Awas – ‘keldai pembangkang’ di hadapan

mo1bOleh Khairul Naim Rafidi

Apabila berbincang soal gerakan mahasiswa, akan timbul istilah seperti “kumpulan pendesak” (pressure group), “watch dog”, “tradisi mencabar”, “student rebellion”, “student revolt”, “student resistance”, “student power” dan sebagainya.

Ada waktunya, masyarakat memberikan pula ungkapan yang tidak begitu sesuai sebagai reaksi: “rebel without cause” dan “angry young men”.

Paling popular zaman ini, ada juga yang memberi gelaran pelik dan jelik secara sembrono tanpa analisis dan usul periksa terhadap gerakan mahasiswa seperti “kuda tunggangan”, “keldai pembangkang”, “manusia tak bersyukur” dan berbagai-bagai lagi.

Sesetengah pihak berhujah secara “double standard” dengan mengatakan mahasiswa yang terlibat dengan demonstrasi dan protes duduk di atas telunjuk pihak pembangkang dan bukan atas idealisme dan keinginan advokasi sendiri.

Gerakan mahasiswa di Malaysia menyelusuri satu perjalanan yang sangat panjang. Malah ia bermula sejak 1900-an dan ditandai oleh tokoh pelajar Islam seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Syed Salim Al-Kalali, Syeikh Tahir Jalaluddin dan ramai lagi.

Kemudian ia diikuti oleh kebangkitan perjuangan untuk tanah air yang dipelopori oleh tokoh seperti Ibrahim Yaakub dan Hasan Manan. Mustahil untuk saya mengulas satu persatu kisah perjuangan mahasiswa di sini.

Hal terpenting yang harus diingati adalah perjuangan gerakan mahasiswa bukanlah sesuatu yang asing dan baru. Ia lama bertapak dalam warna-warni politik tanah air.

Pada 27 Ogos lepas, berlangsung demonstrasi dianjurkan mahasiswa iaitu protes #TangkapMO1.

Demonstrasi ini bertujuan supaya mahasiswa, gerakan masyarakat sivil, gerakan belia dan anak muda, parti politik, pemimpin masyarakat dan rakyat dapat menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap isu salah guna kuasa yang melibatkan dana 1MDB yang kini memasuki fasa baru apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) membuka kertas siasatan dan turut menamakan “Malaysian Official 1”.

Demonstrasi tersebut berjalan lancar secara aman dengan jayanya. Namun begitu, ia dikritik secara tidak munasabah apabila dikaitkan dengan agenda pembangkang.

Tidak cukup dengan itu, mahasiswa ini dilabel sebagai “keldai pembangkang” yang hanya digunakan untuk kepentingan politik sahaja.

Maka, tidak syak lagi dalam hal ini wujud kekeliruan dan suatu penyakit yang memungkinkan sesetengah pihak melihat aksi langsung ini sebagai agenda parti pembangkang.

Persoalan seperti ini tidak mudah dan rencam, ia memerlukan sedikit keterbukaan. Tambahan pula, isu mahasiswa yang melakukan protes adalah mahasiswa yang “dikeldaikan” bukanlah baru.

Demonstrasi ini dianjurkan dan dicetuskan oleh mahasiswa. Tentu sahaja mahasiswa akan menyambut mana-mana pihak yang sudi menyokong agenda ini tanpa mengira latar dan fahaman politik.

Tidak mustahil sokongan pembangkang

Secara politiknya, isu ini berkait dengan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan dan parti pemerintah, jadi tentu sahaja parti politik pembangkang akan turut serta dan memberi sokongan dalam demonstrasi yang bersifat sebegini.

Logiknya, sekiranya mahasiswa ini menganjurkan demonstrasi bagi melawan wakil parti pembangkang, tentu sahaja parti pemerintah akan memberi sokongan, bertepuk tangan dan mungkin sahaja turut serta dalam aksi tersebut.

Itu adalah resam dan sifir dalam realpolitik yang semestinya dapat dihadam dengan logik akal. Pada kali ini, kebetulan pula isu yang ingin di bawa oleh mahasiswa seiring dengan isu yang ingin disuarakan oleh pihak pembangkang.

