Kebosanan aku di kampung halaman

pantai

Setiap kali aku pulang ke kampung halaman di Kemaman, Terengganu, aku akan ke Pantai Chendor. Ia sudah menjadi satu ritual.

Aku tidak membuat apa-apa pun di sana, apatah lagi mandi seperti ramai yang lain. Hanya duduk di atas pesisirnya atau berdiri di kawasan pantai yang cetek.
Biasanya tidak lama, aku akan pulang selepas menghabiskan dua atau tiga batang rokok.

Semuanya bermula dengan kebosanan.

Rumah ibu saudara (tempat kami sekeluarga tinggal apabila pulang) tiada sambungan internet. Kemaman bukanlah bandar besar, dan ia menjadi semakin kecil apabila kita semakin dewasa.

Lama-kelamaan, ia menjadi satu kewajipan. Aku bukanlah penggemar pantai, tetapi Pantai Chendor ini sedikit berbeza. Aku akan tetap ke sana walaupun masa agak suntuk. Kalau balik hari, aku akan singgah ketika perjalanan pulang.

Pantai ini terletak di Kampung Chendor, kira-kira 20 minit daripada kawasan bandar. Lebih kurang satu kilometer melepasi sempadan Kemaman-Kuantan.

Secara praktikalnya, ia terletak di daerah Kuantan. Tetapi aku sering menganggap pantai ini sebagai sebahagian daripada kampung halaman. Ini adalah pantai yang kami sekeluarga sering kunjungi, ketika masih tinggal di sini belasan tahun lalu. Jaraknya juga lebih dekat dengan Chukai berbanding bandar Kuantan.

Di sini, deru angin dan alunan ombak seperti mantera yang sedap didengar walaupun tidak difahami.

Dan setiap kali berdiri di sini, perasaan insignifikan akan datang menghempas ke dalam diri.

Laut tidak berpenghujung di hadapan terasa begitu menakluk. Lupakan kata-kata Carl Sagan tentang “titik biru pucat”, Laut China Selatan sudah cukup untuk menunjukkan betapa manusia hanyalah sebahagian kecil daripada alam yang maha luas.

Segala pendirian, pandangan dan kebimbangan seseorang itu tidak bernilai apa-apa kecuali kepada individu itu sendiri.

Perasaan ini ternyata jauh berbeza ketika kanak-kanak. Aku akan cuba pergi sejauh yang boleh. Tidak peduli untuk bertanya terlebih dahulu apakah yang ada di hadapan. Rasa bimbang diambil dan dipikul ibu yang sentiasa memerhati di belakang.

Aku rasa dapat memahami mengapa ramai merasakan kampung halaman mereka lebih istimewa daripada tempat lain. Rasa nostalgik yang hadir apabila kita kembali ke tempat kita membesar.

Zaman kanak-kanak sentiasa memberi rasa keharuan apabila dikenang. Dan kita rela ditipu ingatan.

Tetapi ketika aku memandu melepasi sekolah rendah, taman permainan, padang dan perpustakaan yang sering dikunjungi dahulu, aku tidak dapat rasa perasaan itu, apatah lagi melihat jejak langkah yang pernah ditinggalkan.

Binaannya sama sahaja dengan sekolah rendah, taman permainan, padang dan perpustakaan di bandar lain.

Ketika melalui taman perumahan tempat membesar satu ketika dahulu, aku dapat melihat, dan masih ingat, rumah kawan sepermainan. Tetapi aku tidak merasa mahu mengetuk pintu dan bertanya khabar.

Aku pernah melepak bersama seorang kawan lama, dan selepas itu aku menyedari kami menjadi dua individu yang sama sekali berbeza. Dalam erti kata kami tidak mungkin menjadi kawan jika baru bertemu pada masa ini.

Semakin hari semakin hilang sebab untuk aku pulang. Tautan antara diri dengan kampung halaman – dan bersamanya zaman kanak-kanak – semakin lemah. Dan tiada guna memaksa diri untuk terus berpegang kepada sesuatu yang sudah menjadi rapuh, atau cuba mengais makna yang dikambus peristiwa dan perjalanan hidup.

Nostalgia, seperti hal-hal lain yang diperkatakan orang, juga boleh menjadi candu.

Kampung halaman adalah tanda kepada apa yang sudah hilang dan apa yang tidak dapat diubah. Dan tidak lama lagi, tautan itu akan terlepas sepenuhnya dan ia hanya menjadi salah satu tempat yang pernah menjadi tempat tinggal.

Kecuali di pantai itu, yang sebenarnya bukan terletak dalam kampung halaman aku pun.