Zakat: Jangan jadikan ibadah polemik politik

zakat-fitrah

Tidak sampai 10 hari umat Islam akan menyambut Aidilfitri yang seperti kelazimannya disambut meriah sebagai tanda kemenangan selepas berpuasa 30 hari menahan lapar, dahaga serta hawa nafsu selain mengabdikan diri kepada pencipta, Allah.

Namun dalam keghairahan umat Islam mengerjakan ibadah sepanjang Ramadan, timbul juga pelbagai polemik dan isu yang menyentuh umat Islam dan lebih menyedihkan ia seperti dicampuradukkan hingga menjadi isu politik.

Isu pengurusan zakat dengan segelintir umat Islam enggan mengiktiraf kewujudan institusi zakat dan mahu memberikan zakat terus kepada asnaf, dengan alasan bimbang zakat mereka disalahgunakan, terus menjadi polemik berterusan.

Walaupun pelbagai fatwa dan usaha diberikan pihak berwajib dalam polemik ini, masih ada umat Islam enggan menggunakan institusi zakat disediakan kerajaan dalam mengagihkan wang zakat kepada asnaf yang layak.

Pelbagai alasan diberikan dan lebih mengejutkan alasan itu bertukar menjadi isu politik dengan tujuan untuk mengaibkan segelintir pihak atau pemimpin dengan menjadikan agama sebagai modal.

Agaknya jika individu itu ada rezeki melimpah ruah seharusnya memperbanyakkan zakat dan sedekah. Jika tidak ada keyakinan kepada institusi zakat milik kerajaan, tidak salah jika tetap membayar zakat melalui institusi berkenaan tetapi pada sama menghulurkan sedekah kepada asnaf yang layak.

Kekayaan dan rezeki milik Allah dan sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada Rukun Islam yang lima, kita seharusnya berkeyakinan penuh kepada kerajaan dipilih rakyat dalam menunaikan tanggungjawab seperti dituntut dalam ajaran Islam.

Adalah wajib untuk mempercayai umara’ dan sekiranya umara’ itu bertindak menyeleweng dan menyalahgunakan wang zakat, hanya Allah yang mampu membalas segala kemungkaran.

Sikap umat Islam di negara ini, yang kadang-kadang dilihat mudah mentafsirkan ajaran Islam tanpa mahu merujuk kepada golongan ulama atau pihak berkuasa berwajib seperti Jakim menimbulkan pelbagai persoalan.

Mengapa umat Islam di negara ini, ada yang menjadi terlalu konservatif sehingga segelintir menjadi ekstrem dan ada pula terlalu liberal sehingga tidak mengambil kira sensitiviti dan adab dalam menunaikan ibadah dalam Islam.

Lihat saja seorang netizen wanita yang dilihat mahu mencabar status quo ketika menunaikan ibadah puasa apabila secara terang-terangan makan di khalayak ramai dan apabila ditegur memberikan alasan tidak salah makan di khalayak ramai dan orang Islam lain tidak perlu mengamalkan ‘policing moral’ atau dengan erti kata lain sibuk menjaga tepi kain orang lain untuk mengerjakan ibadah.

Saya tidak mahu mengulas isu ini daripada hukum hakam kerana bukan seorang yang pandai tetapi sebagai umat Islam sederhana, kita seharusnya dituntut menghormati saudara lain atau lebih tepat lagi majoriti.

Dalam Islam itu sendiri lebih menitikberatkan mengenai jemaah dan jika jemaah kita sedang berpuasa, adakah elok untuk kita yang uzur dan diberikan pengecualian oleh Allah untuk tidak berpuasa, bertindak makan di khalayak ramai?

Apa sebenarnya yang mahu dibuktikan? Jangan sampai ada orang mempertikaikan sama ada kita benar-benar uzur dan apakah bukti yang kita uzur hingga melayakkan kita untuk makan di khalayak ramai.

Jika nanti isu ini diperbesarkan dan diperdebatkan dengan meluas, sehingga sampai ke tahap berlaku tindakan sedemikian, ia akan bertukar menjadi polemik baru antara jantina atau diskriminasi jantina.

Seeloknya, umat Islam sentiasa bersederhana dalam menunaikan ibadah dan Islam itu sendiri satu cara hidup berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Islam tidak melarang perbezaan pendapat tetapi ia perlu diperdebatkan dalam forum tertentu dan disertai ulama serta golongan bijak pandai dalam hukum dalam memastikan umat Islam secara keseluruhannya mendapat manfaat.

Pada masa sama, janganlah menjadikan agama sebagai kuda tunggangan politik kerana ia jelas akan mengelirukan umat Islam dan akhirnya membawa kepada perpecahan sehingga menjadikan kita semua dipandang lemah agama lain.