Difteria: Pesanan pada ibu bapa ‘selfish’

Difteria-faringeaIbu bapa yang anti vaksin memang “selfish”. Saya katakan begitu atas kapasiti saya sebagai seorang emak. Geram rasanya akibat kejahilan, kedegilan, kesombongan, ditambah dengan kebodohan anda, anak orang lain mungkin hilang nyawa.

Kerajaan sudah menetapkan anak perlu diberi vaksin lima serangkai bermula seawal usia sebulan hingga 18 bulan dan penetapan itu bersebab, bukan suka-suka hendak beri arahan. Arahan seumpama ini bukan di Malaysia saja, tapi seluruh dunia.
Begitu juga, puak yang anti vaksin secara membuta tuli ini turut berada di serata dunia. Kebodohan yang tidak ada penawarnya.

Pelalian termasuk bagi jangkitan difteria dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan pada 1972, yang menyebabkan kejadian penyakit itu menurun dengan sangat drastik.

Tetapi, masih ada kes difteria direkodkan dalam tempoh lima tahun terakhir ini. Meskipun bilangannya kecil iaitu hanya empat kes termasuk dua maut pada 2013 dengan kadar insiden 0.01 per 100,000 penduduk, ia tetap sesuatu yang kita boleh elak jika langkah pencegahan diambil.

Untuk rekod, pada November 2015, satu kematian kanak-kanak dicatatkan di Kedah dan yang terbaru, dua kanak-kanak usia tujuh dan dua tahun, seorang dari Melaka, satu lagi di Kedah, maut. Siasatan mendapati mereka tidak menerima suntikan vaksin wajib.

Bila kanak-kanak ini mati, hendak salahkan siapa?

Sejak anak itu lahir, anda buat keputusan untuk tidak vaksin bayi. Andalah pembunuh anak sendiri kerana dengan sengaja membiarkan anak hidup di luar sana tanpa perlindungan. Sengaja “membogelkan” anak biar dihinggapi pelbagai virus dan kuman.

Kalau anak anda yang mati atas keputusan maha bodoh yang anda buat itu, masih ok lagi. Anda tanggung rasa sedih itu seumur hidup. Tapi, jika kerana kekhilafan anda itu, anak orang lain yang maut, bagaimana? Seretlah rasa bersalah itu hingga ke hujung nyawa sendiri.

Paling kasihan jika yang maut itu bayi masih kecil, belum sempat menerima vaksin tetapi terkena jangkitan daripada kanak-kanak lain yang memang sengaja tidak diberi pelalian.

Atau kanak-kanak bervaksin, tetapi terjangkit dengan kanak-kanak lain yang berpenyakit akibat tidak divaksin. Dan kemudian kanak-kanak itu pula yang jatuh sakit atau lebih teruk lagi, meninggal dunia.

Demam campak misalnya. Jika anda sengaja tidak beri vaksin campak untuk anak, dia boleh menjangkiti orang lain, terutama bayi bawah setahun yang belum divaksin, dan kesannya kepada bayi sangat teruk.

Bangga sangatkah jadi ibu bapa yang tidak vaksin anak? Berderet group di media sosial yang berkompang bangga dan lega kerana tidak terpedaya dengan omong doktor menyuruh anak divaksin.

Kononnya anak dia tak vaksin tapi tak ada demam pun, kalau demam cepat baik. Kononnya vaksin itu cuma untuk kayakan doktor. Kononnya vaksin itu akan memberi kesan sampingan pada anak, lambat bercakaplah, lambat berjalanlah dan macam-macam lagi.

Kalau yang beragama Islam pula, keluar pula fakta vaksin itu haram. Di mana wasatiyah yang kita pegang?

Sedarkah anda si anti pelalian, vaksin dicipta berdasarkan kepada sains dan kajian. Ketahuilah sebelum era vaksinasi, ramai yang mati, terutama kanak-kanak.

Memang betul, ajal maut itu janji Allah. Semua orang akan mati. Tapi, kita tetap kena berusaha untuk hidup. Tergamak anda sebagai ibu bapa pemegang amanah Tuhan membiarkan anak anda sakit, merana, cacat dan akhirnya mati kerana ego anda yang menolak fakta menggunakan auta.

Tanpa hujahan utuh dan logik, anda tolak perisai untuk anak sendiri dan akhirnya menyusahkan masyarakat sekitar.

Sila berhenti berbohong pada diri. Sudah-sudahlah pentingkan diri sendiri. Hidup dalam dunia ini bukan tentang anda seorang saja.