Peperiksaan bukan cara atasi masalah kualiti peguam

lawyer-exam

 

Oleh Irfan M. Fairus

Semalam, FMT melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran, mengenai keperluan melaksanakan penyelarasan peperiksaan bagi graduan undang-undang tempatan dengan mewajibkan peperiksaan tersebut kepada semua graduan undang-undang, luar dan dalam negara.

Alasannya, graduan undang-undang yang dilahirkan universiti tempatan tidak berdaya saing, tidak cukup berkemahiran dan tidak bersedia untuk berkhidmat dalam dunia pekerjaan sebenar.

Ini merupakan satu penghinaaan terhadap institusi pendidikan negara dan merupakan pandangan berat sebelah.

Walaupun sememangnya wujud kekurangan pada graduan, tetapi menafikan keberkesanan silibus pendidikan yang diajar di “sekolah undang-undang” dan dalam masa yang sama mengatakan kekurangan ini disebabkan pensyarah yang “menyuap” pelajar adalah sangat menjengkelkan.

Tidak dinafikan budaya “spoon feed” diamalkan dalam universiti. Tetapi ia bukan punca graduan undang-undang tidak berupaya.

Masih ramai juga pensyarah yang mengekalkan kaedah pengajar konvensional di mana pelajar diajar berdikari dan memperbanyakkan penyelidikan-pembacaan sendiri tanpa bergantung kepada pensyarah.

Pelajar mungkin disuap ketika pembelajaran dalam kelas. Tetapi penglibatan pelajar undang-undang adalah sangat meluas; aktiviti, program dan pertandingan bersifat perundangan banyak sekali dilaksanakan di setiap peringkat – fakulti, universiti, kebangsaan dan antarabangasa.

Isu perundangan yang banyak dibangkitkan dalam masyarakat awam menjemput pendapat daripada graduan untuk turut menjawab isu tersebut. Peluang mengaplikasikan apa yang didapati dalam kuliah inilah yang menjadi elemen pembelajaran yang penting dan unik bagi pelajar undang-undang.

Aktiviti luar bilik kuliah inilah yang membina kefahaman dan sebahagian daripada proses pembelajaran bagi pelajar undang-undang. Oleh itu, walaupun mereka menerima “suapan” pensyarah dalam ruang kuliah, proses pembelajarn mereka tidak terhenti di situ, sebaliknya ia berterusan 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Dalam ruang inilah bakat dibina dengan memfokuskan usaha kepada pembangunan keupayaan masing-masing.

Penekanan di sini ialah proses pendidikan yang sebenar tidak boleh diterhadkan dalam ruang kuliah semata-mata. Jika diharapkan graduan berkualiti lahir daripada bilik kuliah, itu bagaikan mengharapkan bulan jatuh ke riba.

Peperiksaan tidak selesaikan masalah

Pandangan mengadakan peperiksaan yang mampu menilai kebolehan dan kefahaman graduan undang-undang ini merupakan suatu yang tidak akan menyelesaikan masalah.

Masalah ketidakcekapan graduan undang-undang bukan semata-mata mereka tidak faham, sebaliknya kerana bakat mereka tidak disalurkan dengan baik.

Jika pandangan mewujudkan peperiksaan ini sebagai suatu jalan mudah untuk menyelesaikan permasalahan ini, pastinya kesan yang diharapkan hanya bersifat jangka masa pendek dan lebih malang ia membebankan para pelajar.

Apalah yang diharapkan daripada pelajar yang suka membaca, cekap menyusun dokumen dan kurang bercakap untuk diminta mereka tampil kehadapan dan berhujah, sedangkan bukan itu bakat dan minatnya.

Apakah hanya kerana pelajar itu tidak pandai berhujah, maka seseorang itu gagal sebagai seorang peguam?

Bukankah kemahiran itu boleh dimanfaatkan untuk memenuhi kedudukan dan posisi sebagai paralegal yang memerlukan keduanya: kemahiran pendokumentasian dan kefahaman undang-undang?

