Lupakan hudud seketika, isu ekonomi lebih penting

hudhdu_law_6090

Sabtu lalu, Pakatan Harapan memeterai perjanjian persepakatan antara tiga parti komponen PKR, DAP dan AMANAH sebagai persediaan menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14).

Kehancuran Pakatan Rakyat akibat krisis dalaman pada tahun lalu cukup untuk memberi pengajaran kepada pembangkang supaya lebih berhati-hati supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’.

Namun, agak mengecewakan apabila pucuk pimpinan gagal untuk menyatakan pendirian berkenaan pelaksanaan hudud.

Skrip sama diulang-ulang oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa isu itu belum dibincangkan dan akan dimaklumkan kemudian.

Ada benar teguran Datuk Zaid Ibrahim kepada Pakatan Harapan supaya lebih berani. Katanya, gabungan itu perlu berani untuk menyatakan bahawa mereka mempertahankan Perlembagaan tetapi tidak boleh menerima hudud sebagai sebahagian undang-undang.

Zaid berkata, Pakatan Harapan tidak perlu bimbang bakal kehilangan undi Melayu kerana Melayu yang menyokong hudud sudah tentu menyokong PAS.

Beberapa pengamal undang-undang juga bersetuju supaya Pakatan Harapan menyatakan dengan jelas pendirian mereka sama ada ya atau tidak kepada pelaksanaan hudud.

Oleh kerana PAS secara terang-terang tidak lagi bersama Pakatan Harapan, jadi tidak perlu lagi takut untuk menyatakan mereka menolak hudud.

Dalam keadaan rakyat yang semakin sengsara, hudud bukan lagi keutamaan walaupun dalam kalangan umat Islam kita percaya hudud adalah hukuman paling adil.

Ajaran Islam meliputi semua aspek di dalam kehidupan, bukan semata-mata hudud sahaja yang harus diperjuangkan. Hukum hudud hanyalah bahagian kecil yang meliputi aspek perundangan dalam Islam.

Banyak lagi perkara lain di dalam Islam yang harus diperjuangkan baik dari segi ekonomi, akhlak, kebajikan, kejujuran dan sebagainya.

Dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit terutama di bandar-bandar besar, Pakatan Harapan sewajarnya menggunakan peluang itu untuk menawarkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat menerusi pemulihan ekonomi jika mereka berkuasa kelak.

Tidak salah jika orang Islam ketepikan dahulu soal hudud buat seketika kerana tidak guna memperjuangkannya kalau kehidupan seharian pun melarat seumpama ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’.

Lupakan seketika isu hudud kerana soal ekonomi yang tidak menentukan sekarang yang perlu diberi perhatian. Makin ramai yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan utama, itu yang perlu diberi perhatian.

Orang Islam juga sepatutnya faham isu hudud ini hanya dimanipulasi untuk kepentingan politik semata-mata. Jika UMNO benar-benar ikhlas untuk membantu PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan, sudah lama mereka melaksanakannya.

Jika dibuat kaji selidik antara hudud dan pemulihan ekonomi, nescaya orang Melayu Islam akan memilih ekonomi. Menerusi ekonomi yang lebih baik untuk rakyat, barulah hudud dapat dilaksanakan dengan adil.