Jamban rumahku di Selangor tiada air

syabasSelepas 24 jam rumahku tiada air, aku membuka Facebook Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), penuh berdebar menanti pengumuman.

Isnin, 24 Oktober, 5.23 petang.
Info Syabas: 4.30 petang – Isnin, 24 Oktober 2016
Status terkini: Loji kembali beroperasi jam 1.30 tengahari, 24 Oktober 2016 dan proses penyaluran air terawat bagi meningkatkan paras kolam-kolam perkhidmatan sedang berlangsung sebelum proses agihan dan pemulihan berperingkat dapat dilaksanakan.

Lega aku membaca berita itu. Sudah 3 jam loji Semenyih sudah beroperasi. Syukur. Bapaku yang sakit juga tersenyum. Kalau bukan malam ini, besok pagi pasti dah ada air. Air yang ditakung pasti mencukupi.

Keriangan bapa boleh difahami. Penyakitnya memaksanya ke tandas sekurang-kurangnya 2 kali sejam. Kencingnya sering diiringi darah. Oleh itu, air amat penting baginya. Tandas tak berair sangat sukar baginya membersihkan diri.

Kami menunggu penuh debaran akan bunyi air keluar dari pili.

Ini bukan kali pertama kami mengalami gangguan bekalan air. Ini kali ke-4 sepanjang bapa duduk bersama kami di USJ 11 dalam tempoh sebulan setengah yang lepas.

Pada September 22, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa ditutup kerana pencemaran bau. Selama 2 hari rumah kami tiada bekalan air.

Di hujung bulan September, kawasan kami USJ 11 dikejutkan lagi dengan gangguan bekalan air selama 3 hari ekoran kejadian paip pecah yang berlaku berhampiran kilang Carlsberg, Persiaran Selangor, Seksyen 15.

Pada 4 Oktober, gangguan bekalan air berlaku sekali lagi kerana pencemaran di loji Semenyih.

“Kuantan pun tak macam ini. Selangor ini teruk betul. Kerap sangat tiada air,” keluh bapa aku yang datang dari Kuantan.

Isnin, 24 Oktober, 7.45 malam
Info Syabas: 6.00 petang – Isnin, 24 Oktober 2016
STATUS TERKINI: Pengoperasian Semula LRA Sungai Semenyih serta Pemulihan Berjadual Bekalan Air. Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang menyalurkan bekalan air terawat ke beberapa kawasan di Daerah Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat telah kembali beroperasi.

Pihak kami sedang dalam proses meningkatkan paras kolam-kolam perkhidmatan dan akan melaksanakan Pemulihan Berjadual Bekalan Air bagi memastikan proses agihan dan pemulihan yang lebih efisien bermula pada hari esok Selasa, 25hb Oktober 2016.

Penjadualan bekalan air dibahagikan kepada 2 Zon. Sebagai permulaan, Zon 1 akan mendapat bekalan air bermula jam 4.00 petang, Selasa 25 Oktober 2016 sehingga jam 9.00 pagi, Rabu 26 Oktober 2016.

Penggiliran seterusnya di Zon 2 akan bermula pada jam 4.00 petang, Rabu 26 Oktober 2016 sehingga jam 9.00 pagi, Jumaat 28 Oktober 2016 (2 hari) dan diikuti Zon 1 selama 2 hari dan seterusnya. Aset-aset serta bantuan lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas terutama kepada pengguna-pengguna kritikal, hospital dan lain-lain.

Bagi mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan kami, pengguna dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi telefon bimbit mySyabas di Google Playstore/Appstore atau layari www.syabas.com.my atau layari facebook Puspel Syabas atau facebook Air Selangor untuk maklumat jadual dan info terkini.

Oleh kerana air akan sampai lambat lagi, aku cuba melayari sesawang Syabas untuk mendapat info bilakah bantuan lori tangki air akan sampai ke kawasan rumah aku. Tiada info.

Aku cuba menelefon talian Syabas 1-800-88-5252. Berkali-kali aku telefon, aku tidak berjaya bercakap dengan sesiapa untuk mendapatkan info lanjut.

Aku menunggu bilakah lori tangki air akan sampai sambil melayari Facebook Puspel dengan harapan mendapat info baru. Tiada info. Yang ada hanyalah kenyataan media: “Penghantaran bantuan bekalan air sedang dihantar dengan lori tangki air ke kawasan terlibat di Daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.”

