Baju Melayu lawan Kurta: Selamat Hari Raya!

malayu-vs-kurta

Sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam beberapa hari sahaja lagi dan perkara yang menjadi keutamaan perayaan ialah pakaian!

Ya, pakaian yang cantik dan menawan, kelihatan lain daripada lain, dengan sense of fashion yang tinggi, lebih-lebih lagi dalam kalangan muda-mudi yang tidak segan mencuba sesuatu yang baharu, baju Raya (merujuk kepada pakaian sempen perayaan) satu sambutan secara tersendirinya.

Tiga bulan yang lalu, sudah ada rakan-rakan yang sibuk mencari baju Raya. Ada yang sudah membeli kain warna sedondon untuk satu keluarga, beri kain kepada tukang jahit, buat tempahan online dan juga buat penilaian tentang fesyen terkini.

Terkenangkan pula pada zaman 1990an apabila menjelangnya Raya, majalah-majalah terkemuka berbahasa Malaysia ketika itu, Perempuan, Wanita, Nona dan majalah hiburan antara yang memperagakan fesyen baharu. Lazimnya ia membabitkan fesyen kaum Hawa sahaja. Bulan puasa, berlambak-lambak beli majalah, periksa fesyen yang dipaparkan, cari ilham, cari inspirasi, konon untuk mendapatkan fesyen yang hampir sama.

Sekarang semuanya sudah berbeza, klik sahaja internet, segala bagai fesyen pakaian Muslimah dari sepelusuk dunia di hujung jari. Pendedahan dunia fesyen global ini juga memudahkan muda-mudi bereksperimen dengan pakaian mereka. Walaupun bukan berlatar fesyen, semua orang pandai mereka pakaian dan memberi pelbagai input terhadap baju mereka.

Dan situasi ini bukan sahaja terhad kepada wanita, lelaki sudah ‘celik’ fesyen.

Lelaki pun ada pilihan, bukan sekadar fesyen konservatif yang bertahun-tahun menjadi ikutan tetapi fesyen baharu serta fesyen lama seperti Baju Melayu lelaki yang dijenamakan semula dengan nama artis.

Tambahan pula, sejak pengaruh Timur Tengah atau dikenali Arabisation lebih meriah jadinya fesyen tempatan lelaki dan wanita.

Daripada jubah, dress dan pakaian lelaki ala Pak Arab, semuanya dah semakin sebati dengan identiti Malaysia. Ini dipanggilnya proses asimilasi. Anda tahu apa itu asimilasi?

Asimilasi adalah proses pertembungan dua kebudayaan yang disertai dengan hilangnya ciri khas kebudayaan asli sehingga membentuk kebudayaan baru. Asimilasi juga mengurangkan perbezaan antara dua orang atau kelompok manusia.

Perkara itu sudah lama berlaku dalam dunia fesyen di Malaysia, sejak kemasukan pengaruh Barat, Oriental (Cina) hinggalah Bollywood (India) dan terkini Arab!

Oh, yea bercakap mengenai Bollywood, pengaruh dunia fesyennya tidak boleh dipisahkan, apatah lagi kita terdiri daripada rakyat majmuk di mana kaum India adalah sebahagian daripada pengaruh fesyen Bollywood.

Acapkali saya ke India, melawat kaum keluarga di sana, ramai kawan-kawan wanita dan lelaki pelbagai kaum akan pesan, sama ada beli sari, baju kurta, kurti, jippa, sharvani dan material kain dari sana. Dahlah murah, cantik pula, fesyennya seperti tiada sempadan.

Fesyen merentasi sempadan

Tahun ini ramai pula rakan lelaki yang beralih angin, berani mencuba pakai dress jubah lelaki. Walaupun menjadi kontroversi, tetapi peragaan fesyen pakaian itu oleh abang-abang sado nampaknya tetap berhasil. Ini kerana ada pihak yang mengakui jualan bertambah dan ‘demand over offer’!

Entahlah, saya belum lihat lelaki yang pakai dress lagi, mungkin tunggu Raya kot.

Samalah ceritanya dengan kurta. Kurta, fesyen yang berasal dari India ini seakan-akan baju Melayu (bajunya sahaja), lebih panjang dan potongan yang berbeza dengan potongan lehernya juga lain sikit.

Kalau pakai kurta, macam Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Amitha Bachan lagaknya!

Tetapi ada yang kurang puas hati, misalnya seorang artis yang tidak senang hati apabila fesyen dari India dilebih-lebihkan berbanding baju Melayu yang lengkap bersampin dan bersongkok. Saya rasa apa yang dikatakan itu ada kewajarannya, biarlah apapun kita nak pakai, pada hari mulia sebagai seorang lelaki Melayu, berbanggalah pakai baju Melayu!

Namun, saya juga tidak dapat menyalahkan muda-mudi sekarang, sekadar mencuba kurta, tak salah kot! Kurta pun baju yang menutup aurat, memenuhi keperluan pakaian ikut hukum Islam, betul?

Malah tak usahlah nak jatuhkan sesuatu bangsa dan negara semata-mata kerana muda-mudi kita nak pakai baju tradisi mereka. Salah tu… Kita boleh ajar dan didik untuk pakai pakaian tradisional tanpa menyerang orang lain.

Untuk pengetahuan, kurta ini berasal dari utara India dan dipakai oleh lelaki dan wanita. Lelaki di Pakistan dan Bangladesh juga memakai kurta. Jadi pastikan bila di Malaysia, anda pakai kurta, tiada yang salah anggap anda sebagai ‘baiya’.

Jokes aside, asimilasi pakaian adalah bukti dunia semakin mengecil, semua perkara yang berkaitan fesyen dunia mula dikecapi mudah dan pakaian juga membuktikan betapa berani kita mencuba sesuatu citarasa baharu.

To be neutral, tak salah pakai kurta atau apa sahaja pakaian yang sedap dipandang mata, cuma janganlah ketepikan langsung identiti fesyen milik kita.