Puasa kita yang dikawal ketat tetapi kurang iman

M-Bakri-Musa

Di beberapa bahagian dunia, Ramadan pada tahun ini jatuh pada kemuncak musim panas.

Waktu siang yang panjang bermakna umat Islam di Barat menahan lapar dan dahaga sehingga 19 jam sehari, enam jam lebih daripada tempoh puasa di Malaysia.

Kita di Malaysia pula mungkin beranggapan diri kita bertuah kerana iklim yang seragam sepanjang tahun.

Tetapi bagi Allah, tidak penting sama ada kita berpuasa 13 atau 20 jam, kerana bukan Allah yang mendapat manfaat daripada puasa, atau sembahyang dan pelbagai lagi ibadah yang dilakukan manusia.

Apa yang penting adalah sama ada sesuatu itu dilakukan kerana iman atau cuma untuk menunjuk-nunjuk.

Malah, Al-Quran mengutuk golongan yang melakukan ibadah untuk menunjuk-nunjuk: “Maka celakalah orang yang sembahyang; mereka yang lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; mereka yang riak; dan mereka yang enggan memberikan bantuan” (107:4-7).

Berapa ramai di Malaysia, dengan segala undang-undangnya yang mengawal peri laku umat Islam, melakukan ibadah mereka kerana iman semata-mata?

Adakah kita memakai tudung disebabkan tekanan kawan? Adakah kita menyuruh anak kecil yang belum baligh bertudung ke sekolah kerana dapat menambah markah dalam subjek Pendidikan Islam? Apakah kita berpuasa kerana takutkan pihak berkuasa?

Sebenarnya, boleh dikatakan umat Islam di Barat dan negara sekular lain lebih ikhlas dalam menjalankan kewajipan agama kerana di sana tidak wujud sebarang kawalan dalam perkara agama.

Dr M Bakri Musa, pakar bedah Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat dan terkenal dengan analisa tajam sosio-politik tempatan, membuat pemerhatian berikut ketika berucap di sebuah perjumpaan umat Islam di Morgan Hill, California, pada 2013.

Bakri menceritakan betapa umat Islam di Malaysia tersasar daripada Islam yang berlandaskan iman, dan mengamalkan unsur yang dikutuk Al-Quran seperti dalam petikan surah di atas.

“Di Malaysia, pasukan mengawal akhlak berkuat kuasa sepenuhnya pada bulan Ramadan,” kata beliau. “Jika anda ditangkap tidak berpuasa, anda diarak di sekeliling bandar dalam sebuah kereta keranda, selain hukuman lazimnya iaitu didenda, dipenjara malah disebat.

“Tak kisahlah anda seorang pesakit kencing manis atau baru saja turun kapal terbang selepas merentas Lautan Pasifik. Kaedah yang kejam ini, sesuatu yang biasa dilakukan, berlawanan sama sekali dengan semangat Ramadan.

“Umat Islam di Malaysia mesti berpuasa; ia sebahagian undang-undang, bukan apa yang sepatutnya: sebahagian daripada iman dan kepercayaan peribadi. Begitu juga, nilai rohaniah juga ditinggalkan, malah dicemari, seperti yang dapat dilihat dengan budaya pemakanan berlebih-lebihan dan kewarakan yang menunjuk-nunjuk.

“Umat Islam Malaysia cuma mengatur semula waktu melahap dari waktu siang ke waktu malam. Semangat Ramadan sama sekali tidak kelihatan, dan digantikan dengan pembaziran besar.

“Berpuasa di Amerika pula punya cabaran tersendiri. Rakan kerja anda membawa makanan mereka seperti hari biasa, dan di samping iklan makanan yang menyelerakan, terdapat juga perubahan musim.

“Pernah sekali pada pertengahan musim panas di Canada (ketika waktu siang berpanjangan hampir 24 jam), saya mengadu dilema agama kepada ayah saya. Beliau memberitahu saya yang puasa bukanlah siksaan Allah dan sekiranya ia terlalu payah, ikut sahaja waktu Malaysia. Gerak hati arwah ayah saya dapat mengamati intipati Ramadan. Semoga Allah mencucuri rohnya atas nasihatnya itu.

“Taksub dengan perkara ritual, umat Islam Malaysia menjadikan puasa sekadar satu cara meraih pahala. Tetapi berpuasa bukan hanya ritual; ia adalah sebuah proses.

“Seperti mana pentingnya puasa, perkara lebih penting ialah ke mana ia akan membawa kita. Ia sepatutnya membawa kita ke suatu tahap keimanan dan sikap pengasih yang lebih kental. Ia sepatutnya membawa kita mendalami Al-Quran, kerana di dalam bulan inilah Nabi Muhammad s.a.w. pertama kali menerima wahyu Allah.

“Berpuasa itu baik bukan kerana perintah Al-Quran; sebaliknya, berpuasa itu baik dan sebab itulah Al-Quran memerintahkan kita mengamati Ramadan.”