Kenapa Mat Sabu perlu kerusi campuran selamat

Sumber dalaman parti berkata, Mat Sabu mungkin diterima baik oleh pengundi di kerusi pinggir bandar.

PETALING JAYA: Amanah memerlukan Presidennya, Mohamad Sabu yang terkenal dengan panggilan Mat Sabu, menjadi wakil di Parlimen atau parti itu ibarat ayam tidak berkepala, kata sumber dalaman Amanah yang mempertahankan keputusan meletakannya di kerusi Parlimen Kota Raja, Selangor.

Dengan pemimpin utama yang lain dalam Pakatan Harapan (PH) turut bertanding menentang pemimpin Barisan Nasional, timbul persoalan mengapa Mat Sabu tidak memberi saingan sengit kepada BN.

Bagaimanapun, sumber dalaman Amanah memberitahu FMT, Mat Sabu kalah 2 kali di kawasan majoriti Melayu sebelum ini, walaupun berlaku gelombang pengundi menyokong gabungan pembangkang dahulu, Pakatan Rakyat.

Parlimen Kota Raja dianggap kerusi selamat kerana mempunyai hampir 50% pengundi Melayu.

“Prestasinya tidak baik di kerusi majoriti Melayu dan beliau kalah pada 2008 dan 2013 walaupun rakyat prestasi Pakatan Rakyat agak baik ketika itu,” kata sumber dalaman Amanah.

“Terdapat pengundi Melayu yang signifikan di Kota Raja, tetapi ia adalah kerusi pinggir bandar dan kemungkinan orang bukan Melayu akan sokong Mat Sabu kerana beliau bertanding dalam gabungan PH,” kata sumber itu.

Pada 2008, Datuk Razali Ismail dari BN mengalahkan Mat Sabu dengan majoriti 628 undi di Kuala Terengganu yang mempunyai 88% pengundi Melayu. Pada 2013, kerusi itu dimenangi Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah daripada PAS. Beliau kemudian menyertai Amanah.

Pada 2013, Mat Sabu bertanding di Pendang, Kedah, tetapi kalah dengan kelebihan 2,638 undi kepada wakil BN, Datuk Othman Abdul. Kerusi itu juga mempunyai 88% pengundi Melayu dan bertukar tangan antara PAS dan BN sejak 1986.

Kota Raja yang diwujudkan sejak 2004, kekal mempunyai hampir 50% pengundi Melayu. Pada mulanya ia dimenangi BN, kemudian PAS pada 2008 dan 2013 dengan majoriti lebih 20,000 undi.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub memberitahu FMT, banyak faktor dipertimbangkan semasa memilih calon pilihan raya.

“Peluang menang salah satu faktor. Dalam kes Mat Sabu, beliau tokoh negara, jadi beliau boleh bertanding di mana-mana kerusi yang beliau mahu.

“Saya rasa paling penting bukanlah sama ada beliau menang atau kalah, tetapi sama ada pengundi mahukannya di sana dan kami fikir beliau diterima baik pengundi di Kota Raja.

“Anda perlu ingat Amanah tidak diberikan banyak kerusi. Kami hanya mempunyai 27 kerusi Parlimen, jadi kami harus lihat di mana presiden kami paling sesuai dicalonkan.”

FMT gagal menghubungi Mat Sabu untuk mendapatkan komennya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14