Di sebalik PEKAK: Di mana nilai OKU?

pekak

Mungkin, ramai yang ingin fokus terhadap isu moral remaja dalam filem ini, namun izinkan saya fokus terhadap isu OKU yang digarap bersama filem ini.

Di saat atlet paralimpik kita terus mengharumkan nama negara dengan 3 emas dalam sukan Paralympik bertaraf dunia walaupun wujud kelainan pada diri mereka, Pekak pula menonjolkan satu aspek berbeza terhadap golongan kelainan upaya. Perspektif ini saya kira, tidaklah akan membuka mata masyarakat, namun menolong untuk memburukkan lagi perspektif terhadap golongan kelainan upaya, sekaligus menjadi satu bentuk stereotaip mereka yang kelainan upaya ini sanggup membuat kerja-kerja kotor demi sesuap nasi…

Realiti apakah ini wahai pasukan produksi PEKAK?

Jumaat lepas saya berkesempatan untuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan di sebuah hospital. Saya hadir sebagai Pelajar Kajian Khidmat Sosial dari sebuah universiti di selatan Borneo untuk menuntut ilmu dan mengorek pengalaman para Pegawai Pembangunan Masyarakat yang lama berkhidmat bagi membantu klien-klien yang hadir dan meringankan beban mereka. Kelihatan pegawai A sibuk menguruskan bantuan bagi seorag pak cik yang bakal mendapatkan kaki palsu, pegawai B sibuk bermesyuarat bagi menyelesaikan sebuah kes, dan pegawai C sedang menjalankan satu sesi bersama kliennya yang ingin memohon bantuan.

Setiap hari, mereka tidak pernah penat atau jemu menulis laporan sosial dan menghantarkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu golongan yang memerlukan. Perkara ini saya kira pasukan produksi Pekak lupa nak tonjolkan yang sebenarnya kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan sediakan jalan dan bantuan yang bersesuaian tidak kisahlah dari segi wang atau apa-apa yang diperlukan untuk membantu golongan kelainan upaya.

Tak payah susah payah nak jual dadah!

Untuk pengetahuan kita semua, sebenarnya golongan kelainan upaya, jika dah berdaftar bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat, mereka layak mendapat bantuan bulanan serta kad OKU yang memberikan mereka pelbagai manfaat. Tinggalnya cuma cepat atau lambat sahaja. Sekali lagi, tak perlu susah payah nak jual dadah.

Ilmu saya dapat dari seorang pegawai Audiologi hari ini, Cochlear Implant (CI) bukanlah satu-satunya cara untuk merawat masalah pendengaran. Ia bukanlah tertakluk pada alatnya sahaja tetapi pelbagai rawatan rehabilitasi yang boleh dilakukan. Benar, rawatan CI memang memerlukan kos yang sangat tinggi, tetapi, janganlah kita terkejut jika saya kata ada sahaja peruntukkan untuk CI ni walaupun berkuota. Jadi, banyak sahaja cara untuk mendapatkan dana bagi rawatan CI ni, tak payah susah payah nak jual dadah!

Melihatkan produksi filem memilih untuk menonjolkan perspektif seorang OKU yang terdesak ingin membuat rawatan CI sehinggakan sanggup membuat kerja yang tidak bermoral saya kira bukan sahaja menjatuhkan martabat seorang OKU, tetapi mewujudkan stereotaip terhadap mereka Sudahlah kelainan mereka sering menjadi asbab mereka dibuli, dicerca, dimaki dan dihina, tayangan filem ini ibarat mencurah minyak pada api yang sedang marak! Agak-agak, tayangan filem sebegini akan memberi sinar baru kepada golongan OKU atau membuatkan keadaan mereka semakin teruk? Pernah kita fikirkan tentang ini?

Dan saya masih garu kepala melihatkan filem Pekak ini, kenapa ya watak itu tidak memilih untuk mencari peruntukkan dana bagi membantunya, kenapa mesti jual dadah? Kenapa tidak jual sayur, jual ikan, atau menggunakan apa-apa kemahiran lain yang beliau punya? Kenapa mesti jual dadah ya? Adakah itu sahaja cara untuk mengumpulkan wang?

