Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad
Saya dan isteri mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada pembaca blog ini.
Dalam PRK baru-baru ini ramai daripada pengundi gembira menerima duit, beras dan alatan elektrik.
Mereka tentu tahu mereka menerima suapan rasuah. Yang memberi pun tentu tahu mereka melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan juga di sisi agama yang dianuti.
Kerana rasuah inilah, pihak yang menyogok mendapat kemenangan.
Kemenangan yang didapati dengan cara tidak halal bukanlah kemenangan yang sebenar. Seperti mana barangan yang dicuri tidak halal diguna atau dimakan, demikian juga kemenangan itu tidak halal.
Di dunia ini mereka tidak dapat dihukum kerana mereka sendiri yang berkuasa ke atas proses mendakwa dan menghukum. Tetapi perbuatan tidak mendakwa dan menghukum juga salah daripada segi undang-undang duniawi serta agama. Ini juga melipatgandakan kesalahan dan dosa perlakuan mereka. Sogokan yang diberi dan diterima oleh penerima sudah dua kali haram.
Punca duit yang disogok juga haram kerana ia didapati dengan cara haram. Mereka yang menerima dengan ini menerima duit tiga kali haram.
Dalam Islam kita diberi hak bertaubat. Tetapi taubat kita hanya diterima Allah jika kita tidak mengulangi perbuatan salah yang kita lakukan. Mereka yang menunggu-nunggu untuk sogokan pada masa depan harus ingat pesanan dalam Al-Quran berkenaan bertaubat.
Rasuah suatu jenayah yang keji dan kotor. Ia merosakkan masyarakat, menindas yang miskin, menghalang kemajuan dan kesejahteraan, melemahkan dan mempermudah penjajahan bangsa lain.
Mereka yang cuba menghalalkan rasuah tetap termasuk dalam golongan penjenayah yang berdosa. Lebih buruk lagi ialah mereka yang tahu akan larangan agama terhadap rasuah namun mereka cuba halalkan rasuah. Dosa mereka tentu berlipat ganda jika kerana didakwa rasuah itu halal maka orang lain akan menerima rasuah.
Amatlah menyedihkan apabila didapati yang teramai daripada orang yang menyuap dan memakan rasuah ialah orang Islam. Sebabnya ialah kerana tidak ada tekanan oleh mereka yang bertanggungjawab mendidik akan haramnya rasuah dan pentingnya ia ditolak. Justeru itu ia tidak termasuk dalam nilai hidup yang dipegang sebagai sebahagian budaya orang Islam Malaysia sekurang-kurangnya.
Harapan masyarakat kepada undang-undang mencegah rasuah tidak mungkin berjaya sepenuhnya. Undang-undang melarang mencuri mungkin mengurangkan jenayah ini tetapi tidak menghapus pencurian. Sudah tentu jika mereka yang dipertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang pencegahan rasuah, mereka sendiri mengamalkan rasuah, maka undang-undang tidak bermakna lagi. Lebih buruk lagi ialah apabila undang-undang mencegah rasuah diguna untuk tujuan lain, untuk politik umpamanya. Rasuah sejuta dikena tindakan, rasuah berbilion dihalalkan.
Sebenarnya penolakan rasuah sebagai satu budaya dan nilai hidup sahaja yang boleh mengurangkan perlakuan rasuah. Benar rasuah terdapat di mana-mana saja. Tetapi ia amat berkurangan jika budaya masyarakat atau bangsa itu memandang keji dan menolak rasuah.
Untuk ini orang atasan khususnya pemimpin hendaklah menunjuk teladan yang baik. Lebih-lebih lagi pemimpin perlu tentukan pendidik memberi tekanan dalam mendidik pelajar dari peringkat tadika sehingga ke sekolah.
Sesungguhnya negara ini sedang menuju kehancuran kerana rasuah dipergunakan secara meluas untuk menguasai segala-galanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad ialah bekas perdana menteri Malaysia.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT