Empat faktor BN akan menang besar di Sarawak

sarawak_bn_600_nw

Perhatian negara tertumpu pada Sarawak sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini. Kemenangan besar BN sudah dijangkakan. BN hampir pasti mampu mengekalkan cengkaman dalam politik Sarawak. Kejayaan dua pertiga semestinya dalam genggaman, ramal ramai penganalisis politik.

Bezanya dalam PRN 11 kali ini ialah terajunya. Kemenangan BN tahun ini tentunya atas tiket populariti Tan Sri Adenan Satem. Rakyat Sarawak menerima BN kerana Adenan. ‘Demam Adenan’ melanda Sarawak. Bertebaran kain rentang dan sepanduk memuji ketua menteri itu. #teamAdenan atau #Adenanway.

Adenan ialah wajah baru tetapi ‘familiar’ di Sarawak. Selepas 33 tahun diperintah Tun Taib Mahmud, Sarawak segar dengan pentadbiran Adenan sejak lebih setahun lalu.

Perkiraan pembangkang nampaknya meleset. Rupa-rupanya sukar mencari kekurangan dalam pentadbiran ketua menteri baru negeri Bumi Kenyalang ini.

Faktor BN akan menang di Sarawak

Adenan Satem

Rakyat Sarawak menganggap Adenan umpama pelindung mereka. ‘Guardian angel’, jika tidak keterlaluan. Penerimaan itu lebih jelas menerusi keputusan kaji selidik yang dijalankan Merdeka Centre dengan 75% rakyat negeri itu berpendapat Adenan berjasa dan yakin beliau mampu memimpin Sarawak.

Ini antara apa yang Adenan lakukan untuk rakyat Sarawak sejak mengambil alih tampuk pemerintahan:

  1. Adenan mendesak Kerajaan Pusat memberikan kuasa autonomi kepada Kerajaan Negeri.
  2. Adenan mengumumkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di negeri itu. Malah, semua sidang akhbar diadakan beliau dilakukan dalam bahasa Inggeris.
  3. Kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai syarat kelayakan masuk ke Unimas dan perkhidmatan awam.
  4. Adenan berhempas pulas memerangi pembalakan haram dan memulakan usaha memelihara hutan.
  5. Tiada lagi ‘lain-lain’ kaum dalam borang rasmi kerajaan.
  6. Tiada lagi gelaran ‘pendatang’ kepada kaum Cina. Adenan malah mempertahankan serta berterima kasih kepada kaum Cina.
  7. Penganut Kristian di Sarawak dibenarkan guna kalimah Allah ketika merujuk kepada Tuhan mereka.
  8. Semua tol dimansuhkan di Sarawak termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Pakatan Harapan hanya tinggal ‘harapan’

Percakaran antara parti komponen boleh berlaku dalam semua pakatan atau gabungan. Tetapi percakaran tanpa selindung pembangkang yang bernaung di bawah nama Pakatan Harapan jelas tidak kena masa. PRN Sarawak sepatutnya menjadi medan kepada pembangkang membuktikan ‘sesuatu’ dan sewajarnya bertindak sebagai alternatif yang diharapkan rakyat.

Malangnya, pembangkang seolah-olah sengaja membiarkan peluang itu berlalu pergi dengan secara terang-terangan bergaduh merebut kerusi.

PKR dan DAP merempuh perjanjian yang mereka ikat pada awal Januari lalu. Sebelum ini mereka sepakat untuk meletakkan hanya satu calon di PRN negeri berkenaan.

Tetapi kini mereka berebut di enam kerusi di Batu Kitang, Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

PRN Sarawak kali ini juga menyaksikan pertembungan lima penjuru di lima kerusi iaitu Batu Kitang, Bukit Semuja, Tamin, Bawang Assan, dan Jepak.

Persempadanan semula DUN Sarawak

Sarawak ialah negeri pertama mengalami proses persempadanan semula kawasan sejak kali terakhir ia dibuat pada 2003 di seluruh negara.

Persempadanan semula DUN Sarawak mewujudkan 11 DUN baru dan pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 82 DUN berbanding 71 sebelum ini.

Proses persempadanan semula itu diluluskan DUN Sarawak pada 11 November 2015 dalam sidang DUN. Kali terakhir persempadanan negeri ialah pada 2005.

Suka atau tidak, pertambahan kerusi baru itu memberi peluang cerah kepada BN dalam memastikan jumlah kerusi yang dimenangi pada PRN kali ini lebih besar berbanding PRN ke-10 pada April 2011.

Dengan persempadanan baru Sarawak itu juga jelas menyebabkan pembangkang terpaksa menjilat semula ludah mereka apabila meletakkan calon di semua kerusi baru. Lebih teruk lagi, mereka bertanding sesama sendiri antara DAP dan PKR.

Sedangkan sebelum ini, mereka juga yang membantah dan mengheret SPR ke mahkamah bagi membatalkan pertambahan kerusi DUN baru dan persempadanan semula.

Strategi politik calon ‘BN Direct’

Buat pertama kali, Adenan mengetengahkan konsep calon ‘BN Direct’. Bagi BN, ia satu strategi politik baru dalam memastikan individu mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat tetapi tiada jawatan dalam parti diberi peluang untuk menggalas mandat rakyat.

Apa yang pasti strategi ini, jelas memikat pengundi Sarawak yang melihat parti komponen BN Sarawak tidak ketandusan calon wakil rakyat untuk diketengahkan.

Pada masa sama, ia juga membuktikan betapa ketokohan, kepimpinan dan kewibawaan Adenan dalam ‘mengamankan’ parti dalam BN di Sarawak amat dihormati semua pemimpin komponen BN Sarawak sehingga mampu mengetengahkan strategi politik berkenaan.

Walaupun ada sikap kurang senang segelintir pemimpin parti komponen BN sebelum PRN 11 bermula, namun ia jelas tidak menggoncang pemerintahan Adenan sebagai pengerusi BN Sarawak.

Apa pun jua keputusannya kelak, yang paling ketara ialah BN Sarawak bergantung hampir sepenuhnya kepada faktor Adenan untuk merekodkan kejayaan ‘cemerlang’ dalam PRN kali ini.

Fakta

  • DUN Sarawak dibubarkan pada 11 April.
  • Hari penamaan calon pada 25 April.
  • PRN Sarawak ke-11 akan diadakan pada 7 Mei.
  • Tempoh kempen 12 hari.
  • 1,138,650 juta pengundi berdaftar dengan 131,881 daripada kumpulan umur 21-29.
  • PRN ke-11 menyaksikan jumlah calon paling ramai dengan BN (82), PKR (40), DAP (31), AMANAH (13), PAS (11) STAR (5), SUPP (5) dan 35 calon Bebas.
  • DAP dan PKR saling bertembung di enam kerusi iaitu di Batu Kitang, Mambong, Simanggang, Ngemeh, Murum dan Mulu.