Teksi vs Uber/GrabCar, sampai bila?

taxi_uber_grabcar_600

Mengapa pemandu teksi marah sangat pada pemandu Uber dan GrabCar, dan tidak sudah-sudah menuduh rezeki mereka dicuri?

Marah benar pemandu teksi sehinggakan sanggup berlagak gengster membelasah pemandu Uber dan GrabCar. Sudahlah begitu, asyik nak berdemonstrasi saja sampai menyesakkan jalan raya di ibu kota, seterusnya menyusahkan orang lain.

Tidakkah mereka terfikir tindakan semberono seumpama itu akan menghalau penumpang lebih jauh daripada perkhidmatan teksi kerana rasa menyampah, meluat.

Dalam zaman ikat perut seperti sekarang, semua orang tak pedulikan semua orang. Apa yang penting, perut sendiri. Hidup kena ikut arus perubahan, terutama jika perubahan itu membolehkan kita sebagai rakyat biasa berjimat duit, masa dan tenaga.

Penumpang tidak peduli jika pemandu teksi kena bayar lesen PSV, insurans, fi harian kepada syarikat konsesi atau kos pemeriksaan Puspakom setiap enam bulan. Kerana apa yang penting ialah mereka dapat tiba ke destinasi dalam keadaan selamat, pengalaman perjalanan menggembirakan dan paling utama, harga tambang amat berpatutan.

Ada banyak sebab kenapa perkhidmatan Uber/GrabCar menjadi pilihan pengguna berbanding teksi. Antaranya ialah ia mudah kerana hanya perlu mencari pemandu menggunakan aplikasi di telefon pintar. Klik klik, terus sampai pemandu di mana pun kita berada.

Sebab lain, ia banyak promosi menawarkan diskaun harga tambang. Pemandunya juga tidak pernah menolak penumpang, tidak kisah ke mana pun, dihantar juga. Tambahan lagi, mereka guna aplikasi Waze untuk mudah mencari laluan terpantas ke destinasi.

Daripada segi keselamatan, ia boleh dikatakan selamat kerana maklumat pemandu dan penumpang semua sudah pun diketahui. Faktor paling penting ialah tambangnya berpatutan, dan tiada caj tambahan dikenakan selepas tengah malam.

Nilai tambah perkhidmatan ini ialah keretanya kemas, baharu, bersih dan wangi serta layanan pemandu kepada penumpang juga memuaskan. Segala-galanya perlu dipastikan elok untuk menyambut penumpang kerana syarikat akan menyenaraihitamkan pemandu yang melanggar peraturan.

Satu-satunya faktor menolak dalam Uber/GrabCar ini ialah ia tidak dilindungi insurans kerana selagi kerajaan tidak mengiktiraf perkhidmatan itu, ia masih dianggap haram.

Sepanjang pengalaman saya menggunakan teksi, sejujurnya tidak semua pemandunya teruk, kereta busuk, tinggalkan penumpang tepi jalan, tak mahu guna meter dan sebagainya. Masih banyak pemandu teksi yang tulus hatinya, baik, tampil kemas dan kereta bersih. Tetapi kerana nila, susu rosak jua.

Saya hairan mengapa pemandu teksi ego sangat dan tidak mahu bermuhasabah diri, silalah ambil iktibar daripada kelebihan yang ada dalam perkhidmatan Uber/GrabCar. Susah sangatkah untuk perbaiki diri seperti mana yang penumpang mahukan?

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan membentangkan kertas kerja akhir kepada Kabinet berhubung isu perkhidmatan GrabCar dan Uber tidak lama lagi. Kertas kerja pertama sudah pun dihantar untuk disemak Unit Perancang Ekonomi.

Kalau keputusannya berpihak kepada Uber/GrabCar, apakah yang pemandu teksi hendak buat? Berpiket, mogok dan merajuk lagi?

Cadangan saya, pemandu teksi, terutama yang memandu kereta milik syarikat, mereka patut rebut peluang dan bertukar kepada Uber/GrabCar. Pendapatan pun boleh tahan, mereka juga boleh belajar jadi pemandu berhemah dan penyedia khidmat lebih baik untuk penumpang.

Selama ini pun, pemandu teksi selalu merungut ada pihak mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan atas segala caj dan bayaran yang dikenakan ke atas mereka untuk bernafas dalam industri teksi. Maka, inilah masanya untuk jadi oportunis.

Mungkin cadangan ini kedengaran dangkal, tetapi cuba fikirkan baik-baik dengan berlapang dada. Kalau perkhidmatan Uber/GrabCar tidak lagi haram, pemandu teksi hilang hak untuk kecam ia.

Kalau masih mahu setia dengan perkhidmatan teksi, bersiap sedialah menerima buruk baiknya dan terus percaya rezeki itu ada di mana-mana dan berkhidmat dengan ikhlas.

Bumi Allah ini luas dan setiap insan dijanjikan rezeki untuknya. Walau apa pun, kita kena percaya, hijrah itu selalunya membawa kita ke laluan yang lebih baik.