Ini mengingatkan saya pada sebuah filem yang menjadi hit beberapa tahun dahulu. Filem My Name Is Khan yang memaparkan Rizvan Khan yang menghidap Asperger’s Syndrome (kini disatukan dalam autism spectrum disorder). Di negara kita, apa yang Rizvan Khan hidap ini masih tergolong dalam kumpulan OKU. Namun begitu, My Name Is Khan mempamerkan bagaimana seorang lelaki yang dihalau isteri, mampu meneruskan hidup di jalanan, mencari rezeki dengan menggunakan kemahiran beliau untuk membaiki segala jenis benda, dari peti ais hinggalah ke enjin kereta. Kenapa dia tak jual dadah ya di sebuah negara yang kita tahu penggunaan dadahnya berleluasa?

Kalau pembaca nak tahu, sebenarnya, negara kita mempunyai Akta Orang Kurang Upaya (2008). Akta ini digubal untuk mengiktiraf golongan OKU serta hak-hak mereka di Malaysia.

Saya nukilkan sedikit Muqaddimah akta ini untuk kita sama-sama hayati…

AKTA ORANG KURANG UPAYA 2008

Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan orang kurang upaya, penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Mengiktiraf ketidakupayaan merupakan suatu konsep yang sentiasa berkembang dan ketidakupayaan terhasil daripada interaksi antara orang kurang upaya dengan halangan sikap dan persekitaran yang menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat atas asas kesetaraan dengan orang upaya:

Mengiktiraf sumbangan sedia ada dan berpotensi yang bernilai yang dibuat oleh orang kurang upaya kepada kesejahteraan dan kepelbagaian komuniti dan masyarakat keseluruhannya:

Mengiktiraf kepentingan kebolehaksesan kepada persekitaran fizikal, sosial, ekonomi dan kebudayaan, kepada kesihatan dan pendidikan serta kepada maklumat dan komunikasi, bagi membolehkan penyertaan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalam masyarakat:

Mengiktiraf orang kurang upaya adalah berhak kepada peluang dan perlindungan, serta bantuan sama rata dalam segala hal keadaan dan tertakluk hanya kepada apa-apa batasan, sekatan dan perlindungan hak sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan:

Mengiktiraf kepentingan kerjasama antara Kerajaan dengan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan penyertaan dan penglibatan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalam masyarakat:”

Jadi, soalan saya sekali lagi, kenapa perlu jual dadah? Kenapa harus kita pertontonkan kepada masyarakat sudut keburukkan sesuatu hal yang membarah dalam masyarakat, sedang itu kita sama-sama cuba rawat? Kenapa harus kita mencemarkan maruah golongan OKU dengan mengaitkan mereka dengan kegiatan yang tidak bermoral? Apakah negara kita ini terlalu pekak untuk tidak menyediakan keperluan asas sebegini untuk mereka yang sangat memerlukan?

Tugas sebagai seorang Pegawai Pembangunan Masyarakat menuntut untuk berpegang kepada Ilmu, Kemahiran dan Nilai-nilai tertentu untuk membawa satu perubahan kepada pengguna ke arah kebaikkan. Salah satu nilai yang kami pegang adalah nilai ‘empowerment’. Itulah tugas dan kewajipan pegawai-pegawai ini, membantu membela nasib golongan yang memerlukan, membantu mencari jalan penyelesaian dan membantu agar klien mampu berdikari walaupun mempunyai kekurangan dalam upaya diri.

Filem Pekak yang digarap ini tidak sedikit pun menonjolkan nilai-nilai tersebut. Hanya menambah modal untuk masyarakat yang masih belum faham mencerca mereka. Saya mohon maaf jika bunyinya kasar, tapi pernahkah anda terfikir perasaan mereka? Jika cara OKU untuk mandiri hanyalah dengan menjual dadah, kenapalah wujud NGO-NGO yang sudi menyediakan pusat latihan kemahiran bagi golongan OKU ya?

Pada pandangan saya, filem ini adalah tidak lain tidak bukan satu penghinaan terhadap golongan OKU. Apabila FINAS berpendirian untuk mempertahankan ‘karya seni’ ini, apakah yang mereka cuba kecapi? Rating dan pulangan wang dalam menyemarakkan lagi semangat kapitalisme melalui hiburan?

Sebenarnya……

Filem ini yang Pekak terhadap hak dan bantuan yang patut mereka dapat. Filem ini yang Pekak kerana mengajar masyarakat iaitu golongan OKU hanya dapat cari wang melalui aktiviti yang tidak bermoral.

The End Does Not Justify It’s Means!

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara!

Mohon kaji semula filem ini bagi menjaga kemaslahatan masyarakat yang pelbagai lapisnya.

Amalina Binti Annuar ialah mahasiswa Jurusan Kajian Khidmat Sosial, Universiti Malaysia Sarawak dan Tokoh Mahasiswi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) 2016.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.