Kabinet bayangan bukan sekadar gambar dan nama

kabinet-bayangan

Oleh Mohammad Fakhrurrazi Rashid

Setiap kali pilihan raya umum (PRU), penubuhan kabinet bayangan diketengahkan dalam ruang awam.

Di Malaysia, desakan dan tuntutan menubuhkan kabinet bayangan ditujukan kepada parti pembangkang dengan hujah rakyat mahukan satu “bayangan” atau “kerajaan alternatif” untuk menggantikan parti pemerintah.

Jelas, kabinet bayangan ini mempunyai pengaruh dan kepentingan dalam membantu rakyat memilih kepimpinan negara.

Hakikatnya, institusi kabinet bayangan di Malaysia masih tidak terlaksana dan kefahaman orang awam mengenai institusi masih di peringkat awal. Walaupun terdapat saranan supaya pihak pembangkang Malaysia menubuhkannya, tetapi usaha ini tidak pernah difahami dari segi kerangka dan fungsi sebenar kabinet bayangan.

Tidak dinafikan terdapat cabaran dan kekangan yang perlu dilihat dalam penubuhan kabinet bayangan di Malaysia. Justeru cabaran penubuhan kabinet bayangan ini perlu dibincangkan supaya penubuhannya bukan atas dasar nama “politik”.

Persoalannya, adakah ini masa terbaik kabinet bayangan ditubuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) di saat akhir sebelum PRU 14?

Bila waktu terbaik?

Negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen Westminster memberi ruang kepada parti pembangkang menubuhkan kabinet bayangan di Parlimen. Parti pembangkang yang mempunyai kerusi kedua tertinggi diberikan penghormatan menubuhkan kabinet bayangan.

Kabinet bayangan kebiasaannya ditubuhkan selepas PRU selesai dilaksanakan. Tujuannya adalah untuk memastikan kabinet bayangan ini menjadi “daya” tekan kepada kerajaan yang sedia ada di Parlimen.

Di Britain, Ed Milliband, ketua pembangkang daripada parti Buruh, memilih menteri bayangan selepas PRU pada 2010 selesai.

Berbeza di Malaysia, kabinet bayangan dipersoalkan sebelum tiba PRU. Perkara ini bertentangan dengan amalan negara demokrasi berparlimen yang lain seperti di Britain dan Australia yang mengumumkan kabinet bayangan seawal selepas PRU.

Kelewatan penubuhan kabinet bayangan di Malaysia menyebabkan rakyat hanya mampu meneliti senarai kabinet bayangan sahaja yang tertera gambar dan nama sahaja. Perkara ini tidak berbaloi kerana rakyat tidak mengetahui kemampuan dan kebolehan kepimpinan tersebut menjadi seorang menteri.

Jelas sekali, amalan dan kefahaman untuk menubuhkan kabinet bayangan dalam kalangan pemimpin parti politik dan rakyat di Malaysia kurang tepat. Tidak seharusnya kabinet bayangan ini dipersoalkan ketika bahang PRU kian tiba.

Pengumuman kabinet bayangan daripada parti pembangkang di saat akhir sebelum PRU akan membuka ruang isu ini “dipolitkkan”.

Kritikan Datuk Seri Salleh Said Keruak akan kegagalan parti pembangkang menubuhkan kabinet bayangan hampir 26 tahun merupakan satu contoh terbaik isu penubuhan kabinet bayangan ini dipolitikkan. Beliau sepatutnya membahaskan isu ini seawal mengkin, iaitu ketika Barisan Nasional (BN) mengumumkan senarai jemaah menteri selepas memenang PRU 2013.

Lebih parah lagi parti pembangkang, kini Pakatan Harapan (PH), gagal mengumumkan kabinet bayangan selepas pembentukannya pada 2015. Ketiadaan kabinet bayangan PH memberi laluan mudah BN mempolitikkan isu dan mengambil kesempatan menjatuhkan moral rakyat untuk memilih PH dalam PRU.

Oleh itu, masa terbaik penubuhan kabinet bayangan seawal selepas sesuatu PRU. Penubuhan awal ini memberi peluang kepada parti pembangkang membuktikan mereka berkebolehan menjadi menteri di parlimen dan meyakinkan pengundi memilih mereka pada PRU akan datang.