Tambahan pula, Perlembagaan Persekutuan meletakkan asas mana-mana rakyat Malaysia bebas untuk berekspresi. Oleh itu, penyertaan individu dan organisasi temasuk parti-parti politik tidak boleh dihalang sama sekali.

Adalah sesuatu yang tidak logik sekiranya wujud suatu pemikiran bahawa kehadiran ahli politik pembangkang menandakan yang demonstrasi ini dibiayai oleh pembangkang dan mahasiswa ini “dikeldaikan” dengan begitu mudah.

Ia menjadi lebih tidak masuk akal apabila ia diungkapkan oleh pimpinan besar di Malaysia yang sibuk melaungkan aspirasi anak muda, tetapi akhirnya jika sesuatu tindakan itu tidak kena dengan tujuan dan agenda organisasi politiknya, terus sahaja beliau memetik picu pistol dan melepaskan peluru secara sembrono tanpa akal yang waras dan munasabah.

Paling lucu, wujud juga tentangan daripada mahasiswa yang menggelar diri pro-kerajaan yang turut mendendangkan nada yang sama seperti seorang ahli politik sedangkan yang cuba “ditumbuk” adalah rakan sesama mahasiswa.

Namun, tidak pula aktivis mahasiswa lain terhegeh-hegeh menggelar mereka “dikeldaikan” pemerintah, walaupun terang-terang penglibatan mereka diketahui umum dalam persidangan parti politik tertentu, malah diberi ruang untuk berucap.

Alih perhatian

Gelaran seperti ini adalah cubaan mengalih perhatian terhadap isu sebenar yang seharusnya dihadam oleh rakyat.

Isu Malaysian Official 1 bukanlah isu yang harus dilacak oleh golongan tertentu tetapi ia adalah isu sejagat yang melibat seluruh rakyat Malaysia.

Andai benar mahasiswa ini “dikeldaikan” sekalipun, isu utama yang harus dijawab adalah isu MO1 dan bukan tohmahan yang bersifat kebudak-budakkan seperti ini.

Negara ini berada dalam keadaan kritikal, jelas tiada langsung isu sama ada mahasiswa “dikeldaikan” pembangkang atau tidak. Wakil pihak pemerintah terutamanya harus menjawab isu ini dengan hujah, dan bukan dengan serangan yang bersifat politikal seperti ini.

Tindakan ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan merendah-rendahkan martabat mahasiswa sebagai golongan yang terpelajar.

Lagipun, saya yakin mahasiswa tidak pernah menghalang mana-mana pimpinan parti pemerintah untuk hadir ke demonstrasi ini.

Malah, ia inklusif dan terbuka kepada semua pihak. Ini adalah demonstrasi yang dianjur berpaksikan kepada isu yang melibatkan kepentingan negara.

Protes silam

Jika dibuka lembaran sejarah, mahasiswa pernah sahaja bersama-sama dengan parti pemerintah turun berdemonstrasi.

Misalnya, sekitar tahun 1969, Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) berhadapan dengan protes daripada University Malaya Student Union (UMSU), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Pemuda Umno dan kumpulan-kumpulan Melayu yang lain berhubung dengan kaitan institusi tersebut dengan MCA, kurikulum yang menekankan Bahasa Inggeris dan kemasukan yang kebanyakannya bukan Melayu.

Selain itu, risalah yang dikeluarkan oleh Persatuan Mahasiswa UKM iaitu Suaritasiswa bertarikh 27 Februari 1978 juga pernah mencatatkan Pemuda Umno dan gerakan mahasiswa bersama-sama berdemonstrasi menentang penubuhan Universiti Merdeka yang beraliran cina kerana ia jelas melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua ini hanyalah secebis daripada lembaran sejarah tetapi sudah cukup jelas menunjukkan tidak wujud isu sama ada mahasiswa “dikeldaikan” atau tidak.

Maka, tanggapan penganjur “dikeldaikan” pembangkang hanya kerana demonstrasi ini menyanggah pihak pemerintah adalah pandangan tidak matang dan bersifat kebudak-budakkan sama sekali.

