Melayu di Ayer Hitam masih sokong BN, lain sedikit golongan muda

Liew Chin Tong, dilihat di sini sedang bermesra dengan penyokong BN, mengharapkan sekurang-kurangnya 15% undi Melayu bertukar kepada DAP kali ini.

AYER HITAM: Rata-rata pengundi Melayu di Ayer Hitam masih menyokong Barisan Nasional (BN) walaupun calon DAP di kerusi Parlimen itu, Liew Chin Tong yakin dapat menarik sekurang-kurangnya 15% sokongan pengundi Melayu.

Peniaga makanan Norrizam Wahid, 42, berkata beliau masih mahu BN kekal memerintah berikutan percaya parti itu sudah banyak berjasa dan membangunkan negara.

Norrizam Wahid

“Dari segi pembangunan, kemudahan jalan raya dan sebagainya, bagi saya biar BN dikekalkan. Kalau pembangkang memerintah kita belum pasti mereka dapat buat apa yang kerajaan masa ini telah buat.

“Dari segi aspek agama, kita kalau boleh mahu negara dipimpin orang Islam. Kita tak nak negara kita jadi seperti Singapura dan Pulau Pinang. Kita tak nak macam itu. Walaupun dengar macam-macam cerita kerajaan sekarang, bagi saya kerajaan kita sudah beri kesenangan masa ini pada rakyat,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Pasar Malam Ayer Hitam semalam.

Norrizam yang sudah 20 tahun menetap di Ayer Hitam berkata orang Melayu di kawasannya tidak semua menyokong Pakatan Harapan (PH) atau PAS.

Bagaimanapun beliau tidak menolak mungkin ada segelintir pengundi Melayu yang sudah beralih kepada pembangkang.

“Kalau lihat situasi sekarang di Ayer Hitam, kebanyakan pengundi Cina tolak BN. Mereka kata kalau boleh tak nak BN. Kalau majoriti Melayu pula kata, biarlah BN kekal, sebab takut yang memerintah bukan orang Melayu,” katanya.

Liew akan bertanding di Ayer Hitam, kerusi yang berulang kali berjaya dipertahankan MCA selepas ditentang PAS yang sebelum ini sekutu PKR dan DAP.

Liew Chin Tong dari DAP bersalaman dengan seterunya Wee Ka Siong ketika berkempen di Ayer Hitam.

Datuk Seri Wee Ka Siong menang berturut-turut 3 kali, tetapi majoritinya semakin mengecil.

Pada 2004, Wee menang dengan majoriti 15,763 undi, diikuti 13,909 pada 2008, dan hanya 7,310 pada PRU lalu.

Jasni Amin, 44, seorang peniaga menjual pakaian di Ayer Hitam yakin 90% pengundi Melayu di Ayer Hitam masih menyokong BN.

“Wee sudah lama di sini. Mereka kenal Wee sebab dia banyak masuk kawasan kampung-kampung bertemu penduduk. Jadi mudah untuk orang Melayu terima Wee,” katanya.

Nor Haniza Jamal.

Nor Haniza Jamal, 37, agen penjual Coway, berkata “tsunami Melayu” tidak akan berlaku di Ayer Hitam.

Beliau berkata orang Melayu di Ayer Hitam masih kuat menyokong BN dan Wee dianggap masih popular.

“Tetapi siapa menang susah nak ramal,” katanya. “Kebanyakan orang di sini sokong BN. Kalau pengundi Cina 50-50. Tidak semua sokong PH.”

Lain sedikit dengan golongan muda di Ayer Hitam yang ditemui FMT, rata-rata boleh menerima pembangkang khususnya PH.

Din.

Peniaga makanan yang hanya ingin dikenali sebagai Din berkata orang muda masa ini sememangnya sudah boleh menerima pembangkang khususnya PH walaupun sokongan Melayu sekarang terbahagi kepada 5 parti iaitu Umno, PAS, PKR, PPBM dan Amanah.

“PH tidak ada masalah dari sudut ekonomi. Bila orang dalam BN sudah muak dengan keadaan sekarang, nak belanja susah dan rasa beban macam saya meniaga saya rasa susah, mereka akan ke PH atau PAS.

“Siapa menang kita tidak tahu. Tetapi kalau orang yang hidup mati BN, memang akan sokong BN,” katanya.

Ahmad Haikal, 27, seorang peniaga pakaian, juga akui golongan muda di Ayer Hitam sudah banyak menyokong pembangkang.

Katanya, orang muda di Ayer Hitam juga tidak setuju dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan kepada rakyat.

“Parti BN tak ada masalah tetapi pemimpin atasan bermasalah,” katanya.

Dalam pada itu, Liew ketika ditemui FMT semasa melakukan “walkabout” di Pasar Malam Ayer Hitam semalam tetap optimis PH boleh menarik sokongan sekurang-kurangnya 15% pengundi Melayu di Ayer Hitam.

Beliau berkata setakat ini maklum balas pengundi Melayu yang diterimanya baik dan merasakan mereka mahu satu perubahan.

“Respon ok, di sini PAS tidak dapat sokongan pengundi pada pilihan raya lalu, tetapi saya rasa kali ini perubahan orang Melayu memang ada. Boleh kesan ada perubahan orang Melayu dan saya rasa boleh sampai tahap 15%.

“PH perlu lebih banyak sokongan Melayu. Tetapi PH bukan nak 100% pengundi Melayu sokong kita tetapi perubahan ada. Kita kesan 15% ada dia ramai dalam hati dia untuk berubah. Respon positif,” katanya kepada FMT.