Bersarapan berita palsu di pagi hari

dark-hand

Tujuan saya bukan mengutuk, saya cuma marah apabila pepagi lagi disajikan dengan berita bodoh. Bodoh yang saya maksudkan ialah berita yang tidak benar atau palsu.

Akhir-akhir ini macam-macam laman web dan blog yang bukan ‘benar’ wujud di alam maya, ia lebih dikenali sebagai ‘blog hantu’ kerana tangan-tangan ghaib yang mengendalikan sesawang itu tidak dikenali atau tidak mahu dikenali.

Tiada nama, tiada byline, tiada gambar penulis, tiada apa-apa. Yang terpampang dalam ‘cerita’ yang direka itu ialah nama kebanggaan blog atau laman web tersebut.

Usahlah saya sebutkan nama-nama laman tersebut, takut ada ‘hantu’ yang terasa. Dunia mereka lain, dunia kita pula lain.

Netizen seperti saya dan anda kenalah bijak dalam membaca dan menghadam sesuatu berita, lebih-lebih lagi berkongsi mengenainya. Usahlah main kongsi sahaja sampai ada yang tak baca pun kandungannya, tetapi hanya kerana sama ada tajuknya catchy, kutuk pemimpin, kutuk individu, berunsur lucah atau gambar fotonya menunjukkan sesuatu yang menarik, kita terus klik share.

Memang sudah menjadi lumrah orang kita, mentaliti tipikal yang lebih tertarik dengan perkara bodoh yang mensiakan berbanding perkara benar. Kita lebih suka membaca laporan yang sukar dipercayai daripada analisis atau kenyataan daripada mereka yang benar-benar boleh dipercayai.

Buktinya, lihat sahaja perkongsian ‘berita’ dalam laman-laman sosial. Berita yang benar-benar ada nilai dan mutu, tiada yang mengendahkannya tetapi berita sensasi dan fantasi, atau palsu dan kotor, beratus ribu, juta kongsinya.

Pagi tadi, ada seorang rakan di laman sosial kongsi berita mengenai seorang pemimpin negara. Sebagai seorang wartawan saya sedar ia bukan berita benar, apatah lagi tajuknya sahaja sudah melampau menyerong, tetapi lihat pada perkongsiannya, mak oi!

Inilah kita.

Hanya kerana ‘cerita’ itu berunsur kutukan dan cercaan terhadap pemimpin yang seorang dua itu, kita pun khusyuk kongsi dan sama-sama tambah dosa tuduh dan fitnah. Siap orang ‘quote’ kata-kata dalam ‘berita’ palsu itu ke dalam blog ‘politik’ masing-masing.

Hello, excuse me, kalau berangan nak jadi wartawan, pilihlah jalan yang jujur. mengambil berita dari sumber yang tidak sahih tidak akan menjadikan anda seorang ‘wartawan’ lebih-lebih lagi di alam maya. Ni semua kes berangan nak jadi penyebar berita tanpa tahu kesahihan. Itulah beza antara anda dan kami.

Selain tambah fitnah dan kongsi berita palsu, orang seperti ini juga mereka yang menyebabkan wartawan portal yang sebenar menerima nama buruk. Kerana anda kami pula yang dituduh spin, tidak periksa sumber berita, reka berita dan sebagainya.

Memang saya akui, ada berita yang disalah sampaikan, kesalahan teknikal atau kesilapan manusia, dan sebab itulah kami tanggung saman. Apapun peraturan utama wartawan ialah, menyampaikan berita sahih walaupun kena periksa dan edit berpuluh kali. Tetapi wartawan segera dalam blog, penulis tangan ghaib pula bertindak sebaliknya, memberi impak apabila kami juga dijenamakan sedemikian.

“Ni dari mana? Portal? Tak perlu bagi masuk, nanti lain saya cakap, lain dia quote.”

“Ni dari mana? Nanti jangan pusing-pusing tulis.”

“Yang ni portal mana pula? Tak pernah dengar pun, ada tag media?”

Antara kata-kata yang didengari dalam sidang media pemimpin politik.

Bukan apa, mereka pun takut kata-kata mereka disalahertikan dan lagipun memang orang kita suka baca berita yang salah.

Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Jangan kerana seorang dua penulis ‘hantu’, wartawan seperti kami dari semua diportal yang sah disalahkan. Dan kepada netizen, kalau berita yang dibaca itu kelihatan terlalu sukar dipercayai atau terlalu menarik untuk dipercayai (too good to believe) drop it sahaja, memang ia tidak benar.

Dalam era teknologi komunikasi ini, netizen memainkan peranan penting membentuk pemikiran semua orang, termasuk yang ada Facebook atau pengguna laman sosial sekunder yang tiada Facebook. Jadi jadilah netizen yang bertanggungjawab bukan yang bodoh atau pembuat andaian bahawa semua yang dibaca itu benar.