Lori tangki air dalam perjalanan kot, bisik hatiku. Aku menunggu dan terus menunggu, masih tiada bayang dan aku terlelap pada sekitar 1 pagi.

Bangunnya besok pagi, aku bergegas membuka pili air dengan harapan akan ada air keluar. Tiada setitis pun. Apakah aku terlepas lori tangki air? Apakah mereka datang menghantar bantuan air ketika semua orang dah tidur? Aku tak tahu.

Aku masuk pejabat dengan hati yang berat. Air yang ditakung sudah hampir habis digunakan. Tinggal sikit lagi untuk kegunaan 2 orang tua.

Aku melayari Facebook Puspel, tiada kemaskini. Rumahku masih tiada air. Nasiblah kami berada di Zon 2 – kami perlu menunggu sehingga Rabu 4 petang barulah akan merasa air. Aku harap ada lori tangki air yang datang ke rumahku.

Selasa, 24 Oktober 2016, 11AM
Info Syabas: 10.00 pagi, Selasa, 25 Oktober 2016
STATUS TERKINI : Pengoperasian Semula LRA Sungai Semenyih serta Pemulihan Berjadual Bekalan Air
Pemulihan berjadual bekalan air bagi proses agihan dan pemulihan yang lebih efisyen telah diaktifkan bermula hari ini, Selasa 25 Oktober 2016. Proses pemulihan berjadual ini hanyalah langkah sementara bagi membantu mempercepatkan proses agihan dan pemulihan bekalan ke seluruh kawasan terjejas dan bagi mengelakkan pengguna mengalami gangguan bekalan air atau terputus bekalan untuk jangka masa yang lama.

Aku menelefon ibu yang menjaga ayah di rumah. Ibu memberitahu masih tidak kelihatan lori tangki air.

Pelik. Malam tak ada. Siang pun tak ada. Di Facebook, mereka kata hantar, tapi tiada siapa yang mengetahui jadualnya. Telefon pula tak dapat.

Bapaku tidak sihat. Aku pulang awal dari kerja. Tiada setitis air pun untuk bapa membersihkan diri di tandas. Aku berputus harap menunggu lori tangki air.

Terpaksa, aku membawa mereka ke rumah saudaraku untuk mandi dan membersihkan diri dan mengambil sedikit bekalan air buat kegunaan tandas. Aku harap bekalan ini cukup bertahan sehinggalah Rabu 4 petang, sebagaimana yang dijanjikan Puspel di Facebooknya untuk Zon 2 mendapat bekalan air.

Pulangnya aku dari rumah saudaraku, aku terkejut membaca kenyataan Puspel di Facebook.

Selasa, 24 Oktober 2016, 10 malam
Info SYABAS: 7.00 malam – Selasa, 25 Oktober 2016
STATUS TERKINI: Pemulihan Berjadual Bekalan Air.
Pemulihan berjadual bekalan air bagi kawasan-kawasan Zon 1 di empat (4) daerah telah bermula jam 4.00 petang tadi. Walau bagaimanapun, beberapa kawasan yang dijadualkan bagi mendapat bekalan air seperti senarai di bawah masih belum menerima bekalan.

Kelewatan penyaluran bekalan adalah disebabkan henti tugas Loji Rawatan Air selama 30 jam ekoran pencemaran yang berlaku menyebabkan defisit bekalan air yang besar dan memerlukan masa yang lebih panjang untuk disalurkan kepada kawasan sasaran.

“Nampaknya lama lagi sebelum rumah akan ada air,” kata adikku selepas aku menunjukkannya apa yang ditulis Puspel. Terbeliak mataku mendengarnya.

Ramai juga yang hilang kesabaran berdasarkan komen-komen yang ditinggalkan di Facebook Puspel.

Hebatnya Puspel ialah mereka seolah-olah tidak kisah. Tiada orang yang menjawab di Facebook. Nak menelefon pula, mereka kata jangan sesakkan talian di pusat panggilan mereka. Bila lori tangki air akan dihantar pula tiada yang tahu.

Apakah akan ada air di rumahku hari ini? Aku tak tahu. Sambil menunggu, aku menulis artikel ini.

Memang celaka orang yang membuat pencemaran… tapi yang aku tahu, cara Puspel mengendalikan krisis ini akan menyebabkan orang lebih marah pada Puspel dan kerajaan Selangor berbanding mereka yang membuat pencemaran.

Inilah kisah rumahku di Selangor, yang jambannya tiada air sejak Ahad yang lepas sehingga sekurang-kurangnya Rabu 4 petang, kata Puspel.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.