Emosi agama, hak penjagaan dan PAS

pas-syariah

“Unilateral conversion”, atau penukaran agama anak bawah umur yang dilakukan salah seorang ibu atau bapa, ialah amalan yang semakin kerap berlaku, selepas ibu atau bapa kanak-kanak memeluk agama Islam.

Walaupun “conversion” boleh merujuk kepada pertukaran kepada mana-mana agama, di Malaysia, hanya pertukaran agama kepada Islam akan membabitkan undang-undang.

Rakyat bukan Islam boleh bertukar agama tanpa melibatkan mana-mana badan berkanun dengan tiada masalah langsung. Hanya kalau pertukaran agama itu melibatkan Islam, mereka dikehendaki mendaftar dan seterusnya mengundang campur tangan kerajaan.

Maka penukaran agama anak bawah umur kepada Islam boleh dijadikan alat untuk ibu atau bapa mendapatkan hak penjagaan anak mereka, dengan membabitkan mahkamah syariah.

Pemelukan agama Islam dan murtad daripada Islam adalah fenomena yang selalu membangkitkan emosi orang Islam, bukan sahaja di Malaysia. Malah, ia juga berlaku di kalangan agama lain, walaupun tidaklah begitu ketara. Ini mungkin kerana agama lain melalui proses “dinyahpolitikkan” di mana berlaku pemisahan agama dan politik. Dengan itu, agama menjadi satu faktor identiti yang biasa sahaja, bukan faktor identiti utama seperti orang Melayu Islam di Malaysia.

Mungkin ini berlaku di Indonesia, walaupun kebelakangan ini mereka pun semakin tebal identiti Islam seperti yang boleh disaksikan dalam kontroversi Gabenor Ahok sekarang.

Seperti yang berlaku dengan kebangkitan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat, politik berasaskan perkauman, agama atau negara (ya, “demi bangsa, agama dan negara”!) atau “identity politics” berjaya digunakan untuk memenangkan calon.

Trump memberi kenyataan yang amat dangkal di sepanjang kempennya. Rakaman di mana Trump menceritakan bagaimana beliau mudah sahaja meniduri wanita dikatakan mampu menamatkan peluang Trump, tetapi itu pun tidak menjadi.

Akhirnya, Trump menang juga kerana permainan politik identitinya terlalu kuat.

Begitu juga di Malaysia. Seperti penduduk kulit putih Kristian di Amerika, Melayu Islam yang menjadi majoriti di Malaysia disalah pupuk dengan perasaan mereka diancam (siege mentality). Dengan pemupukan mentaliti ini, mereka tidak percaya terhadap bangsa dan penganut agama lain.

Kita sering mendengar ahli politik menyatakan orang Melayu akan hilang tanah air mereka jika berhenti menyokong sesuatu parti itu. Perasaan takut sebegini menjadikan orang Melayu beremosi apabila berdepan dengan kombinasi identiti yang lain. Yang hairannya, walaupun mereka “tuan” negara sendiri dengan berpuluh institusi Melayu, mereka masih lagi dirudum kemiskinan!

Itulah politik identiti, laungan kuat tetapi kesannya kurang.

Berbalik kepada pemelukan Islam sehala. Kes paling dikenali ialah membabitkan seorang wanita beragama Hindu yang berkahwin dengan lelaki sama bangsa dan agama. Selepas dikurniakan 3 anak, suaminya memeluk Islam. Tiga anak mereka juga ditukar agama kepada Islam dengan hanya mengggunakan sijil beranak mereka.

Namun begitu, keputusan mahkamah berpihak kepada ibu di mana dia mendapat hak penjagaan anak bongsunya (kerana anak yang lain cukup umur).

Di sini, kita wajar bertanya, adakah lelaki tersebut memeluk Islam supaya dapat melibatkan mahkamah syariah yang sememangnya berpihak kepada dirinya?

Soalan ini tidak boleh diketahui jawapannya kerana niat adalah sesuatu yang tersorok. Mungkin niatnya baik iaitu dia betul-betul beriman dengan Islam dan ingin melihat anaknya menjejak langkahnya. Mungkin juga niatnya kurang baik iaitu menggunakan undang-undang Islam untuk kepentingan sendiri.

Namun, apakah dia perlu menggunakan liuk-lentur undang-undang Malaysia sebegitu untuk mendapatkan keputusan yang dikehendakinya? Dengan berbuat demikian, dia membawa implikasi negatif ke dalam kes ini.

Seperti yang disebut di atas, agama merupakan sebahagian politik bercorak identiti dan tiada parti yang lebih mahir daripada menggunakan politik sebegini daripada PAS.

Akhir-akhir ini, PAS berusaha memperkenalkan rang undang-undang (RUU) tajaan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang bakal memberi makhamah syariah kuasa berlipat ganda.

Rakyat ditipu ahli politik dengan mengatakan RUU ini bukanlah hukum hudud walaupun had hukumannya (seperti rotan 100 kali) merupakan hukuman hudud yang diketahui ramai.

Dalam pada itu, PAS mengancam wakil rakyat yang bukan Islam – jika mereka menghalang RUU ini, ia akan menghalang RUU yang bertujuan mereformasikan undang-undang berkenaan perkahwinan dan penceraian yang akan mengubah pemelukan Islam sehala.

Di sini kita patut bertanya, adakah PAS betul-betul berjuang untuk Islam atau mereka hanya menggunakan Islam untuk kepentingan sendiri?

Jika benar mereka memperjuangkan Islam dan pemelukan Islam sehala itu selari dengan nilai Islam, maka mereka tidak boleh menggunakan isu ini sebagai alat politik mereka.

Ataupun mereka tidak bersetuju dengan pemelukan Islam sehala? Jika begitu, mereka patut menyokong reformasi undang-undang berkenaan tidak kira sesiapa pun yang menghalangnya.

Tindakan PAS yang seperti lalang melondehkan politik mereka yang sebenar. Bukan politik Islam tetapi politik kepentingan parti.

Agama merupakan satu faktor identiti yang amat dekat kepada hati penganutnya. Maka ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan sendiri dan membalas dendam kepada orang yang dimusuhi.

Yang sebaiknya, kita perlu menggubal undang-undang supaya perkara ini tidak berlaku demi keharmonian negara.