Terengganu tak bersatu

Ahmad SaidOleh Aizat Fikri Nasir Fikri

Iklim politik di Terengganu sukar diramal dan sentiasa ada pasang surutnya. Melihat pada situasi politik Terengganu ibarat menonton drama bersiri House of Cards – sebuah drama satira politik terbitan Media Rights Capital Trigger Street Productions.

Cerita ini berkisarkan Frank Underwood yang diperankan oleh Kevin Spacey. Kisahnya berkisar lewat Frank, seorang ahli politik Amerika Syarikat yang biasa dan kurang menonjol, namun berjaya menjadi presiden Amerika Syarikat dalam masa singkat melalui cara yang licik.

Drama ini memperlihatkan sisi gelap politik yang dipenuhi dengan dendam, tiada perikemanusiaan dan tipu muslihat. Menonton drama ini boleh menyebabkan kita lupa seketika nilai murni yang diterapkan melalui subjek Pendidikan Moral dan Pengajian Islam di bangku sekolah.

Ahmad Razif kini diasak kiri dan kanan. Saban hari makin ramai pemimpin bersuara supaya beliau meletakkan jawatan sebagai menteri besar. Persoalannya, siapakah Ahmad Razif? Kebanyakan orang di luar Terengganu, malah sesetengah orang Terengganu sendiri tidak mengenali siapakah menteri besar Terengganu ini.

Beliau ialah anak kelahiran Seberang Takir, sekampung dengan saya. Bekas guru kaunseling ini cuba berjinak-jinak dalam Pemuda Umno tetapi gagal. Ada yang melabelkan beliau sebagai ahli politik mi segera kerana tanpa diduga dipilih menjadi calon BN, menang dan diangkat menjadi exco kanan.

Benar, pengalamannya dalam politik sangat cetek. Ilmu mentadbir kerajaan pun belum penuh di dada. Tentunya amat sukar untuk individu seperti ini memperoleh hormat daripada pegawai kanan kerajaan.

Kini setelah hampir tiga tahun Ahmad Razif menjadi menteri besar, saya sebagai anak kelahiran Terengganu yang dibesarkan di tanah bertuah itu masih kabur oleh pelan pembangunan yang terancang. Sebagai anak jati, saya tidak tahu matlamat dan hala tuju kerajaan negeri.

Rungutan daripada ahli perniagaan dan kontraktor tempatan yang merasakan tiada ruang bagi mereka untuk melebarkan sayap niaga justeru didominasi kroni yang bukan saja bukan anak tempatan malahan bukan Melayu jelas berkesiuran.

Sedih juga mendengar cerita balak khazanah negeri dengan rakusnya diagih-agihkan kepada kroni. Bauksit secara haram dikeluarkan dan pimpinan negeri ibarat membutakan sebelah mata. Adakah kita mahu Terengganu menjadi seperti Pahang yang rosak keindahan alamnya dan memerlukan pelan pembangunan yang memakan masa berpuluh-puluh tahun untuk membaik pulih keadaan?

Berbaloikah mempertaruhkan kekayaan alam demi mengenyangkan lembu peliharaan sendiri? Apakah yang hendak diwariskan kepada anak cucu kita nanti? Atau sekadar berfikir, “Cukuplah sekadar perut aku kenyang, persetan masa depan”.

Sokongan terhadap Umno dilihat semakin merosot. Tidak cukup dengan isu nasional, masalah kepimpinan di Terengganu memburukkan lagi keadaan sedia ada. Saya dapat melihat dengan jelas Umno di Terengganu persis telur di hujung tanduk.

Saf kepimpinan berterabur dan pemimpin menunggu masa untuk menikam sesama sendiri. Terengganu sebenarnya memerlukan seorang pemimpin berjiwa besar. Memetik kata-kata seorang penulis tersohor dari Amerika Syarikat Napoleon Hill, kejayaan yang hebat biasanya datang daripada pengorbanan yang hebat dan bukannya sifat mementingkan diri sendiri.

Sehingga kini, langsung tiada langkah penyatuan yang digagaskan oleh Ahmad Razif untuk memperkasakan parti. Seharusnya, rujuklah pada otai politik; minta tunjuk ajar daripada orang yang pernah memenangkan BN pada 2004. Lupakan persengketaan. Janganlah menyisihkan senior yang masih banyak pengaruh dan boleh membantu memastikan kelangsungan Umno di Terengganu. Ular menyusur akar takkan hilang bisanya.

Apa yang mengeruhkan lagi keadaan adalah apabila ada cakap-cakap yang mengatakan Ahmad Razif dibonekakan oleh abangnya. Umum mengetahui pemain utama dalam menjelmakan impian Ahmad Razif sebagai menteri besar ialah abangnya, Azmi Abdul Rahman dan setiausaha politik perdana menteri Datuk Jailani Ngah.

Suka saya mengingatkan diri saya dan juga Yang Amat Berhormat menteri besar sejarah mengajar banyak pemimpin terdahulu jatuh akibat orang kanannya sendiri justeru menerima salah nasihat. Bahkan Firaun pun pernah beberapa kali mahu memeluk Islam tetapi disebabkan diracun orang kanannya, perkara itu tidak terealisasi.

Pada pandangan saya, banyak bebanan politik yang tergalas di pundak Ahmad Razif. Oleh itu tidak mungkin beliau dapat menyatupadukan Umno Terengganu kembali kerana di bahagian Kuala Nerus sendiri pun jurang persengketaan masih melebar.

Tiada sokongan penuh diberikan kepada kepimpinannya. Buktinya, apabila beliau digasak, langsung tidak ada suara yang mempertahankannya baik Pemuda, Puteri dan Wanita bahkan di kepimpinan bahagian sendiri.

Saya hanyalah rakyat kerdil yang menjunjung panji-panji kebesaran DYMM Tuanku. Tidak mungkin saya dapat mentafsir maksud di sebalik titah penarikan darjah kebesaran YAB menteri besar oleh DYMM Tuanku.

Rakyat Terengganu dalam apa jua keadaan sekalipun akan sentiasa bersama mempertahankan Tuanku. Amatlah tidak sensitif bagi saya apabila kedapatan pemidang ‘Kami sokong MB’ dipasang berdekatan pagar istana selepas insiden penarikan darjah kebesaran tercetus. Hal ini mencerminkan ketidaksetiaan dan kekurangan rasa hormat sesetengah pihak terhadap institusi diraja. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan amatlah membimbangkan.

Timbalan perdana menteri dalam ucapannya semasa merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Bera menggesa supaya kemelut politik Terengganu diselesaikan. Umno Terengganu kini ibarat ditusuk sembilu yang melemahkan sendi perjuangan. Sembilu itu jika tidak dibuang akan melumpuhkan seluruh sistem. Adalah sangat mudah untuk merealisasikan saranan timbalan perdana menteri itu. Saya pasti beliau sendiri tahu jawapannya.

Apa yang saya suarakan kali ini sudah lama terbuku di sanubari. Saya sedar saya bertapak di Umno Bahagian Kuala Nerus. Saya juga sedar YAB Ahmad Razif adalah ketua saya. Percayalah ini bukan langkah derhaka saya. Darah panas yang mengalir di dalam tubuh ini semerah wadah perjuangan Umno. Tidak terlintas langsung di hati saya untuk merosakkan parti.

Apa yang saya suarakan adalah demi kebaikan bersama. Memegang kata-kata Datuk Onn, janganlah bergerak seperti gunting, melangkah tetapi memutuskan. Bergeraklah seperti jarum, menusuk tetapi menyatukan.

Aizat Fikri Nasir Fikri ialah bekas timbalan presiden Umno London.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT