Jangan ditambah hukuman pada ibu bapa malang

escalator-kids

Ia hanya tindakan refleks seorang bapa untuk membantu menyelamatkan anaknya yang sedang kesakitan, hinggakan tidak perasan seorang lagi anak sedang didukung di atas bahunya.

Andaian saya, itulah apa yang berlaku di eskalator kompleks pusat beli-belah Bukit Jambul, Pulau Pinang, hujung minggu lalu.

Ahad itu pastinya menjadi hari paling malang yang akan dikenang kedua-dua ibu bapa itu seumur hidup mereka.

Mana-mana ibu dan bapa yang normal sudah pasti tidak mahu insiden seumpama itu berlaku terhadap anak mereka. Malangnya, mimpi ngeri itu terjadi jua.

Bagi pasangan ibu bapa dalam kejadian terbaru di Pulau Pinang itu, anak perempuannya berusia 3 tahun masih dirawat di hospital, dan mujurlah anak lelakinya yang pada mulanya tersepit jari pada pemegang eskalator, hanya kerana tangkai belon, selamat sejahtera keadaannya.

Dalam keadaan ini, siapa yang salah? Terlalu naif rasanya untuk menyalahkan ibu bapa mangsa semata-mata. Tetapi, kalau bukan mereka yang salah kerana mendedahkan anak kepada bahaya, maka ia salah siapa?

Menteri keluarkan kenyataan ibu bapa itu mungkin akan dikenakan tindakan dan hukuman kerana kecuaian mereka.

Maka, “kecelakaan berganda” menimpa pasangan ibu bapa itu. Anak lelakinya trauma, anak perempuannya masih di hospital, tidak tahu apa nasib hidup atau mati, dan kini mereka pula dijatuhi hukuman.

Ironinya, kejadian seumpama ini tetap berlaku lagi, seolah-olah ibu bapa tidak pernah ambil iktibar. Tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan 6 tahun maut terjatuh dari tingkat 2 di pusat borong di Jalan Gelugor, Off Jalan Kenanga, Kuala Lumpur.

Dua tahun sebelum itu, seorang kanak-kanak 8 tahun patah kaki kerana tersepit di eskalator di Kota Tinggi, Johor, dan seorang kanak-kanak 2 tahun pula tersepit tangan di eskalator di Kelantan pada 2012.

Pada 2014, kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun maut dipercayai tergelincir dan terjatuh dari tingkat tiga di pusat beli-belah The Garden, Midvalley Kuala Lumpur.

Melihat kepada semua insiden ini, adil atau tidak untuk kita menghukum semua ibu bapa tidak menjadikan kemalangan seperti ini sebagai teladan?

Tidak ada ibu bapa yang mahu meletakkan anaknya dalam keadaan bahaya. Sebagai ibu bapa, kita cuba menjadi “super parents” untuk memastikan tidak ada cacat cela menimpa anak.

Antara kecuaian dan takdir

Apa yang berlaku dalam kejadian terbaru ini tersepit antara kecuaian dan takdir. Tidak adil rasanya untuk menghukum ibu bapa mangsa.

Mereka sudah cukup “terhukum” dengan deraan perasaan, kekesalan yang tidak ada penghujungnya melihat kesakitan anak. Usah ditambah derita itu.

Sukar untuk memikirkan cara terbaik bagi mengatasi kejadian sama berulang. Mungkin kerana ia sesuatu yang terlalu payah diramal dan tingkah laku anak-anak amat tidak boleh dijangka.

Sesaat pun mereka tidak diam, sekelip mata macam-macam mereka buat. Sedangkan ibu bapa hanya manusia biasa, bukan adiwira.

Mungkinkah boleh, pengurusan pusat beli-belah meletakkan pengawal keselamatan di sekitar kawasan eskalator? Atau mungkin boleh petugas di kaunter pengumuman membuat amaran secara lisan mengingatkan kepada ibu bapa mengawasi anak setiap setengah jam menerusi pembesar suara?

Entah, saya pun tidak pasti sama ada ia mampu menghalang perkara buruk menimpa seseorang.

Sebagai seorang emak, saya berdoa ia tidak berlaku pada anak saya, tidak pada hari ini dan tidak juga pada bila-bila masa.

Semoga lebih banyak rasa kasihan ditumpahkan kepada ibu bapa yang mengalami nasib malang ini, bukan sekadar kata tohmahan dan hukuman. Andai dapat masa diputarkan semula, saya pasti bukan ini yang diingini ibu bapa itu.