PRK: Siapa pilihan orang Melayu?

sunagi-besar-kuala-kangsar

PETALING JAYA: Tinggal satu hari lagi pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan memilih wakil rakyat dan tempoh 24 jam ini jugalah, peluang terakhir calon di kedua-dua PRK ini berkempen dengan menabur janji, merayu untuk mendapatkan undi.

Parti yang bertanding sama saja di kedua-dua kawasan Parlimen ini iaitu Umno (BN), PAS dan Amanah. Faktor calon bebas di Kuala Kangsar, boleh diletakkan di tepi kerana dia pasti tidak mampu untuk memberikan saingan, hanya acah-acah kacau daun saja.

Tiga calon di Sungai Besar ialah Budiman Mohd Zohdi daripada BN; Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan Azhar Abdul Shukur (Amanah) sementara di Kuala Kangsar pula BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, isteri allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar; PAS letak Ketua Dewan Muslimat Peraknya Dr Najihatussalehah Ahmad manakala bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia, Dr Ahmad Termizi Ramli mewakili Amanah.

Apa yang menarik, semua parti bertanding adalah mewakili orang Melayu dan calonnya juga semua Melayu belaka. Latar belakang pendidikan dan kedudukan dalam parti masing-masing juga sama hebat, sama pandai.

Jadi, persoalannya siapa yang orang Melayu akan pilih?

Amanah

Kedua-dua kerusi itu berada di tangan Umno selepas menang pada PRU13. Meskipun majoritinya kecil, kemenangan tetap milik mereka. Dan kedua-duanya kerusi tradisi yang ditandingi PAS, walaupun mereka tidak menang.

Kali ini, Amanah masuk pertaruhkan nasib. Atau juga sebenarnya menawarkan sesuatu yang segar kepada pengundi? Mungkin bukan saja untuk pengundi Melayu, tetapi mereka yang bukan Melayu. Bukan lagi rahsia kita tahu siapa yang menjadi bayang-bayang Amanah. Bayang-bayang atau pemegang tali boneka?

Tapi, mungkin orang Melayu yang tidak pernah setuju dengan elemen perkauman akan beri peluang kepada Amanah dengan menyambut salam mereka dan memangkah parti serpihan PAS itu.

Namun, jangan sesekali memandang enteng pada pengundi Cina kerana pengaruh mereka kali ini akan memberi kuasa besar pada menang kalahnya parti bertanding dalam PRK berkembar ini.

Mengikut pecahan kaum selain Melayu yang menjadi majoriti di kedua-dua PRK ini, 31% peratus pengundi Cina dan 2% India di Sungai Besar manakala di Kuala Kangsar Cina (24%) dan India (7%).

Jika undi orang Melayu berpecah kepada tiga calon, setiap parti itu akan mendapat agihan kek yang kecil. Tetapi jika semua peratusan pengundi bukan Melayu memberi undi kepada satu parti yang sama, pastinya kemenangan milik parti berkenaan.

Inilah yang menjadi strategi dan harapan Amanah dengan bersandarkan kepada DAP bagi mendapatkan undi kaum Cina sehingga semua pemimpin DAP memakai baju oren, warna rasmi Amanah.

Maka, berbalik kepada persoalan siapa pilihan orang Melayu?

Umno

Bagi mereka yang malas nak fikir dan tidak mahu gaduh, pangkah sajalah Umno. Senang habis cerita. Mungkin mengenangkan kebaikan kedua-dua penyandang, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon dan Wan Khair-il yang pernah menabur budi, mereka pilih saja Umno.

Apatah lagi cara kematian mereka dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pasti meruntun hati. Kisah sedih syahdu menyambut raya tanpa orang tersayang bagi keluarga Mastura yang terpapar di dada media mungkin mampu meraih undi simpati.

Tetapi bagi pengundi yang tidak kalis dek kesedihan, Mastura mungkin bukan calon pilihan mereka. Malah, dalam kalangan ahli Umno sendiri berantakan ketika balu itu diumumkan sebagai calon. Mungkinkah ada yang sanggup menikam belakang parti sendiri dengan tidak memangkah Mastura? Apa tidaknya, Mastura bukan calon yang datang daripada Umno Bahagian Kuala Kangsar dan sudah pasti pemilihan beliau sedikit banyak mengundang rasa tidak puas hati di peringkat Umno Bahagian berkenaan.

Rakyat Kuala Kangsar juga perlu diingatkan, jika Mastura calon yang mereka pilih untuk menjadi wakil rakyat, beliau hanya boleh mula keluar rumah pada Ogos nanti, selepas tamat tempoh iddahnya.

PAS

Tidak dapat dinafikan daripada segi congakkan mudah peluang PAS mungkin paling nipis bagi memenangi PRK berkembar ini. ‘Haters’ BN sudah pasti boikot PAS. Apatah lagi, belum pun bunga silat dibuka, PAS sudah umum tidak akan serang BN. Terlalu jelas babak-babak mengampu perdana menteri yang dilakukan PAS.

Dengan beban hudud yang diseretnya, ditambah lagi orang bukan Melayu masih tidak jelas dengan hudud, jalan PAS nampaknya sangat berliku dalam PRK ini.

PAS tewas di PRN Sarawak, dan di luar kebiasaan apabila parti ini tidak menghentam BN ‘kaw-kaw’ dalam siri kempen kali ini, langsung tidak jadikan isu nasional 1MDB dan skandal derma sebagai modal kutip undi. Strategi yang ada hanya jurus bertahan, bukan serangan balas.

Kadangkala kita jadi tidak faham untuk apa PAS bertanding dalam PRK ini?

Hakikatnya, siapa pun yang menang di kedua-dua kawasan ini, wakil rakyatnya tetap orang Melayu dan jika BN kalah sekalipun, landskap politik negara tidak akan berubah. Pentadbiran kerajaan mungkin berkocak, tapi tidak bergoncang.

Jika BN tewas kali ini, dengan terpaksa melepaskan dua kerusi itu pergi, maka terlalu jelas tanpa perlu bersuluh, ia menjadi cerminan kepada sokongan rakyat terhadap parti pemerintah itu menjelang PRU14 nanti.