Mukhriz mahu sambung apa yang terhenti di Kedah dulu

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir mahu hidupkan semula strateginya untuk negeri itu jika Pakatan Harapan menang PRU14.

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir ialah bekas menteri besar Kedah selama 2 tahun setengah, sebelum beliau terpaksa meletak jawatan pada awal 2016.

Tempoh berkhidmatnya yang singkat, menurutnya, tidak memberikan masa cukup untuk melaksanakan perkara yang beliau mahu lakukan seperti menyelesaikan isu air dan menjalankan program industrialisasi.

Kini timbalan presiden PPBM, Mukhriz berkata beliau membangkitkan isu-isu itu sekali lagi kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menyelesaikannya.

“Walaupun semasa saya sebahagian daripada kerajaan BN, saya tidak diberikan masa cukup untuk melaksanakannya. Sebagaimana yang anda tahu, perancangan dan pelaksanaan mengambil masa.

“Malangnya, perancangan yang kami sudah kemukakan tidak dilaksanakan oleh menteri besar baru (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah). Beliau tidak melaksanakan tugas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mukhriz yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, berkata mereka berhasrat menawan negeri itu dan memulakan perancangan itu.

“Ia perancangan yang sudah baik. Kami mempunyai strategi yang baik. Ia hasil perbincangan pakar yang bijak di Kedah, untuk memikirkan apa yang terbaik untuk masa depan Kedah.

“Saya yakin apa yang kami tawarkan daripada calon di sini akan direalisasi jika PH diberikan mandat pada PRU14,” katanya.

Mukhriz memenangi kerusi negeri Ayer Hitam pada pilihan raya umum lalu di bawah tiket BN, sebelum dilantik menjadi menteri besar.

Bagaimanapun, pada Januari 2016, kebanyakan pemimpin bahagian Umno berpakat mengisytiharkan mereka hilang keyakinan dalam kepimpinan Mukhriz, lalu membawa negeri itu ke dalam krisis pimpinan yang berlangsung selama 3 minggu.

Ia berakhir apabila Mukhriz mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan ketua eksekutifnya.

Bashah, wakil rakyat Bakar Bata, kemudian mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

Mukhriz kemudian menyertai PPBM yang dipengerusikan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berkenaan isu hutang negeri, Mukhriz berkata hutang Kedah kepada kerajaan persekutuan adalah antara yang tertinggi, satu legasi yang beliau warisi sebagai menteri besar.

Semasa berkhidmat sebagai menteri ebsar, Mukhriz berkata, negeri itu berhutang dengan kerajaan persekutuan lebih kurang RM2.6 bilion, dan kemudian beliau bersetuju membayar hutang itu secara perlahan-lahan selepas dikritik kementerian kewangan atas kegagalannya melakukan sedemikian.

“Waktu itu kami cuba membayar, walaupun sedikit, agar ada pusing ganti untuk kerajaan persekutuan. Selain itu, kami juga menggunakan pendekatan rundingan dengan kementerian untuk cuba mengurangkan hutang ini.

“Terdapat jumlah yang kita cuba runding dengan kerajaan persekutuan agar ia diketepikan. Kami boleh meneruskan rundingan sebegitu, asalkan kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan adalah daripada PH,” tambahnya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14