Maka, penubuhan awal kabinet bayangan memberi satu alternatif terbaik rakyat menukar kerajaan secara demokratik.

Menteri bayangan berdasarkan reputasi

Amalan menubuhkan kabinet bayangan bukan bersifat untuk menunjuk nama dan gambar semata-mata, tetapi ia lebih daripada senarai nama figura parti pembangkang dan kedudukan mereka dalam parti.

Kabinet bayangan yang dibentuk oleh parti pembangkang seawal selesai PRU mempunyai tempoh sekurang-kurangnya 4 tahun untuk membuktikan potensi mereka. Tempoh tersebut perlu digunakan oleh menteri bayangan untuk membuktikan mereka mampu membuat sesuatu yang lebih baik daripada menteri kabinet kerajaan.

Rakyat juga dapat menilai secara dekat akan kebolehan parti pembangkang sepanjang tempoh tersebut.

Wakil rakyat pembangkang yang dilantik menjadi menteri bayangan perlu bersaing dengan menteri kabinet kerajaan dari segi perbahasan dasar dan tanggungjawab kementerian di parlimen. Wakil rakyat pembangkang juga akan didedahkan dengan satu disiplin dan prinsip tanggungjawab bersama seperti menteri kabinet. Malah, mereka akan didedahkan dengan kerja kementerian yang dipertanggungjawabkan.

Tidak dinafikan, PH mempunyai pemimpin yang berwibawa seperti Rafizi Ramli, Wong Chen, Liew Chin Tong, Zairil Khir Johari dan Nurul Izzah Anwar yang berjaya membahaskan dasar dengan baik di Dewan Rakyat.

Namun, perkara ini tidak mampu dinilai kerana mereka tidak mempunyai portfolio kementerian yang jelas di Dewan Rakyat. Menilai potensi mereka secara umum dan jumlah pembongkaran skandal dan rasuah tidak memberi impak dalam menekan menteri kabinet kerajaan.

Jika PH menubuhkan kabinet bayangan yang berkualiti seawal mungkin, maka tentunya menteri kabinet BN yang tidak berpotensi berada dalam keadaan tidak selesa kerana rakyat mempunyai menteri bayangan sebagai alternatif terbaik menggantikan kerajaan yang gagal membawa harapan rakyat.

Itulah peranan kabinet bayangan yang difikir remeh, tetapi jika dilaksanakan akan mendatangkan perubahan yang matang dalam sistem pemerintahan Malaysia.

Kesanggupan politik

Hanya satu perkara yang diperlukan untuk penubuhan kabinet bayangan iaitu kesanggupan politik daripada PH. Dari sudut yang berbeza, usaha keras dan bersungguh-sungguh PH untuk menubuhkan kabinet bayangan dapat membuktikan kesepakatan parti PH menerajui pemerintahan negara.

Tidak berbaloi sekiranya PH dan rakyat hanya mahukan perdana menteri “interim” sahaja kerana nadi kedaulatan Malaysia bergantung penuh kepada sebuah pentadbiran dan menteri yang bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

Justeru, usaha PH menubuhkan kabinet bayangan agak lewat, iaitu ketika PRU 14 semakin hampir. Penubuhannya perlu disertakan dengan stratergi yang terbaik supaya rakyat yakin akan kemampuan kabinet bayang PH menerajui negara sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Kesanggupan politik ini juga terletak kepada kerajaan BN. Pengiktirafan kabinet bayangan pembangkang di Parlimen perlu disambut oleh BN selaras dengan nilai meraikan perbezaan dalam sebuah negara demokrasi.

Sekiranya PH sanggup menubuhkan kabinet bayangan, maka BN tidak perlu “mempolitikkan” isu ini dengan menilai menteri bayangan yang dipilih berasakan kanta etnik. Mereka harus melihat menteri bayangan PH sebagai persaingan yang sihat dan perlu menunjukkan prestasi terbaik melalui dasar, bukan kenyataan dan jawapan yang sering mengecewakan rakyat.

Mohammad Fakhrurrazi Rashid seorang pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.