Apabila terpaksa cover up ‘kecuali sari’

saree-ipoh

Saya tertarik untuk mengulas isu yang ‘panas’ dalam laman sosial hari ini. Isu ‘kecuali sari’ dalam surat jemputan majlis Perhimpunan Khas AidilFitri 2016 yang dijangka diadakan pada 1 Julai ini.

Saya faham, sebagai seorang berbangsa India, saya faham apabila mereka pada awalnya menyatakan ‘kecuali sari’ mungkin kerana khuatir pakaian tradisional itu disarungkan secara mendedahkan aurat sekali gus mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pengunjung bangsa lain, khususnya Islam. Lagi pun, majlis itu sendiri majlis Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh mereka yang beragama Islam.

Bukan saya tidak faham…

Malah dalam ‘group messenger’ Facebook, saya dan beberapa orang rakan turut membincangkan hal ini.

“Mungkin ‘kecuali’ sari dimaksudkan atas sebab pakaian itu seksi, mendedahkan bahagian badan dan bentuk badan,” kata seorang rakan.

Seorang lagi rakan lelaki pula menyatakan, “Maklumlah, pada masa kini ramai yang suka pakai sari pada tahap seseksi yang boleh. Oleh kerana ia majlis kerajaan, mereka mungkin mengambil konteks itu untuk memutuskan tidak membenarkan sari.”

Ini semua kemungkinan sahaja, memandangkan pihak penganjur, Majlis Bandaraya Ipoh sendiri tidak menjelaskan sebab sebenar mereka tampil dengan terma itu.

Jika ya, tidak mungkin hal ini menjadi isu besar kerana ramai yang akan akui sari memang boleh dipakai seksi.

Tetapi ia tidak bermakna sari itu pakaian yang seksi kerana ia tertakluk kepada cara pemakaian. Lazimnya, dalam majlis keramaian dan kerajaan, kita juga menyaksikan ramai orang (termasuk bukan berbangsa India) menyarungkan kain sari secara sopan, menutup aurat. Semuanya terpulang kepada pemakai dan niatnya.

Kalau niat menunjuk dan mendedahkan aurat, pakai baju apa sekalipun boleh jadi seksi bukan?

Kembali kepada ‘salah faham’ kod pemakaian, yang menjadi bahan lawak sekarang ialah apabila MBI berkata pihaknya tidak melarang kakitangannya memakai sari dalam majlis yang dijadualkan berlangsung pada 1 Julai ini.

Jadi apa maksud ‘kecuali’?

Ya, semua orang tertanya-tanya maksud sebenar ‘kecuali’ dalam surat jemputan jika MBI berkata mereka tidak melarang pemakaian pakaian tradisional itu.

Kata MBI dalam kenyataannya,’kecuali sari’ bermakna kakitangan boleh memakai sari yang sesuai dan mereka yang bekerja di lapangan boleh memilih sama ada mahu memakai sari, pakaian formal, atau apa-apa yang sesuai dengan majlis.

Apakah perkataan ‘kecuali’ mendapat makna baharu dalam bahasa Malaysia?

Mungkin selepas ini, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kena ambil perhatian dan olah semula definisi perkataan ‘kecuali’.

“Mereka tersilap besar dan kesilapan ini bakal dijadikan ‘troll’. Lihat sahajalah!

“Terang-terang perkataan kecuali bermakna tidak boleh, tetapi MBI pula membuat penjelasan yang mengelirukan dan kontra.

“Ini silap besar!” kata seorang rakan yang juga guru di sebuah sekolah kebangsaan.

Kini, semua orang menunjukkan amarah apabila terma kecuali sari disifatkan sebagai diskriminasi dan ‘cover up’ yang dilakukan pula dikatakan bersifat bodoh.

Apalah agaknya sedang bermain dalam fikiran pihak berkuasa ketika membuat kenyataan itu? atau apakah mereka benar-benar tidak faham apa yang diperkatakan?