labuan manakala PKR memberi laluan kepada Warisan untuk meletakkan calon di pulau bebas cukai itu yang diumumkan minggu hadapan.

Seorang calon bebas juga dipercayai akan memasuki gelanggang bagi mencabar kekuatan calon BN di Parlimen Labuan.

Calon BN Datuk Rozman Isli akan mempertahankan kerusi Parlimen Labuan yang dimenanginya pada PRU13 lalu.

Seorang penganalisis politik, Dr Romzi Ationg berkata pilihan raya Labuan kali ini lebih meriah dengan adanya lebih ramai pembangkang memasuki gelanggang pertarungan nanti.

“Bagaimanapun ini dijangka memberi kelebihan kepada calon BN yang tidak goyah manakala pembangkang kelihatannya tidak bersatu.

Dr Romzi berkata dengan adanya tiga calon dari parti pembangkang dan mungkin seorang calon bebas undi akan berpecah, namun kelebihan tetap kepada calon BN.