Nik Nazmi pindah dari DUN Seri Setia ke Parlimen Setiawangsa

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pembangkang perlu memenangi kerusi marginal seperti Setiawangsa untuk memudahkan penukaran kerajaan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau berpindah dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang dimenanginya sejak 2008 ke Parlimen Setiawangsa pada pilihan raya umum ke-14.

Katanya, walaupun Barisan Nasional (BN) tidak pernah tewas di Setiawangsa, tetapi Pakatan Harapan (PH) perlu memenangi kerusi marginal seperti itu untuk memudahkan usaha mereka menawan Putrajaya.

“Saya mahu mendengar pendapat anda mengenai cara kita boleh menjadikan kawasan ini – dan juga Kuala Lumpur, sebagai bandar dan ibu negara Malaysia – sebuah tempat yang kita boleh banggakan.

“Saya tidak sabar jumpa anda ketika berkempen – dan insya Allah – memberi khidmat kepada anda dalam Parlimen akan datang di bawah pentadbiran PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata, tidak mudah untuk beliau meninggalkan kerusi DUN Seri Setia yang disandangnya sejak 2008.

“Tetapi saya pergi dengan mengetahui Seri Setia ialah kawasan yang lebih baik, terima kasih kepada pencapaian kerajaan Pakatan sejak 2008.”

Pada 2008, Nik Nazmi menang di Seri Setia dengan kelebihan 2,863 undi mengalahkan calon BN, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN itu pada 2013 dengan menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Halim Samad dengan majoriti 4,663 undi.

Kerusi Parlimen Setiawangsa kini dipegang Datuk Ahmad Fauzi Zahari dari BN.

Nik Nazmi dijangka berdepan saingan 3 penjuru antara calon BN yang juga Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique dan calon PAS.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14