Calon PAS Titiwangsa mahu pindah Zouk dari kawasan majoriti Melayu

Calon PAS, Mohammad Noor Mohammad (dua dari kanan) berkata, beliau mempunyai 60% peluang untuk menang di Parlimen Titiwangsa.

KUALA LUMPUR: Calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Mohammad Noor Mohammad mahu memindahkan pusat hiburan terkemuka di ibu kota, Zouk dari kawasan majoriti Melayu yang dianggapnya tidak menghormati sensitiviti Islam dan anak muda mungkin terjebak gejala sosial.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan itu berkata, Zouk tidak sesuai dibuka di Jalan Tun Razak yang terletak di bawah Parlimen Titiwangsa kerana statistik menunjukkan kerusi itu mempunyai 71% pengundi Melayu.

Tambahan, katanya, lokasi pusat hiburan itu juga membawa masalah kesesakan lalu lintas teruk kepada penduduk setempat, khasnya pada waktu malam.

“Dari jam 10 malam ke atas, kita boleh lihat sendiri kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan dan menyusahkan penduduk yang mahu masuk ke kawasan Desa Pandan.

“Lebih menyedihkan terdapat anak muda Islam yang turut menjadikan lokasi itu sebagai tempat berhibur sehingga awal pagi,” katanya pada sidang media di markas PAS di Desa Pandan.

Mohammad pernah bertanding di Titiwangsa sebelum ini, tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan kelebihan 1,513 undi pada 1999 dan majoriti 11,815 undi pada 2004.

Bagaimanapun, beliau yakin PAS boleh menang di Titiwangsa kali ini kerana mendakwa BN dan Pakatan Harapan (PH) menghadapi masalah dari segi pemilihan calon dan perebutan kerusi.

“Mula-mula kita rasa peluang 50-50, tetapi sekarang kita yakin 60% boleh menang.”

Mohammad bagaimanapun menyifatkan PH sebagai pengacau kerana meletakkan calon di Titiwangsa yang boleh menjejaskan peluang PAS memenangi kerusi itu.

Beliau mendakwa tindakan menurunkan Rina Mohd Harun daripada PPBM hanya akan memberi kemenangan mudah kepada BN.

“Rina juga bekas ketua Puteri Umno Sepang. Jika betul-betul mahu pembangkang menang, tidak perlu letak calon.

“Bagi PAS lawan dengan BN, baru boleh menang sebab Titiwangsa ini merupakan kawasan PAS sejak 1986.”

Pada 21 April lalu, pimpinan akar umbi PH di Titiwangsa didakwa tidak senang dengan pencalonan Rina yang dikatakan akan menyebabkan BN menang mudah.

Difahamkan, lebih separuh daripada ketua pusat daerah mengundi di Titiwangsa membantah pencalonan ketua Wanita PPBM itu di kerusi Parlimen berkenaan untuk menentang calon BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.