PRM dakwa calon PKR Selangor terlibat tipu tender lombong pasir

Jurucakap PRM Khalid Ismath berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa berhubung penipuan yang dilakukan calon PKR terbabit. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa seorang daripada calon PKR untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor terbabit penipuan tender pengurusan pasir.

Jurucakap PRM Khalid Ismath berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa berhubung penipuan yang dilakukan oleh individu tersebut yang didakwa dijalankan menerusi sebuah syarikat sejak setahun lalu.

Individu ini menubuhkan syarikat yang diberi nama hampir sama dengan nama sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor yang terbabit dalam pengurusan pasir bagi menipu pemaju dan kontraktor yang memohon tender berkaitan pengurusan pasir di negeri itu, kata Khalid kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di pejabat SPRM Selangor.

Menurutnya, mangsa yang membuat bayaran ratusan ribu ringgit kepada syarikat tersebut hanya mengetahui mereka ditipu selepas membuat semakan status permohonan mereka dengan GLC sebenar.

“Syarikat GLC terbabit juga melalui satu surat rasmi pada tahun lalu menafikan penglibatan mereka dalam pemberian tender terbabit, selain menegaskan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau juga mendakwa mangsa membuat laporan polis namun sehingga kini tiada tindakan diambil menyebabkan mereka meminta bantuan PRM.

“Sebab itu hari ini kita hadir ke SPRM untuk minta suruhanjaya melakukan siasatan terhadap semua dakwaan yang membabitkan calon pilihan raya umum ini,” katanya yang berharap siasatan segera dijalankan bagi mengelakkan rakyat ditipu.