Kalau bukan lelaki, salah siapa?

rapeOleh Ishak Sairozi

Saat terbaca tentang kes 9 kanak-kanak dicabul oleh guru di sekolah, terasa betapa terkutuknya warga pendidik khususnya golongan lelaki.

Lelaki, makhluk yang dicipta untuk jadi pembimbing dan pemimpin kepada wanita, melakukan kes jenayah seksual sungguh merupakan sesuatu yang memalukan.

Lelaki yang merupakan seorang guru, diberi amanah mendidik anak bangsa menjadi seorang yang mempunyai masa depan yang cerah, memilih menggelapkan masa depan 9 kanak-kanak yang baru hendak mengenal erti ilmu.

Lantaran itu, sifat malu seharusnya ada dalam diri lelaki yang masih wujud pada masa kini atas apa yang makhluk sejenis mereka lakukan.

Tetapi pada hari ini, beritanya ialah, untuk mengelakkan pedofilia, perempuan harus diajar berpakaian sopan dari usia kanak-kanak. Dan ibu bapa tidak digalakkan menayangkan gambar anak di laman sosial dengan terlalu kerap.

Pendekatan mencegah ini diberi keutamaan seolah-olah seperti mahu meletakkan kesalahan utama ialah berpunca daripada perempuan.

Ini adalah masalah kita daripada zaman Arab Jahiliah. Bagi kita semua, kesalahan seksual adalah berpunca daripada wanita semata-mata.

Wanita berpakaian seksi, bersuara manja, bermata menggoda, tidak berstokin, dan terlalu mesra. Semuanya dikatakan punca berlakunya keruntuhan akhlak lelaki.

Lebih meyakinkan lagi, kita dihujahkan dengan cerita zaman para nabi yang mengatakan lelaki beriman digoda pelacur, lelaki beriman tewas kerana tidak menutup aurat.

Kita tidak pernah mahu meletakkan kesalahan utama ialah nafsu lelaki yang tidak boleh menjaga diri, menjaga nafsu dan menjaga mata. Malah sehingga kini, kita dengan angkuh cuba menyatakan lelaki hanyalah mangsa keadaan yang tidak sengaja mencabul perempuan.

Sekarang ini, untuk kes pedofilia, kita cuba pula menyalahkan kanak-kanak sebab lahir cantik sehingga lelaki tidak mampu mengawal perasaan.

Masyarakat (atau lebih tepatnya, lelaki) sedang rosak. Kita masih mahu meletak ego lebih tinggi daripada kebobrokan akhlak kita yang di bawah paras tidak normal. Hukuman yang dijatuhkan pada masa kini juga adalah tidak relevan dan sangat berat sebelah.

Antara hukuman yang paling tidak masuk akal ialah kes yang terjadi di Arab Saudi, melibatkan Ehsan Aziz, yang terlepas daripada tuduhan rogol dengan alasan tidak sengaja termasukkan zakarnya ke dalam alat kelamin perempuan.

Di Malaysia, perogol pula dibenarkan mengahwini orang yang dirogolnya sebagai cara menutup kesalahan.

Bagaimana kesalahan itu boleh diletakkan kepada perempuan sekiranya pemecah daranya ialah lelaki yang bukan mahramnya.

Sedarlah, dengan menyalahkan perempuan akan melahirkan lebih banyak ketidakpuasan hati antara jantina. Kesan jangka masa panjangnya ialah akan wujud lebih banyak golongan feminis yang anti-lelaki dan semakin kurang jumlah perkahwinan kerana adanya isu tidak percaya dan saling membenci antara lelaki dan perempuan.

Sudah tiba masanya lelaki berani menjadi seorang lelaki. Lelaki yang baik hati dan penuh bertanggungjawab membimbing. Lelaki seharusnya melengkapkan diri dengan ketahanan seksual yang kuat dalam diri.

Bagi mengatasi permasalahan ini, perkara utama yang harus diambil peduli ialah untuk mempunyai empati yang tinggi dalam diri.

Empati seorang lelaki ialah dengan meletakkan diri sebagai seorang bapa yang mempunyai anak perempuan, seorang suami yang mempunyai isteri rupawan, dan seorang abang yang ada adik perempuan.

Sanggupkah kita melihat kesayangan kita sendiri menjadi kezaliman lelaki yang tidak mampu menahan diri?

Muhasabahlah diri. Jadilah lelaki yang tidak akan merosakkan sesiapapun. Semoga kita dapat menahan diri daripada menjadi mereka yang merosakkan masa hadapan insan yang lemah dan memerlukan perlindungan.

* Ishak Sairozi seorang pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.