Syiah, Sunni dan kekeliruan mazhab dalam dunia Islam

muslim-islam

Sukar untuk bermula dari mana mendalami perihal persengketaan mazhab dalam dunia Islam. Akar sejarahnya panjang, dengan pelbagai sebab dan pihak.

Namun akibatnya satu, Timur Tengah yang berdarah dan darahnya melimpah ke seluruh dunia.

Selepas gagalnya pemberontakan di Syria dan Libya, Timur Tengah semakin berkecamuk. Dan antara akibat terburuk adalah kelahiran militan IS.

Terlalu banyak pihak merebut kuasa dan kekayaan di sana. Antaranya Amerika Syarikat dan Rusia, dan negara serantau yang kuat seperti Arab Saudi, Iran, Turki dan Israel, yang saling merebut pengaruh dan mendasarkan tindakan atas kepentingan masing-masing.

Peranan kuasa luar tidak boleh ditolak begitu sahaja. Terburu-buru meremehkannya sebagai teori konspirasi adalah penyelesaian mudah (dan fatal), sama seperti mengatakan teori konspirasi satu-satunya punca pergolakan di sana.

Cendekiawan Dr Chandra Muzaffar dalam seminar Islam Tanpa Sektarianisme pada 10 September lalu berkata, geo-politik dan geo-ekonomi faktor yang lebih penting untuk dilihat, berbanding perbezaan teologi yang disifatkannya sebagai simplistik.

Beliau berkata, kuasa dunia yang berkepentingan mengapi-apikan perbezaan mazhab yang sekian lama wujud bagi memastikan rantau itu kekal bergolak.

Katanya, antara isu yang menjadi kepentingan kuasa dunia adalah pelan pembinaan saluran paip gas dari Qatar ke Eropah (melalui Syria dan Turki), bagi mengurangkan kebergantungan negara-negara Eropah yang kini mendapatkan bekalan gas daripada Rusia.

“Rancangan ini ditolak Syria pimpinan Bashar al-Assad atas kepentingan negaranya dan menjaga hubungan dengan Rusia,” katanya.

Perkara sama pernah dibangkitkan pensyarah Universiti Harvard, Mitchell A Orenstein dan George Romer dalam artikel yang diterbitkan laman Foreign Affairs pada 14 Oktober 2015.

Berhubung soal perebutan pengaruh antara kuasa serantau, beliau berkata Arab Saudi mempunyai hubungan yang baik dengan Iran ketika pemerintahan Shah Reza Pahlavi kerana kedua-duanya mempunyai tuan yang sama, Amerika Syarikat.

Namun ia berubah selepas Revolusi Islam pada 1979. Kedua-dua negara bersaing merebut pengaruh di Timur Tengah, dan juga dalam kalangan negara majoriti Islam lain. Arab Saudi mula menyebarkan fahaman Wahabi yang keras dan konservatif – antaranya dengan mengeksport golongan agama dan menyediakan biasiswa pendidikan – untuk melawan pengaruh Syiah oleh Iran.

Justeru, beliau mengkritik organisasi media yang menurutnya tidak membangkitkan perkara ini, sebaliknya hanya memainkan isu perbezaan mazhab dan sekta sebagai punca pergolakan.

“Amat penting untuk kita tahu isu ini melalui perspektif kuasa dan sumber, ia lebih penting daripada soal teologi. Soal geopolitik dan geoekonomi memang sukar, tetapi inilah yang perlu dilihat,” katanya yang juga presiden International Movement for a Just World (JUST).

Puncanya umat Islam sendiri

Seorang lagi ahli panel pada seminar itu, Syed Farid Alatas menekankan kejahilan umat Islam itu sendiri sebagai akar masalah.

“Apabila ada yang mengatakan mereka (pengganas) salah faham terhadap ajaran Islam, ia adalah penjelasan yang lemah,” katanya sambil menjelaskan ia berakar daripada pandangan hidup yang songsang yang sukar dibetulkan.

Beliau memetik dokumentari arahan aktivis Indonesia Noor Huda Ismail bertajuk “Jihad Selfie” memaparkan beberapa remaja negara itu yang ingin menyertai peperangan di Syria kerana ingin dilihat berani dan ‘melakukan sesuatu’ dalam hidupnya.

