PH pilih calon MB Terengganu selepas menang

Raja Bahrin (tengah) berbincang dengan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail (kiri) dan wakil Amanah selepas pengumuman calon PH negeri di Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu hanya akan membicangkan calon menteri besar selepas gabungan pembangkang itu berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei nanti.

“Saya rasa perkara itu tidak timbul dan bukan menjadi satu perkiraan kepada gabungan parti pembangkang sekarang, tetapi apa yang berlaku atas keperluan PH yang perlu ditangani dan calon menteri besar itu bukan isu yang perlu kita tangani waktu sekarang,” kata Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah selepas pengumuman calon gabungan pembangkang itu hari ini.

“Apa yang penting kita akan pastikan kita, PH menang terlebih dahulu. Kita memang ada harapan yang agak realistik untuk menang kerana saya tengok 9 hingga 12 bulan lepas banyak perubahan telah berlaku, bukan (hanya) di kalangan ahli Umno, tetapi PAS sendiri dengan tertubuhnya PH.”

Beliau yakin aura Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu memberi kemenangan kepada PH di Terengganu.

Mengenai kemungkinan PH membentuk kerajaan bersama PAS atau BN, Raja Bahrin berkata, ia hanya spekulasi yang tidak mungkin berlaku.

“Saya rasa itu satu spekulasi kerana ini mungkin akan menjadi satu perkara merumitkan dan mengelirukan rakyat,” kata calon PH di Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Batu Burok itu.

Sementara itu, Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris berkata fokus utama PH ialah memastikan Dr Mahathir dapat menjadi perdana menteri, bukannya membincangkan calon menteri besar.

“Sebenarnya kedudukan siapa menteri besar kita putuskan selepas pilihan raya. Kita tak pernah bincang, yang kita bincang sekarang kalau kita menang, perdana menteri dan timbalan perdana menteri ialah Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14