Veteran Umno Sungai Besar sertai PPBM kerana dihargai

Muslimin dikecam sebagai pengkhianat tapi beliau menggesa pengkritik melihat semula asas perjuangan masing-masing.

SUNGAI BESAR: Selepas lama berkhidmat di Parlimen Sungai Besar bersama arwah Tan Sri Noriah Kasnon yang meninggal dunia pada Mei 2016, Muslimin Yahaya merasakan sudah tiba masanya dia diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab itu.

Harapan itu hanya terjawab tahun ini, melalui PPBM yang diasaskan sekumpulan veteran Umno, selepas 2 kali diketepikan pimpinan sendiri.

“Saya sudah bersama dengan masyarakat di Sungai Besar lebih dari 10 tahun dan turut berikan perkhidmatan bersama Noriah yang sentiasa turun padang,” katanya kepada FMT.

“Tidak semudah itu untuk saya buat keputusan keluar, dan yang pasti bukan kerana kecewa, tetapi saya dihargai oleh orang yang menawarkannya kepada saya.”

Tindakan Muslimin menyambut pelawaan PPBM 2 hari sebelum penamaan calon menjadi perbualan dalam kalangan ahli dan pimpinan Umno.

Bekas ahli jawatankuasa Umno Sungai Besar ini berkata dia dikecam sebagai pengkhianat, petualang, duri dalam daging dan musang berbulu ayam, tapi “kita kena lihat semula asas perjuangan masing-masing,” katanya.

Muslimin mengingatkan mewakili PPBM bererti memilih jalan yang sukar kerana Barisan Nasional cukup kuat di Sungai Besar dan penyandang sekarang, Budiman Mohd Zohdi, “seorang gergasi di sini, apatah lagi dengan jentera BN yang besar”.

“Tetapi saya yakin politik dahulu dan politik sekarang berbeza,” katanya.

“Pengundi melihat kepada isu, kemampuan yang boleh membahagiakan masyarakat. Zaman menyogok pengundi dengan janji pembangunan sudah tidak boleh diterima… bendera PKR yang berkibar di Selangor ini bukannya bendera pembangkang tapi kerajaan, jadi banyak kelebihan yang saya ada.”

Pada pilihan raya umum ke-13, BN hampir tewas di Sungai Besar dengan kelebihan 399 undi dalam pertandingan 1 lawan 1 ditentang PAS.

Kedudukan BN kembali selesa pada pilihan raya kecil 2016, apabila Budiman menggandakan majoriti undian, kepada 9,191 undi, dalam pertandingan 3 penjuru menentang PAS dan Amanah.

Menuju PRK 2016, nama Muslimin disebut-sebut sebagai calon sesuai mengisi tempat Noriah. Namun pimpinan parti ketika itu memilih Budiman, yang merupakan Adun Sungai Panjang ketika itu.

Namanya sekali lagi disebut-sebut untuk PRU14, tetapi parti memutuskan Budiman akan mempertahan kerusinya.

“Penyokong saya banyak berkata, apabila kali pertama tidak dicalonkan mereka terluka, apabila tidak dicalonkan kali kedua, kekecewaan menjadi luka,” katanya.

Dalam pertemuan ini, Muslimin tidak mahu berkongsi pandangan tentang bekas partinya sekarang, dan juga tidak mahu dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, media melaporkan Muslimin sebagai pegawai khas di pejabat TPM.

“Saya tidak mampu untuk komen (mengenai Umno). Bahkan, saya minta jangan kaitkan (dengan Zahid), saya hormati dan sayangkan dia,” katanya.