DAP alu-alukan timbalan KM Pulau Pinang berhijrah ke Johor

Rashid Hasnon akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat.

BATU PAHAT: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata walaupun ramai orang Pulau Pinang meminta bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon kekal, beliau tetap memilih untuk bertanding di Parlimen Batu Pahat.

Sim berkata Rashid seorang wakil rakyat yang dikenali dengan sifat kepimpinan yang berjiwa rakyat dan telah banyak membela nasib orang di Pulau Pinang.

“Terdapat sepanduk di Pulau Pinang dipasang dan meminta beliau (Rashid) kekal di Pulau Pinang.

“Walaupun dia mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam kerajaan negeri tetapi demi membantu permasalahan rakyat beliau sanggup dicalonkan dan menyahut cabaran baru ini,” katanya kepada FMT ketika ditemui di sebuah ceramah Pakatan Harapan Jalan Bayur di sini.

Dalam ceramahnya, Sim merujuk isu pemindahan Kampung Permatang Tok Subuh yang mendapat perhatian Rashid.

Menurutnya, Rashid pimpinan menteri yang tertinggi datang awal membantu keluarga di kampung tersebut daripada diusir.

“Selepas 3 tahun memperjuangkan nasib penduduk kampung itu, akhirnya penduduk menerima ganjaran dari pemaju antara RM25,000 hingga RM44,000 daripada tawaran sebelum ini RM7,000.

“Dia memperjuangkan dan memastikan penduduk kampung mendapat pampasan mereka. Dia seorang yang berpengalaman menangani isu negara,” katanya.

Rashid diarah meninggalkan kerusi negeri di Pulau Pinang, Pantai Jerejak, untuk bertanding di Parlimen Batu Pahat, satu-satunya kerusi Parlimen Johor yang dimenangi PKR pada 2013.

Walaupun dilahirkan di Muar, Rashid memulakan kerjaya politiknya di Pulau Pinang.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau mempertahankan kerusi DUN Pantai Jerejak yang dipegang PKR dan kemudiannya dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri I.

Batu Pahat adalah kerusi campuran dengan 54% pengundi Melayu, 43% Cina dan 1.3 % kaum India.

Walaupun dianggap sebagai tokoh yang kurang dikenali, penyandang kerusi Batu Pahat dari PKR, Idris Jusi menewaskan Datuk Puad Zarkashi yang merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno, dengan majoriti 1,732 undi.

Puad tidak dicalonkan BN pada PRU kali ini. Di tempatnya ialah Ketua Wanita Umno Batu Pahat, Haliza Abdullah.