Mungkin sahaja kata-kata mantan wanita pertama Amerika Syarikat, iaitu Eleanor Roosevelt iaitu “great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people” terpakai dalam situasi ini.

Oleh itu, saya melihat gelaran seperti “keldai” adalah tidak adil dan kurang sesuai untuk dilemparkan kepada mahasiswa yang merupakan pemimpin negara untuk masa akan datang.

Saluran betul?

Kata Prof Ungku Aziz dalam kenyataannya di Straits Times bertarikh 16 Ogos 1969, “kita tidak boleh menyekat satu generasi mahasiswa dan berharap mereka menjadi pemimpin masa depan”.

Dalam apa jua keadaan, gerak advokasi dan aksi mahasiswa itu harus disokong dan sekiranya mereka tersilap, ia haruslah ditegur secara matang dan bukan dihukum serta direndah-rendahkan inisiatif gerak kerja mereka.

Setiap orang pasti pernah melalui zaman muda bergelora seperti mahasiswa, usahlah angkuh dan cepat menghakimi mahasiswa tanpa usul periksa hanya kerana sudah berada di singgahsana yang atas sedikit.

Zaman mahasiswa merupakan satu fasa mereka belajar untuk menyuarakan cita-cita, harapan dan aspirasi politik mereka seperti yang pernah diungkap oleh Ungku Aziz: “Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar”.

Walaupun kita semua sedia maklum terdapat berbagai-bagai kaedah bagi menyuarakan pandangan, saya berpendapat definisi “saluran betul” yang cuba dibawa oleh pihak tertentu adalah sesat, tidak benar dan mempunyai motif politik semata.

Mana mungkin demonstrasi adalah saluran yang tidak betul sedangkan Perlembagaan Persekutuan menjamin hak tersebut dalam Perkara 10 (1) (b)?

Adakah arkitek negara ini cuai sehingga gagal memastikan undang-undang tertinggi negara bebas daripada kaedah dan saluran yang salah dalam menyuarakan pendapat?

Adakah pemimpin pemerintah zaman silam terlepas pandang sehingga tergamak membiarkan saluran yang tidak betul ini kekal dalam undang-undang tertinggi yang dijunjung oleh seluruh rakyat negara ini?

Ini persoalan yang harus dijawab sebelum peluru sesat dilepaskan ke atas mahasiswa yang saya kira hanya menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara. Ini adalah satu bentuk perjuangan berperlembagaan.

Tidak semestinya mahasiswa yang tidak menyalurkan pendapat melalui ruang yang disediakan oleh pihak pemerintah itu tidak intelektual, dan tidak semestinya mahasiswa yang bersuara di kotak-kotak yang disediakan pemerintah itu jujur, benar dan intelektual. Kedua-duanya harus disokong dan dinilai secara adil.

Perbezaan ini harus dilihat secara matang. Sebagai masyarakat yang bijak, pandangan mahasiswa harus diraikan dan dihormati. Kepelbagaian akan menyebabkan bercambah idealisme dalam kalangan mahasiswa.

Akhir sekali, seperti mana turun naik sesebuah negara, organisasi dan individu, kita harus menerima hakikat penglibatan mahasiswa dalam politik juga adalah suatu proses.

Ia harus disokong, dan kadang-kala harus dikritik tetapi dengan cara dan pendekatan yang adil.

Jangan pula satu hari nanti disebabkan sikap golongan yang suka melabel tanpa usul periksa ini, negara kita ketandusan pemimpin masa akan datang, dan lahirlah mahasiswa yang bakal menjadi pak turut, kaki ampu dan tukang sorak tanpa berani menyuarakan perkara yang benar. Hal ini adalah berbahaya untuk sesebuah negara.

Mahasiswa harus berada di barisan hadapan dalam menentang isu-isu korupsi negara dan kerana itu mereka harus dilatih untuk bercakap benar dan jujur, bukan menjadi manusia yang berpura-pura. Sesungguhnya pemalas hanya mampu bermimpi manakala seorang pemimpi akan memastikan mimpinya dapat dirasai.

* Khairul Naim Rafidi ialah pelajar undang-undang UiTM dan pengasas Sekolah Undang-Undang Rakyat.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT