Puad keluar JASA, dakwa jasanya tak berbaloi

Puad Zarkashi berkata sumbangannya kepada JASA seperti tidak berbaloi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Datuk Mohd Puad Zarkashi hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), sambil berkata sumbangannya seperti tidak berbaloi susulan namanya tidak muncul dalam senarai calon dari Umno untuk pilihan raya akan datang.

Puad yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata beliau banyak memberi sumbangan dalam mempertahankan dasar kerajaan melalui JASA, yang berperanan sebagai unit propaganda Putrajaya.

“Berakhirlah riwayat saya di JASA,” katanya di Facebook.

“Kalau mahu disebut satu persatu memang banyak yang telah dilakukan sehingga JASA semakin dikenali termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan juga di kalangan pelajar Malaysia di luar negara.”

Puad, yang juga ketua Umno Batu Pahat, sebelum ini mempersoalkan langkah Umno tidak mencalonkannya di kerusi Parlimen itu.

Ia disusuli dengan penjelasan Pemangku Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata keputusan tidak mencalonkan Puad adalah kerana Batu Pahat dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada Umno.

Zahid turut mengkritik Puad di sebalik spekulasi beliau mahu bertanding sebagai calon Bebas.

“Beliau tidak menunjukkan semangat kepartian yang tinggi walaupun dia salah seorang ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua pengarah JASA,” kata Zahid.

Puad hari ini mempersoalkan alasan Zahid untuk tidak mencalonkannya.

“Ramai tokoh lain juga kalah tetapi mereka tetap dapat bertanding kali ini. Saya juga tidak lari,” katanya.

Tambahnya, walaupun banyak menyumbang dalam mempertahankan kerajaan, ia seperti tidak berbaloi, sambil berkata proses pencalonan Umno sudah “rosak”.

Puad mendakwa nama beliau digugurkan pada saat akhir, walaupun sebelum itu dimaklumkan akan menjadi calon oleh Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum BN, Tan Sri Mohamad Fatmi Salleh.

“Pengguguran saya berlaku tanpa perundingan walaupun saya adalah ahli Majlis Tertinggi, ketua pengarah JASA dan ketua bahagian. Sebab itu saya berani mempersoalkan sistem memilih calon kali ini adalah rosak.

“Sebab itu apabila timbalan perdana menteri mendakwa saya digugurkan kerana berlaku kerosakan sehingga sokongan terhadap BN merosot di Parlimen Batu Pahat, maka ia meyakinkan saya sistem memilih calon Umno kali ini adalah rosak dan ‘corrupted’.”