Minda siapa sebenarnya dijajah?

Raja-BahrinOleh Raja Bahrin Shah

Selepas isu Amerika hendak “bunuh Melayu” oleh Ketua Menteri dari negeri Hang Tuah, isu “penjajahan melalui penguasaan minda” pula ditimbulkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia dari bumi Sabah.

Selepas satu strategi ancaman kententeraan hendak menakutkan rakyat kurang menjadi, strategi penaklukan minda pula dimomokkan.

Menteri Barisan Nasional (BN) memang ingin rakyat sentiasa berada dalam ketakutan “hantu” ancaman luar walaupun rakyat yang waras tahu “hantu” sebenar adalah pemerintah jembalang tempatan.

Banyak ironisnya dalam dakwaan Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana kerajaan BN menguasai kesemua media secara monopoli sejak Merdeka hampir 60 tahun.

Hampir 60 tahun segala media perdana dari TV1 hingga TV3, RTM dan Utusan Malaysia sehingga kumpulan NST.

Fasa pertama 60 tahun itu digunakan sepenuhnya untuk membasuh dan membentuk secara terancang minda rakyat bahawa hanya Umno dan BN boleh memerintah, kalau tidak, keamanan negara akan tergugat dan rusuhan akan berlaku.

Ini adalah penjajahan minda terancang.

Menteri menyatakan negara Barat hendak menguasai Malaysia dengan menentukan bagaimana rakyat harus berfikir. Bukankah ini yang dilakukan oleh kerajaan melalui monopoli media dan Biro Tata Negara selama ini, tanpa pandangan alternatif dibenarkan?

Penjajah tidak semestinya terdiri dari orang asing. Penjajahan minda yang juga dipanggil “indoctrination” atau mencuci otak (brainwash) sudah lama berlaku secara berterusan.

Bezanya hari ini dengan zaman langit terbuka siber, pandangan berbeza sebagai alternatif dikemukakan oleh dunia luar bukan sahaja dari Barat tetapi juga dari tamadun kaya negara Islam Timur Tengah.

Hari ini kita mempunyai pilihan yang selama ini dinafikan kepada kita. Islam menggalakkan kita menuntut ilmu seluas luasnya dan menggunakan kebijaksanaan untuk membuat penilaian yang sepatutnya.

Kalau selepas hampir 60 tahun Merdeka, kita masih tidak berupaya membuat penilaian dengan bijaksana, Kerajaan Umno dan BN telah gagal mendidik rakyat dengan sistem yang baik ataupun kerajaan memperlekehkan kebolehan rakyat sendiri untuk berfikir dan membuat penilaian yang bijak.

Jangan menghina kebolehan rakyat sendiri. Sampai bila rakyat sendiri hendak terus di perbudakkan?

Kalau maklumat dan ilmu pengetahuan luar perlu senantiasa di kawal, kenapa pula kebebasan komersil perniagaan dibuka seluas-luasnya melalui perjanjian seperti TPPA dengan Amerika?

Ia bukan hanya merupakan penjajahan komersil tetapi juga penjajahan nilai-minda dan ancaman kedaulatan undang-undang Malaysia, kerana undang-undang asing Amerika Syarikat boleh digunakan secara meluas di Malaysia!

Adakah kerana pertimbangan kewangan pihak tertentu kita sanggup menggadai negara? Di mana maruah negara? Untuk maklumat dan ilmu perlu dikawal rapi, tetapi untuk kepentingan kewangan dibuka seluas-luasnya?

Sebenarnya Salleh tidak perlu melihat jauh sehingga ke Amerika untuk contoh penjajahan minda yang kronik.

Jirannya Sarawak telah melihat bagaimana penjajahan minda dan ekonomi Umno serta BN Semenanjung melanda Sabah sehingga mereka tidak membenarkan Umno memasuki negeri itu.

Hari ini, Sabah, negeri Salleh sendiri, bergolak dengan kesedaran penjajahan minda Umno untuk rakyat terus bergantung hanya kepada Umno mesti ditolak.

Ramai sedang meninggalkan Umno.

Penjajahan minda yang paling bahaya hari ini adalah konsep kebergantungan terus hanya kepada Umno-BN yang diasak ke dalam pemikiran rakyat. Penjajahan minda yang mengambarkan hanya subsidi serta BRIM yang mampu memberi kesenangan jangka pendeklah merosakkan nilai masyarakat kita hari ini.

Bukan secara kebetulan Sabah, Sarawak, Kelantan serta Terengganu yang merupakan 4 negeri termiskin selepas 60 puluh tahun Merdeka dan berpuluh tahun menjadi pengeluar minyak utama negara. Kemiskinan akan memastikan rakyat negeri terus bergantung kepada subsidi kerajaan pusat serta menjajah minda mereka supaya terus tunduk kepada tuan besar di Putrajaya, bukan Amerika.

Penjajahan minda serta kebergantungan kepada Putrajaya ditambah lagi dengan penarikan “royalty” minyak yang dipersetujui semasa Tun Razak lagi dari Kelantan dan Terengganu.

Untuk menambahkan lagi penghinaan serta penjajahan minda dan melengkapkan sikap menghambakan diri Terengganu kepada Putrajaya, istilah wang royalti hari ini diganti dengan istilah “wang ihsan”!

Bukankah orang yang dijajah hanya boleh mengharapkan ihsan dari penjajahnya dan tidak lebih daripada itu?
Itulah penjajahan minda Putrajaya yang lengkap ke atas Terengganu yang 97% Melayu dan di antara termiskin di Malaysia.

Kerana itulah kebebasan maklumat dari alam siber menjadi bahaya untuk rakyat yang sedang dijajah supaya mereka kurang tahu tentang hak sebenar mereka dari alam siber yang luas.

Penjajah minda serta ekonomi yang paling zalim dan cerdik adalah Israel. Mereka berpuluh tahun mengusir rakyat Palestin dari bumi mereka sendiri dan menjajah minda mereka supaya mereka tidak diberi hak dibumi sendiri dan hanya boleh mengharapkan ihsan semata-mata dari Israel.

Kerajaan Malaysia sudah lama melantik APCO yang ada hubungan rapat dengan Israel dengan bayaran puluhan juta. Konsep “1 Malaysia” dikatakan ada banyak persamaan dengan konsep asal “One Israel”.

Apa yang terjadi selepas begitu lama konsep 1Malaysia di lancarkan? Perpaduan kaum di tahap terendah sejak Merdeka dan budaya pelampau serta perkauman menjadi makin kronik.

Bukankah ulama Islam sedunia sepakat Israel musuh nyata umat Islam hari ini? Ejen mereka bukan menyusup masuk melalui pintu belakang. Permaidani merah dibentang masuk pintu utama Malaysia oleh kerajaan

Amerika tidak perlu menjajah minda kita.

Minda kerajaan kita secara senyap-senyap lama dijajah dan dipengaruhi APCO dari Israel. Ini bukan kisah musuh dalam selimut, tetapi musuh yang diselimuti kerajaan supaya terlindung dari pandangan rakyat.

Langit terbuka tidak perlu ditutup bagi menghalang dari menjajah minda kita kerana rakyat biasa berwaspada serta bijak menilai.

Kerajaan sendiri yang membuka luas pintu depan negara untuk dijajah minda mereka oleh penasihat APCO dari Israel.

Di manakah perpaduan kaum yang diharapkan oleh konsep “1Malaysia” hari ini?

Di manakah sikap kesederhanaan Islam hari ini yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak?

Sebenarnya minda siapa yang dijajah?

Raja Bahrin Shah ialah ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.