Selepas isu ‘sekadar’, Akta Tajuk Berita bakal digubal?

Kerajaan kini dalam proses perbincangan menggubal undang-undang khas Akta Tajuk Berita (ATB) bagi mengawal gaya tajuk media tempatan, susulan kecaman orang ramai terhadap dua akhbar yang dituduh memperkecilkan pencapaian atlet negara di sukan Olimpik baru-baru ini.

“ATB sekadar memberi peringatan kepada pengamal media untuk melaporkan dengan berhemah, bukan sekadar mencari populariti,” kata seorang sumber dalaman kementerian bertanggungjawab, yang sekadar mahu dikenali sebagai Datuk Seri Eskay Emem.

Sebelum ini, akhbar “Hairan” memperlekehkan pencapaian beregu badminton negara dengan menyebut mereka “sekadar raih perak”.

Selepas mengundang kritikan ramai, seorang menteri belia dan sukan yang enggan dikenali menasihatkan media memberikan semangat kepada atlet negara dan tidak menggunakan perkataan seperti “sekadar“.

Sumber yang sama memberitahu, rang undang-undang ATB yang bakal digubal itu antara pelan tindakan transformasi media yang bakal diumumkan kerajaan, di mana media internet yang semakin popular bakal menjadi sah secara rasmi walaupun mendapat tentangan media tradisi.

“Kalau SPAD boleh luluskan Uber, kami juga boleh luluskan portal berita,” tambahnya sekadar perbandingan.

Menurutnya, peranan tajuk bukan sekadar penghias berita malah boleh mempengaruhi sentimen orang ramai.

“Akta yang bakal dilaksanakan akan membutirkan perkataan yang tidak boleh digunakan dalam sesuatu tajuk berita,” katanya sekadar memberi bayangan isi rang undang-undang yang kini sekadar lontaran ilham di peringkat awal.

Sehubungan itu, satu pusat penjelasan (clearing house) tajuk berita beroperasi 24 jam akan ditubuhkan bagi memastikan setiap tajuk diluluskan jawatankuasa khas yang tugasnya sekadar meneliti gaya tajuk yang dicadangkan pengarang.

Beliau mengakui peraturan baharu itu mungkin menyebabkan berita lambat dimuat naik memandangkan portal berita bukan sekadar berlumba mendapatkan laporan menarik malah lebih kepada siapa cepat.

“Pada peringkat awal, kita mensasarkan 30 minit untuk setiap tajuk berita diluluskan pusat penjelasan itu,” kata sumber berkenaan. “Insha Allah, mungkin apabila sudah biasa nanti, tempoh kelulusan boleh berlaku dalam 5 minit di masa depan.

“Tetapi ini sekadar jangkaan,” tambahnya sekadar menjelaskan cadangan itu.

Katanya, ia bukan sekadar menjaga etika kewartawanan tetapi dapat memastikan semangat kesukanan tidak sekadar berkobar di kalangan atlet, malah juga profesion media dan mereka yang sekadar dengannya.

Perbincangan ATB turut melibatkan semua pihak dan bukan sekadar pengamal media.

“Ia supaya harapan jutaan rakyat tidak dihampakan,” tambah sumber itu.

Sementara itu, sumber rapat di Jabatan Perdana Menteri bimbang pemberitaan memperlekehkan sesuatu kejayaan boleh merebak kepada bidang lain dan tidak terhad sekadar laporan sukan.

“Misalnya, bila parti pemerintah menang sekadar majoriti mudah pada pilihan raya umum kelak, kita tidak mahu senario di mana kemenangan itu diperkecilkan.

“Ini boleh memberi kesan terhadap keyakinan pelabur yang sekarang ini jatuh sekadar beberapa peratus sahaja,” katanya.

* Sekadar maklumat tambahan: artikel ini sekadar gurauan.