Syed Farid, yang merupakan Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Kebangsaan Singapura itu berkata, antara punca ramai umat Islam mudah terpengaruh dengan propaganda keganasan adalah kegagalan untuk mengkritik pegangan berkaitan agama.

Beliau memberikan contoh kisah pembunuhan Bani Quraizah yang berbangsa Yahudi kerana kononnya mengkhianati perjanjian dengan Nabi Muhammad ekoran merancang untuk berpakat dengan pihak Quraisy Mekah dalam Perang Khandak.

“Kononnya ratusan ahli Bani Quraizah berunding dengan Nabi di rumah seorang perempuan, dan persetujuan dicapai. Kaum lelaki akan dibunuh, manakala kanak-kanak dan perempuan akan dijadikan hamba,” katanya.

Beliau menyifatkan kisah itu sebagai mitos kerana mustahil keseluruhan ahli Bani Quraiza dapat berkumpul dalam sebuah rumah, serta langsung tidak lari atau menentang ketika keputusan dicapai.

“Tidak jelas sama ada memang ada di kalangan mereka yang membunuh orang Islam ketika perang itu. Tiada penjelasan tentang apa yang terjadi kepada mayat ratusan orang yang dibunuh, dan Ali Abi Talib yang dikatakan melaksanakan hukuman tidak menyebutnya dalam Nahjul Balaghah (koleksi khutbah, surat dan kata-kata Ali).

“Namun kisah inilah yang disampaikan generasi demi generasi tanpa soal, dan menjadikan kita bersikap eksklusif. Kisah ini juga digunakan IS untuk mengabsahkan tindakan mereka membunuh pihak yang dikatakan ‘menentang Islam’,” katanya.

Ahli akademik dari Council for Research in Values and Philosophy (RVP) Amerika Syarikat, Dr Karim Douglas Crow berkata, sukar mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini yang berpunca daripada perselisihan kira-kira 1,400 tahun lalu.

“Tiada apa yang lebih menyakitkan daripada kebenaran,” katanya yang membangkitkan perselisihan umat Islam ketika memilih pemimpin selepas kewafatan Rasulullah.

Semua orang tahu kisah tersebut, yang membawa kepada pembunuhan khalifah ke-3, Uthman bin Affan (oleh anak khalifah pertama Abu Bakar As-Siddiq, Muhammad) dan khalifah ke-4 Ali bin Abi Talib. Ia berterusan kepada pembunuhan cucu Rasulullah, Hassan dan Hussein ketika perselisihan dengan Muawiyah bin Abi Sufyan.

“Kita enggan menerima hakikat sahabat-sahabat Nabi yang dipandang tinggi berselisih. Walaupun tindakan mereka didasari niat yang baik, perlu diterima mereka adalah manusia yang bukan maksum,” katanya.

Perselisihan itu semacam sudah tertanam dalam “psyche” umat Islam – sama ada bermazhab Sunni atau Syiah. Ia berterusan sehingga kini.

Seperti kata Douglas lagi, kebencian adalah kaedah paling berkesan untuk menyatukan unsur tertentu dalam masyarakat. Termasuk untuk berbunuhan sesama sendiri.

“Ditambah dengan struktur yang gagal dan masyarakat yang berpecah, keadaan di Timur Tengah menuju jalan buntu,” katanya.

Menerima perbezaan?

Persoalan “sektarianisme dalam dunia Islam” terlalu berat untuk dibicarakan, apatah lagi dijawab. Di zaman yang mendambakan jawapan segera, tidak hairan jika ramai yang merasa hilang punca.

Bagaimana untuk mengelakkan campur tangan kuasa dunia yang bertindak atas dasar ekonomi dan pengaruh, dua perkara yang mencorakkan sejarah dunia berkurun lamanya.

Bagaimana untuk mendamaikan perpecahan, apabila ada pihak yang merasakan tiada yang benar melainkannya dan menganggap penyatuan sebagai pemaksaan nilai terhadap pihak yang lain?

Barangkali penyelesaiannya adalah dengan prinsip yang relevan zaman-berzaman – menerima perbezaan. Tetapi melaksanakannya tidaklah semudah menulis dua perkataan itu.