Salleh yakin pengundi Kota Belud terus setia pada BN

Salleh Keruak akan memastikan pembangunan konsisten di Kota Belud.

KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) di Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak yakin pengundi di kerusi Parlimen itu akan terus menyokong gabungan tersebut, hasil kerja baik Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Salleh antara calon yang diumumkan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini.

Beliau adalah adun Usukan, yang bersama kerusi negeri Tempasuk dan Kadamaian, terletak di bawah Parlimen Kota Belud.

Rahman akan bertanding di Parlimen Sepanggar.

Datuk Musbah Jamli akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, Ketua Bahagian Upko Kota Belud, Ewon Benedict akan bertanding di Kadamaian dan bekas adun Usukan, Datuk Japlin Akim akan bertanding semula di kawasan itu.

“Saya yakin majoriti pengundi akan bersama kami kerana kami memastikan pembangunan konsisten di kawasan itu,” kata Salleh kepada FMT.

“Kami gembira wakil rakyat sebelum ini di Kota Belud, Rahman Dahlan, melaksanakan tugasnya dengan baik di sini.

“Apa yang penting adalah meneruskan usaha dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya akan bekerja keras dengan rakan kongsi kami untuk memastikan kawasan Parlimen Kota Belud kekal milik BN.”

Salleh meletak jawatan sebagai speaker DUN Sabah pada Julai 2015 untuk menjadi menteri komunikasi dan multimedia di Kabinet persekutuan, setelah mengangkat sumpah sebagai senator.

Salleh memenangi kerusi DUN Usukan pada pilihan raya umum lepas dengan mendapat 10,879 undi, kelebihan 6,812 undi berbanding calon PKR, Mustapha Sakmud.

Musbah memenangi kerusinya dengan majoriti selesa, manakala Kadamaian dimenangi calon PKR, Jeremy Malajad, yang meninggalkan parti pembangkang itu untuk menjadi wakil rakyat bebas pada 2013.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14