Islam Malaysia dan sikap agresif tanpa konteks

muslim-islam

Dewasa ini, agama Islam digambarkan agama yang agresif, bukan sahaja di Barat, tetapi juga di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Benar, gambaran sedemikian perbuatan anasir tertentu memenuhi agenda mereka, tetapi hakikatnya mereka “dibantu” sebahagian umat Islam yang sememangnya hilang kawalan dan bercorak agresif dalam amalan mereka.

Bersifat agresif secara amnya tidak salah. Ada konteks and situasi di mana sifat ini memang diperlukan.

Islam rata-rata bukannya agama yang “pacifist”, yang menoleh ke belakang walaupun diserang atau ditindas.

Ia menyarankan pengikutnya berperang bila mana mereka diserang (Al-Quran, Surah Al-Baqarah, Ayat 190), atau bila kaum yang ditindas meminta pertolongan (Surah An-Nisa, Ayat 75-76).

Tetapi peperangan kenalah bertempat.

Ada juga konteks di mana orang Islam diseru memaafkan manusia (Surah Aal-Imran, Ayat 134). Bahkan Nabi Muhammad sendiri diseru bersabar menghadapi ucapan negatif musuh-musuhnya (Surah Al-Muzammil, Ayat 10).

Konservatif bertopengkan Islamisasi

Dari segi teologi (ilmu ketuhanan) pun, ada fakta yang menunjukkan keseimbangan dalam pandangan sesorang Muslim.

Allah memiliki nama-nama suci yang dibahagikan kepada dua, Jalal dan Jamal. Nama yang Jalal itu berkaitan dengan kuasa Allah yang tiada tolok bandingnya. Nama Jamal pula berkaitan dengan keindahan Allah.

Di sini, kita boleh melihat keseimbangan antara apa yang difahami sebagai sifat “maskulin” and “feminin”.

Namun begitu, Islam di Malaysia kian berubah sifat. Islamisasi di Malaysia tidaklah bermula semalam tetapi sudah berlarutan lebih 30 tahun. “Islamisasi” di sini bukanlah bermaksud penerapan nilai Islam yang sebenar.

Sekiranya itu yang sebenar berlaku, Malaysia akan menjadi negara paling aman dan selamat!
Sebaliknya, “Islamisasi” yang berlaku ialah penerapan nilai budaya Arab yang konservatif. Perubahan yang berlaku kepada umat Melayu-Islam hanyalah dari segi luaran sahaja.

Dari segi rasisme, Melayu semakin rasis melalui pelbagai pertubuhan kononnya berlandaskan Islam dan Melayu, dan warna merah!

Dari segi menambahkan kalimah Arab seperti “ana”, “anta”, “akho”, “ukhti” dan “helwa senah”, memang kita sudah lebih Arab, bukan lebih Islam.

Melayu dan kesucian Islam

Sifat Islam yang kian terserlah di Malaysia bercorak agresif. Ia menampakkan orang Islam sebagai keras “mempertahankan kesucian Islam”.

Episod paling jelas menampakkan sifat ini ialah penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.

Orang Melayu-Islam dilihat terlibat dalam protes di mana mereka berkeras mengatakan kalimah Allah itu hak mereka dan bukan Islam tidak boleh menggunakannya.

Ahli politik nasionalis menggunakan isu tersebut untuk menambahkan sokongan terhadap mereka.

Perlu diingat yang orang Arab pun tidak pernah berkata demikian: 20 juta orang Arab Kristian menggunakan kalimah Allah (bahkan “bismillah” juga!) dengan tiada masalah pun.

Sifat agresif ini juga berpunca daripada “nasionalisme keagamaan”. Islam mempunyai konsep yang spesifik untuk menyampaikan ide ini iaitu “ummah”. Apabila kita mendengar kalimah ini disebut, kita lazimnya akan mengaitkan kalimah ini dengan komuniti keagamaan orang Islam.

Orang Islam sememangnya mempunyai kesetiaan yang tinggi terhadap orang Islam yang lain. Kesetiaan ini tidak salah tetapi memperkecilkan kepentingan orang-orang yang berada di luar “ummah” ini.

Cuba kita renungi peperangan di Bosnia kira-kira 20 tahun dulu. Benar, orang Islam Bosnia diserang dan dibunuh beramai-ramai tetapi adakah emosi yang kita rasakan kerana mereka umat Islam ataupun kerana mereka manusia yang wajib dibantu kerana prinsip kemanusiaan?

Bagaimana pula dengan orang bukan Islam yang ditindas oleh orang Islam? Orang Kristian di Pakistan dan di Papua New Guinea yang ditindas Indonesia satu ketika dulu?

Mengapa tidak kelihatan orang Islam menampakkan sifat agresif untuk mempertahankan mereka. Mungkin kerana mereka bukanlah di pihak kita.

Dalam fahaman saya mengenai ajaran Al-Quran, manusia ini pada zatnya satu ummah (Surah Al-Baqarah, Ayat 213). Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah “ummah” juga.

Jadi kita tidak boleh membuat diskriminasi dalam memberi pertolongan.

Sekolah mengajar agresif

Di sekolah juga, pengajaran Islam mungkin memberi murid-murid Islam yang agama mereka bersifat agresif tanpa konteks.

Sebagai produk sistem persekolahan ini, saya sendiri boleh membuktikan hipotesis ini. Saya masih ingat bagaimana ustaz dan ustazah memburukkan peragai orang-orang “kafir” dan melagakan mereka dengan orang Islam.

Walaupun mereka tidak pernah menyuruh murid-murid menyerang atau bertindak agresif kepada bukan Islam, namun persepsi yang dicadangkan melalui retorik mereka ialah orang “kafir” menentang orang Islam.

Amalan praktikal yang diajar juga boleh ditanggap sebagai boleh menerapkan sifat agresif.

Sebagai contoh, amalan mengorbankan haiwan untuk bertujuan membuat demontrasi bagaimana makanan dihalalkan. Adakah ia perlu?

Kenapa tidak ditunjukkan sahaja video?

Mengapa beratus ekor haiwan perlu hilang nyawa untuk aktiviti yang hampir tiada murid akan mengamalkan dalam hidup mereka?

Sekarang ini, Malaysia semakin terkenal sebagai tempat pengganas cuba berselindung. Mereka mempunyai akses yang mudah ke dalam negara kita. Islam yang dibawa mereka sudah tentulah bersifat agresif tetapi mereka bijak – mereka tidak menampakkan sifat agresif ini secarang terang-terangan.

Sebaliknya, mereka akan memberi retorik nasioalisme Islam seperti penindasan orang Islam di Palestin, Afghnistan dan sebagainya yang memang benar tetapi tujuan mereka bukanlah untuk menolong mangsa tersebut. Tujuan mereka adalah untuk membalas dendam dengan menyerang orang awam daripada puak yang berlawanan.

Kita perlu berhati-hati dengan mereka ini.

Sebenarnya, Islam adalah agama yang damai lagi mendamaikan. Ia bertujuan untuk membawa manusia sarwajagat dalam satu perhubungan yang harmonis. Ia tidak menolak tindakan yang agresif tetapi perlulah bersyarat seperti diterangkan di atas.

Namun begitu, Islam di Malaysia kian menunjukkan sifat agresif dengan tiada syarat tersebut. Umat Islam perlulah beristiqamah dan menjalankan aktiviti ihsan yang sememangnya suruhan Allah.

Dengan itu, mereka dapat membawa kembali kesimbangan kepada agama mereka.