Awasi anak daripada gangguan ‘binatang buas’

awasi

Sejak tersebarnya berita pedofil warga Britain baru-baru ini, saya seakan-akan gentar dan takut bila anak saya didekati orang asing.

Lebih buruk apabila orang asing tidak dikenali dan mereka pula cuba bermain, berbaik-baik atau mendekatkan diri untuk mengenali anak saya.

Sebagai seorang ibu yang peka dengan kejadian semasa, saya takut kalau-kalau orang yang tidak dikenali itu seorang pedofil yang boleh memusanahkan zaman kanak-kanak anak saya. Tiada yang lebih menyakitkan bagi seorang ibu.

Bagaimanapun, saya sedar hakikat sebenar seorang pedofil yang khabarnya terdiri daripada orang yang kita kenali. Menurut laporan Persatuan Paediatrik Malaysia (MPA) dan Kolej Paediatrik Malaysia, dua pertiga daripada pedofilia dikenali kanak-kanak.

Malah pedofil juga dikatakan selalunya menyamar sebagai sukarelawan dengan agensi yang berkhidmat untuk kanak-kanak. Menakutkan bukan?

Akhir-akhir ini, saya terpaksa tambah doa supaya anak-anak saya dijauhi daripada manusia seperti Richard Huckle, Nur Fitri Azmeer Nordin atau mana-mana individu yang lebih buas daripada binatang.

Seorang rakan, yang juga ibu daripada kalangan ibu bapa sekolah anak saya, bertanya, “Bagaimana kita boleh mengenali seseorang pedofil?”

Kalaulah ada satu jawapan yang konkrit untuk soalan ini, memang itu yang kita semua harapkan, satu solusi untuk mengenali pedofil supaya sebarang kes bekaitannya dapat dielakkan.

Malangnya, manusia semacam ini sememangnya tiada ubat, tidak dapat didiagnosis dan sukar dikesan.

Dari dalam rumah sendiri hinggalah ke dunia yang terbentang luas, siapa sahaja boleh menjadi pedofil.

Sebagai ibu bapa, berwaspada dan sentiasa pasang mata, mungkin kita perlu lakukan lebih daripada itu.

Sekurang-kurangnya ajarlah anak-anak tentang pengetahuan seks dan tubuh badan mereka. Biar mereka sedar yang mana sentuhan baik dan yang mana bukan.

Seeloknya jangan dedahkan anak kita dengan situasi mereka disentuh secara berlebihan (atau langsung) oleh orang lain.

Pada musim Hari Raya ini, anak-anak kita terdedah kepada masyarakat umum. Bukan semua orang jahat dan tidak bermakna kita akan berhadapan dengan pedofil setiap masa, tetapi lebih baik berhati-hati dan mengambil langkah bersedia daripada menyesal kemudian hari.

“Saya akan pastikan anak saya berada bersama saya sepanjang masa!” Tetapi adakah itu sahaja mencukupi?

Aktiviti pedofil bukan hanya terhad kepada situasi secara langsung dengan kanak-kanak. Bukan kita tidak tahu bagaimana gambar anak yang kita muatnaik dengan tujuan untuk berkongsi kenangan dan kegembiraan waktu perayaan boleh disalah guna oleh sesetengah “binatang” untuk memuaskan nafsu.

Dalam dunia serba maju dan digital, serangan ke atas anak kita tidak semestinya berlaku dalam alam nyata, secara realiti malah di alam maya juga.

Kurangkan atau jika boleh, elakkan memuat naik gambar foto anak yang terlalu terdedah, misalnya tanpa pakaian atau baju, berseluar sahaja, berkain lampin, dalam pose yang tidak disenenagi dan sebagainya.

Saya sendiri pernah memesan rakan yang mungkin tidak sedar betapa gambar anak perempuan berusia tiga tahun tanpa baju itu boleh mengundang bahaya.

Pernah beberapa tahun dahulu, saya memuat naik gambar anak perempuan saya sedang mandi di kolam renang. Kemudian selepas saya mula didedahkan dengan isu ini, saya sedar, pakaiannya yang agak ketat dan terdedah itu boleh mengundang pelbagai masalah.

Saya tidak mahu bila anak saya besar, dia kesal bagaimana kesilapan ibunya telah disalahguna oleh pihak lain. Segera saya padam gambar itu. Sejak itu, saya berpesan pada diri sendiri supaya tidak menaikkan gambar foto seperti itu.

Ia tidaklah bermakna saya langsung tidak memuat naik gambar anak saya, malah akaun Facebook, Twitter dan Instagram tidak pernah senyap tanpa gambar mereka. Cuma, sekarang saya mengehadkan aksesnya.

Baru-baru ini, berita seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menjadi mangsa gangguan seksual oleh pedofil menerusi aplikasi Mesengger di laman sosial Facebook, juga memberikan satu lagi sudut bagaimana anak kita boleh didekati.

Kanak-kanak terbabit diminta menghantar gambar kemaluannya menerusi aplikasi berkenaan selain kerap berbual perkara yang tidak senonoh dengan lelaki yang hanya dikenali “abang”.

Berita itu juga sepatutnya dijadikan pengajaran, bila dan bagaimana kita boleh dedahkan anak-anak dengan rangkaian sosial seperti messenger atau Whatsapp.

Awal bulan lalu, aktivis sosial, Syed Azmi al-Habshi juga ada mendedahkan kewujudan sekumpulan “orang sakit jiwa” yang mempunyai grup Telegram untuk berhubung dan bercakap lucah dengan memuatnaik gambar kanak-kanak.

Saya tidak tahu apa status kes yang diuar-uarkan ketika itu, tetapi yang jelas, binatang seperti ini berada di mana-mana dengan menyasarkan anak kita tanpa mengira usia, jantina dan bangsa.

Eloklah kita lebih berhati-hati. Biarlah Hari Raya yang mulia ini mendekatkan kita dengan insan yang disayangi dan menjauhkan kita dengan manusia buas.

Kalau nak beri Ipad, telefon pintar atau komputer riba siap dengan sambungan Internet atau langganan Wifi, konon anak rasa boring duduk kampung.

Ingatlah, jangan jadi ibu bapa yang sendiri mengundang bahaya. Kita mungkin sibuk pada hari tersebut dan ada orang yang cuba ambil kesempatan ke atas anak kita.

Lebih baik duduk di kampung belajar budaya dan agama, mandi di sungai, berkebun dengan nenak atau ke dusun buah bersama atuk, bersembang dengan pakcik dan makcik, belajar anyam ketupat dengan sepupu daripada menghadap skrin telefon dan tak tahu ke mana mereka di bawa dalam alam maya itu.

Selamat Hari Raya dan selamat bercuti!