Selepas tragedi depan sekolah, masa untuk bertindak segera

lalu-lintas

Semua pihak berkenaan, sila segera ambil tindakan memastikan keselamatan murid di sekolah terjamin. Jangan sampai ada lagi yang maut dilanggar depan pintu pagar sekolah.

Nasib 2 murid di Terengganu dan Perak baru-baru ini yang maut dilanggar kenderaan di depan sekolah memang sudah tertulis, takdir Tuhan. Semoga ibu bapa dan keluarga mereka reda dengan pemergian anak tersayang. Terlalu terhiris hati ini untuk mengulas kematian mereka. Hanya doa yang dapat diiringkan.

Apa yang penting, pengajaran daripada kejadian itu perlu diambil dan dijadikan iktibar supaya ia tidak berulang lagi.

Yang lebih penting sekarang ialah tindakan. Cepatlah bertindak, bukan asyik cakap saja dan kemudian bermesyuarat. Buatlah keputusan cepat, laksanakan segera.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah beri cadangan, tempatkan anggota Rela di depan sekolah. Tunggu apa lagi?

Orang Malaysia memang begitu, “sudah terhantuk baru nak tengadah”. Kalau insiden tidak berlaku, memang otak kita macam tidak boleh nak terfikir kemungkinan yang akan berlaku. Dah jadi, baru nak komen, sedih dan tuding jari sana sini.

Ada kira-kira 3 juta anggota Rela di negara ini yang boleh ditempatkan di hampir 10,000 sekolah di seluruh negara. Jumlah sekolah yang perlu dikawal tidak sebanyak itu kerana hanya sekolah di kawasan berisiko tinggi saja memerlukan bantuan Rela.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu cepat-cepat buat keputusan dalam hal ini untuk memastikan keselamatan anak. Dana untuk elaun kepada anggota Rela bertugas perlu diputuskan dengan segera. Siapa yang perlu menyediakan ongkosnya, sama ada Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah atau ibu bapa saling menderma seorang sedikit.

Pada masa sama, anjurkan seminar kawalan lalu lintas kepada kakitangan bantuan sekolah dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) supaya mereka pun boleh turut serta membantu murid melintas pada waktu datang dan balik sekolah.

Pihak pengurusan sekolah juga perlu beritahu Jabatan Keselamatan Jalan Raya negeri keperluan meletakkan bonggol jalan sebelum sampai di pintu pagar sekolah, dan papan tanda dari kedua-dua arah, supaya pemandu perlahan kenderaan.

Kenderaan berat seperti lori perlu dilarang menggunakan jalan di depan sekolah pada waktu sibuk.

Paling penting ialah pengguna jalan raya di kawasan sekolah janganlah memandu macam orang gila. Buka mata, buka telinga tengok jalan di depan, perlahankan kenderaan. Malang memang tidak berbau, maka kita kena hati-hati, bercegah sentiasa.

Kalau susah sangat, minta kerajaan pasang kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) di depan sekolah supaya pemandu secara “automatik” memperlahankan kenderaan, dan mematuhi had laju ditetapkan. Maklumlah, takut kena saman RM300.

MKJR memang mengadakan pelbagai program kepada kanak-kanak dan remaja untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya. Tetapi, mungkin belum mencukupi dan perlu digiatkan lagi. Kanak-kanak perlu dididik dan dilindungi kerana fikiran mereka belum sempurna.

Semoga tiada lagi kisah sedih menimpa anak kita di depan pagar sekolah, yang akhirnya jadi bahan berita.