Ku Nan percaya ramai lagi individu layak jadi presiden MyPPP

Tengku Adnan mengingatkan semua parti komponen BN untuk tidak melemahkan sesama komponen.

PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor percaya terdapat individu yang lebih layak untuk menerajui Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) selepas Tan Sri M Kayveas dilapor dilucutkan jawatan presiden.

Setiausaha agung BN berkata Kayveas tidak sepatutnya bertegas mahu bertanding di Parlimen Cameron Highlands walaupun sudah maklum kerusi berkenaan milik MIC.

“Dia tetap mahu Cameron Highlands walaupun bukan sahaja saya tetapi Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dah cakap Cameron Highlands untuk MIC.

“Kalau dia keluar dari parti itu, ada banyak lagi orang boleh terjadi parti itu, ada banyak orang yang layak untuk terajui parti itu,” katanya lapor BNBBC.

Terdahulu, Setiausaha Agung MyPPP Datuk Simon Sabapathy mengumumkan Kayveas dilucutkan jawatan susulan surat bertarikh 24 April daripada Tengku Adnan, selepas menyandang jawatan itu lebih 2 dekad.

Surat itu menyatakan beberapa tindakan dan kenyataan dibuat Kayveas berpotensi merosakkan hubungan myPPP dan parti komponen BN yang lain.

Tengku Adnan mengingatkan parti-parti komponen BN untuk saling membantu antara satu sama lain.

“Kita tidak mahu mana-mana parti komponen yang melemahkan di antara sesama komponen,” katanya.

Kayveas sebelum ini pernah melobi Parlimen Cameron Highlands yang dimenangi presiden MIC ketika itu, Datuk Seri G Palanivel pada 2013. Beliau dilaporkan turun padang dan menganjurkan program bersama rakyat kawasan itu.

Kerusi itu bagaimanapun akan ditandingi Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh yang juga aktif di situ.

Kayveas ditawarkan kerusi Parlimen Segambut di Kuala Lumpur tetapi menolaknya dengan alasan tawaran itu terlalu dekat dengan pilihan raya umum dan sukar untuk memenangi kerusi tersebut.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/04/25/kayveas-tak-letak-jawatan-dia-dilucutkan-kata-myppp-2/