Begitulah juga kesnya bagi pelajar undang-undang tempatan hari ini yang mempunyai kualiti yang jauh lebih bermakna dan diperlukan selain daripada sekadar mampu berhujah dihadapan hakim.

Kemahiran untuk menulis makalah dalam bahasa mudah, kemahiran sebagai pendidik-pengajar, kemahiran sebagai usahawan undang-undang, kemahiran sebagai pemikir undang-undang dan banyak lagi sisi kemahiran yang diabaikan oleh sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan sijil semata-mata.

Setiap perkara harus ditampilkan dalam bentuk hitam-putih termasuk bukti kemahiran yang dimiliki oleh setiap orang. Pun begitu jangan juga dinafikan bahawa kita, aktivis pendidikan, institusi pendidikan dan kerajaan, sedang berusaha keras melahirkan graduan yang tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan mahupun peluang perkerjaan.

Sebaliknya kita sedang berusaha keras untuk melahirkan graduan yang mampu mencipta pekerjaan.

Kerana itu, jangan terlalu memaksakan sijil ke atas peajar kita, bahkan harus diberdayakan potensi setiap pelajar mengikut bakat mereka yang tersendiri.

Jaringan

Apa yang diperkatan Kulasegaran adalah untuk kepentingan masa depan negara dalam hal ehwal perundangan. Kerana itu, dalam kita mengisafi kekurangan yang ada, janganlah pula dicadangkan sesuatu perkara sesuka-hati tanpa menilai dan menimbang kedudukan mahasiswa undang-undang; pukul sama rata.

Pelajar perlu dilatih mengenai kemahiran jaringan. Jaringan bukanlah jaringan dengan badan korporat atau institusi kehakiman. Apa yang ingin dicadangkan ialah agar pelajar diperkenalkan antara satu sama lain dengan bakat dan potensi yang berbeza dalam satu kumpulan kecil dengan harapan kumpulan itu kekal sehingga mereka mula menjejakkan kaki ke alam guaman.

Kumpulan kecil itu dicadangakan agar mempunyai keahlian minima; seorang bakal peguam, seorang pakar dokumentasi, seorang penyelidik, seorang berminda keusahawan dan seorang penghubung jaringan.

Kumpulan 5 orang ini sangat ideal sekiranya dapat direalisasikan kerana hanya seorang daripada mereka yang akan keluar-masuk mahkamah manakala yang lainnya menguruskan firma dan penyelidikan.

Tetapi dalam masa sama, kelima-lima mereka mampu menjadi pengamal dan penasihat undang-undang atas kapasiti masing-masing.

Walaupun idea ini masih diperingkat teori berdasarkan pemerhatian dan pembacaan, namun mesejnya mudah iaitu bakat keupayaan berbeza bukanlah bermakna seseorang mempunyai kelebihan keatas orang lain.

Bakat berbeza itu sebenarnya adalah untuk menampung kelemahan satu sama lain. Dan mesej yang utama juga ialah masa depan kerjaya graduan undang-undang tidak terbatas kepada menjadi peguam.

Dalam realiti perundangan yang semakin berkembang dan akan terus berkembang ini, masih banyak ruang yang mesti diterokai oleh graduan demi perjalanan karier masing-masing.

Kepada Kulasegaran, jangan terlalu pantas memberikan kenyataan tanpa melibatkan belia dan mahasiswa dalam perbincangan sesuatu perkara. Sekiranya ia sudah dilakukan diperingkat beliau, maka adalah lebih baik bagi seorang wakil rakyat untuk membuat kenyataan dalam bentuk pertanyaan kepada umum; “Apakah Common Bar Exam (CBE) diperlukan?”, sebelum mengeluarkan kenyataan berbentuk penyataaan.

Jika populariti politik yang dimahukan, maka diyakini cebisan tulisan ini tidak punya makna. Tetapi jika kebajikan masa depan mahasiswa undang-undang yang difikirkan maka cebisan tulisan ini merupakan pandangan yang perlu dipertimbangkan seadilnya.

Irfan M. Fairus pelajar undang-undang tahun 3 di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Pautan:

Wakil rakyat desak henti hasilkan peguam bermutu rendah