Tak wajar tuduh NGO sabotaj Pulau Pinang

idris

Oleh S.M Mohamed Idris

Baru-baru ini telah berlaku kegemparan mengenai surat Penang Forum kepada UNESCO. Surat ini telah meminta misi nasihat dan penilaian kesan cadangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan bagaimana ia mungkin menjejaskan nilai sejagat yang menonjol (Outstanding Universal Value – OUV) hartanah warisan dunia Pulau Pinang.

NGO dituduh meletakkan risiko pada status tapak warisan dunia Pulau Pinang dan menikam Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari belakang.

Adakah tuduhan ini wajar?

Di bawah Klausa 172 Garis Panduan Operasi, Jawatankuasa Warisan Dunia menjemput pihak kerajaan dalam Konvensyen untuk MEMAKLUMKAN kepada Jawatankuasa, melalui Sekretariat, akan niat mereka untuk melaksanakan atau membenarkan kawasan yang dilindungi di bawah pemuliharaan utama Konvensyen atau pembinaan baharu yang mungkin akan menjejaskan OUV hartanah.

Adalah jelas dalam klausa ini bahawa George Town World Heritage Inc. (GTWHI) sebagai pelindung OUV George Town adalah bertanggungjawab untuk sekurang-kurangnya memaklumkan kepada UNESCO tentang cadangan kerajaan negeri untuk membina stesen LRT dan monorel di lokasi bersempadan dengan zon penampan tapak warisan George Town dan menjemput UNESCO untuk menghantar misi nasihat.

NGO telah mengemukakan kebimbangan mereka berkenaan kemungkinan kesan daripada pembinaan struktur bertingkat yang bersempadan zon warisan. Ini telah dilakukan beberapa kali dalam forum awam, dalam perbincangan dengan pegawai kerajaan negeri serta Majlis Pengangkutan Pulau Pinang yang mana Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut menjadi ahli. Oleh itu GTWHI menyedari akan isu ini dan kepentingannya.

Orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui jika GTWHI sebagai pelindung utama status warisan George Town telah mengambil sebarang langkah konkrit untuk menghubungi dan memaklumkan UNESCO berhubung perkembangan ini. Jika ya, kami ingin mendapatkan buktinya dan untuk mengetahui maklum balas daripada UNESCO. Jika tidak, kenapa ia tidak dilakukan?

Surat Penang Forum kepada UNESCO bertajuk “Melaka and George Town World Heritage Property: Request for UNESCO Advisory Mission and Impact Assessment of Proposed Transport Master Plan in George Town, Penang.” Ia bukan surat aduan. Ia adalah surat permintaan untuk mengambil tindakan proaktif dalam usaha untuk mencegah dan mengelakkan sebarang tindakan yang mungkin mengancam status warisan Pulau Pinang.

Adalah mustahak bagi penilaian bebas terhadap kesan ke atas warisan dibuat dan dikemukakan kepada UNESCO untuk diteliti SEBELUM kerajaan negeri Pulau Pinang menandatangani dan terlibat untuk membina projek yang dicadangkan dalam usaha untuk mengelakkan komplikasi perundangan dan isu pampasan.

Dalam hal ini usaha NGO seharusnya dialu-alukan dan bukannya dikritik.

Sebagai kerajaan yang komited kepada amalan kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu melibatkan diri dengan lebih membina bersama dengan masyarakat sivil.

S.M Mohamed Idris adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT