Umno Johor takut ambil risiko?

Barisan calon Umno bakal bertanding di Johor seolah-olah menunjukkan parti itu merasa terancam dengan Pakatan Harapan, kata seorang penganalisis. (Gambar Umno Johor).

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir menyifatkan senarai calon Umno untuk kerusi Parlimen di Johor tidak mengujakan dan berkata ia menampakkan tanda-tanda tidak mahu mengambil risiko.

Pengarah Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, keputusan Umno mengekalkan kebanyakan calon yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menunjukkan parti itu menganggap seruan perubahan Pakatan Harapan (PH) ancaman kepadanya.

“Daripada kajian lapangan, kami dapati pendekatan terbaik Umno ialah bergantung kepada politik personaliti. Ini menyebabkan parti itu tidak dapat mengetengahkan muka baru sebagai calon,” katanya.

“Wujud kebimbangan muka baru tidak cukup berpengalaman dan tidak cukup bekerja di peringkat akar umbi untuk dikenali pengundi.”

Johor yang selama ini dianggap kubu kuat Umno, kini merupakan negeri baris depan PH dalam usahanya menawan Putrajaya.

Walaupun senarai calon PH mengalami perubahan bagi kerusi ditandinginya di peringkat negeri dan menampilkan muka baru di kerusi Parlimen, senarai calon Umno dipenuhi dengan veteran, kecuali Halizah Abdullah yang dicalonkan di Batu Pahat. Halizah merupakan ketua Wanita Umno bahagian itu.

Umno tewas di situ pada 2013 di tangan calon PKR. Ia mencalonkan Datuk Puad Zarkashi, yang pada ketika itu merupakan penyandang kerusi itu.

Calon Umno bagi kerusi Parlimen lain sama ada penyandang atau veteran parti yang dipindahkan ke kerusi baru untuk ditandingi.

Hisomuddin berkata, Umno mungkin mahu meminimumkan risiko sekiranya mencalonkan muka yang sama bagi menghadapi lawan yang bersemangat.

Katanya strategi itu ada kekurangannya, dengan memberikan 2 contoh yang melibatkan 2 timbalan menteri.

Hisomuddin berkata, Datuk Ahmad Maslan, timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri akan mempertahankan kerusi di Pontian, sementara Datuk Nur Jazlan Mohamed, timbalan menteri dalam negeri, mempertahankan Pulai.

“Ahmad Maslan hanya mendapat sokongan pengundi Melayu. Beliau hanya boleh menang sekiranya corak pengundiannya sama seperti PRU13. Pontian boleh jatuh sekiranya keinginan untuk berubah dikongsi oleh ramai pengundi di situ.”

“Nur Jazlan pula terkenal sebagai individu yang selalu bercakap menpertahankan perdana menteri. Beliau juga tidak selamat sekiranya angin perubahan itu kuat melanda.”

Hisomuddin berkata, Umno perlu ingat bahawa popuariti Najib di Johor hanyalah antara 31%-33%.

“Calon yang dilihat sebagai orang Najib akan hadapi masalah sekiranya pengundi muda pulang ke Johor dan memutuskan untuk ‘mengajar’ pemimpin dalam Umno yang dilihat sebagai liabiliti.”

Bercakap tentang peluang PPBM, Hisomuddin berkata, parti itu akan terhindar daripada risiko ditolak walaupun ia masih baru.

“PH berjaya menghidupkan sentimen perubahan yang cukup kuat bagi membolehkan parti komponen berlindung di belakangnya”, katanya.

“Ia berjaya meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak perlu mengundi parti individu, tetapi sebaliknya mengundi perubahan. Oleh sebab itu masalah dalaman PPBM tidak begitu tertonjol,” kata beliau.

Antara 15 penyandang yang akan mempertahankan kerusi masing-masing ialah pengerusi Felda, Tan Sri Shahril Abdul Samad (Johor Bahru), timbalan pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi (Sri Gading), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Timbalan Menteri Di jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar), Menteri Besar Johor, Datuk Khaled Nordin (Pasir Gudang) dan Datuk Hamim Samuri (Ledang).