FFM28: Antara rasis dan kebersatuan rakyat Malaysia

ffm28_600

Hebat betul penangan kontroversi Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) sehinggakan daripada peringkat orang dalam industri, orang biasa-biasa, orang besar-besar hingga orang politik berteriakan beri komen, berhujah, berfalsafah dan dibahaskan dalam mesyuarat.

Di media sosial, berperang keyboard warga netizen saling berbalas pandangan, ditambah rencah kutuk mengutuk serba sedikit. Di portal berita dan media cetak, beria-ia orang dalam industri berlawan pendapat dengan penganjur dan pelbagai persatuan terlibat.

Kecoh betul sehinggakan ada yang menduga isu FFM sengaja digembar-gemburkan untuk alih perhatian masyarakat daripada isu 1MDB dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Terlalu kecoh hinggakan sekarang semua orang tahu kewujudan FFM, sedangkan selama ini, ramai yang tidak tahu menahu adanya FFM di Malaysia ini.

Semuanya tercetus hanya kerana filem Ola Bola yang pengarahnya seorang Cina dan Jagat, diarahkan seorang India. Tidak pasti mengapa Ola Bola terlalu diagungkan dan ramai pula yang bimbang jika filem yang mengangkat kisah sukan bola sepak negara itu tidak pulang membawa anugerah pada FFM kali ini.

Sedangkan jika ikut senarai kutipan tiket pada 2016, Ola Bola berada di tangga ke-5 dengan kutipan RM15.85 juta. Filem The Journey yang menjadi pemenang Filem Bukan Bahasa Malaysia Terbaik (kategori ini kali pertama diperkenalkan tahun lalu) dalam FFM27 masih mengatasi jumlah kutipan tiket Ola Bola iaitu RM17.17 juta. Setakat tahun ini, filem Munafik berada di kedudukan teratas daripada segi kutipan tiket iaitu RM19 juta.

Penganjur mensyaratkan 70% penggunaan bahasa Melayu dalam filem bagi melayakkan ia bertanding bagi kategori Filem Terbaik. Maka, sah Ola Bola arahan Chiu Keng Guan terbitan Astro Shaw tidak layak merebut kategori itu.

Tapi, ia tidak tersingkir terus, dan masih layak berada dalam festival menerusi kategori Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia bagi bertarung dengan dua filem Cina iaitu Huat The Fish dan The Kid From The Big Apple serta dua filem Tamil; Jagat dan Maravan.

Tuduhan rasis

Maka bertempiklah penggiat industri hinggakan pelakon dan pelawak terkenal Afdlin Shauki memboikot FFM28 dan menggelarnya rasis. Tindakan itu disokong beberapa individu dan langkah sama diambil ramai lagi artis lain, dan ada orang dalam persatuan letak jawatan.

Malah, ada yang memulangkan trofi pernah dimenangi dalam FFM sebelum ini kepada penganjur, demi tunjuk perasaan dan tanda protes.

Mengagumkan kerana yang tegar mempertahankan filem tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya itu ialah orang Melayu. Orang Melayu yang memperjuangkan supaya filem tidak dikategorikan mengikut bahasa. Ia filem, kerja seni dan tidak sepatutnya dimasukkan dalam arena pengasingan bahasa. Ia perlu dilihat dan dinilai daripada aspek seni filem itu, bukan penggunaan bahasanya.

Tapi, pelik juga kerana mereka yang terlibat dalam Ola Bola dan Jagat sendiri tidak turut berkokok kuat luah perasaan geram. Diam saja. Mungkin lebih gemar ambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ atau biarkan saja orang lain lepaskan geram bagi pihak mereka.

Inilah Malaysia. Segala-galanya akan berbalik kepada pusatnya – rasis. Pihak yang ini kata pihak sana rasis. Pihak sana kata pihak situ tidak pertahankan identiti. Hilangkah jati diri sesuatu bangsa jika dia tidak berbahasa ibunda? Mungkin betul ia akan hilang, kalau tidak, masakan diwujudkan frasa “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Tak habis-habis isu rasis ini. Sesungguhnya ia perkara sensitif yang melanda dunia. Tetapi, inilah warna-warni kehidupan yang mencorakkan kotak pemikiran serta pembinaan diri sendiri.

Sila raikan perbezaan kerana kita sememangnya manusia yang berbeza. Pada masa sama hargai, pelihara jati diri kita, jangan sampai kita hilang siapa diri kita sebenarnya. Kata kunci di sini ialah, wasatiyah dan imbang. Darah kita sama merah, tanpa mengira kita Cina, India atau Melayu.

Akhirnya, selepas kecoh sana sini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai penganjur mengalah. Selepas beberapa hari FFM28 ‘digasak’, akhirnya semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengumumkan penyertaan bagi Anugerah Filem Terbaik pada FFM dibuka kepada semua penggiat industri filem di negara ini.

Malah, ditambah pula kategori baharu, Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.

Susah puaskan semua

Puas hati semua pihak? Mungkinkah si dia yang memulangkan trofi pengiktirafan bakat dan perih jerihnya dalam industri, mahu meminta kembali trofinya?

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Begitu juga dengan isu ini. Meskipun ia hanya selingan dalam kehidupan harian rakyat Malaysia, tetapi semua pihak yang berkepentingan perlu ambil iktibar.

Bagi Finas, ia kena perbaiki cara penganjurannya. Dapatkan pandangan lebih ramai pihak, bukan hanya syok sendiri. Sejak penganjurannya pada 1982 iaitu ketika FFM3 yang diambil alih daripada Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia, terlalu banyak kontroversi melanda.

Ini bukan kali pertama ada penerima anugerah pulangkan trofi sebab penyair dan penulis, Pyanhabib pernah memulangkan trofi dimenangi pada FFM6 (1986) bagi kategori pelakon pembantu terbaik.

Memang betul, kata orang susah hendak dipuaskan hati semua pihak. Terlalu biasa, “rumah siap, pahat masih berbunyi”. Tetapi tindakan mengasingkan filem mengikut penggunaan bahasa dalam filem, rasanya itu tidak wajar.

Tiada had kreativiti

Tuan-tuan di Finas, tolonglah faham pembikinan filem itu satu kerja kreatif. Tiada ruang terhad untuk kreativiti. Biarkan kreativiti itu berkembang untuk melahirkan naskhah yang lebih berkualiti, bukan sekadar filem sampah yang masuk pawagam barang seketika, kemudian terus dijual di stesen TV berbayar.

Bagi penerbit, penulis skrin layar dan skrip, pengarah dan keseluruhan penggiat industri, tolonglah faham ini Malaysia. Sila hormati bahasa kebangsaan. Apa dosa bahasa kebangsaan sehingga sering kali dianaktirikan, terutama sekali dalam negara sendiri.

Sedangkan di Academy Awards di Amerika Syarikat sekalipun, antara kriteria utama untuk penyertaan di bawah kategori filem bahasa asing ialah penggunaan bahasa ibunda oleh pembikin filem yang mengambil bahagian, bukan Bahasa Inggeris.

Jangan ambil kesempatan terhadap insiden tahun ini dan jadikan ia batu sempadan serta teladan dalam menghasilkan karya lebih baik pada masa depan. Yang pastinya, dengan pengisian lebih 70% dalam bahasa kebangsaan.

“Filem kita, wajah kita” – ingat, itu pesanan Finas.