Isu air tak selesai walau Jamal Yunos tak berbaju

jamal

Pagi semalam, kecoh bertambah kecoh. Si pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos muncul lagi. Kali ini tiada baju merah, malah tidak berbaju langsung.

Sehari dua lalu, dari tandas di rumahnya, dia bergambar tanpa baju dan memuat naiknya ke media sosial. Sehinggalah semalam dengan hanya bertuala mandi, berus gigi terselit di celah telinga, membawa segayung kelengkapan mandian, dia membentak-bentak di depan Bangunan SUK Selangor di Shah Alam.

Itu cara dia tunjuk protes terhadap rasa marahnya kepada pemerintah Selangor susulan masalah bekalan air. Sampai begitu sekali, sanggup dia separuh bogel di khalayak ramai.

Bila bekalan air terputus melibatkan kira-kira 3.9 juta pengguna di Selangor dan sebahagian Kuala Lumpur minggu ini, adakah pihak berkuasa terutama wakil rakyat benar-benar simpati kepada rakyat yang sedang menjeruk rasa sakit hati ini?

Atau adakah mereka hanya mengambil kesempatan, bak kata orang, menangguk di air yang sedia keruh atau tambahkan garam di luka berdarah?

Seperti kelakuan Jamal itu, adakah benar dia betul-betul marah sebab tak dapat mandi kerana bekalan air putus? Orang ramai tak sebodoh itu rasanya, tak kan kami tidak terfikir yang orang berada seperti Jamal, mustahil tak mampu cari tempat untuk mandi dengan selesa. Banyak lagi hotel di Lembah Klang ini tidak terlibat dengan zon gangguan air.

Atau pun, apa yang si Baju Merah itu buat semalam, mungkin hanya gimik yang memberikan nilai tambah dan kelebihan politik kepada dirinya, dan diulang hanya untuk dirinya.

Bekalan air pada masa ini masih terputus di kebanyakan kawasan di Selangor termasuk di Gombak, Rawang, Klang, Ampang, Cheras dan banyak lagi seperti di TTDI, Kuala Selangor dan Sungai Penchala.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) kata tindakan itu terpaksa diambil susulan kerja senggara pencawang masuk utama (PMU) Bukit Badok – yang membekalkan elektrik kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor, bagi mengelakkan kerosakan pada peralatan dan gangguan lebih serius pada masa depan.

Lazimnya bila berlaku kejadian putus bekalan air – yang sebenarnya sudah jadi seperti fenomena biasa di negara ini terutama di Selangor – rintihan orang ramai terpampang di media.

Gambar orang tua atau kanak-kanak menunggu lori air atau mengangkat baldi sambil naik tangga tinggi meraih simpati dan geram dalam hati orang yang melihatnya.

Tetapi kali ini, bukan saja gambar seperti itu disiarkan di media, tetapi ada sesuatu di luar kebiasaan apabila media jadi medan orang politik tuding jari, dia salahkan dia, pihak itu salahkan pihak ini pula.

Ketika awal pengumuman, pihak kerajaan Selangor seolah-olah menunjukkan masalah itu berpunca daripada TNB, kononnya TNB sengaja hendak buat kerja menjelang sambutan Krismas, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang dikawal kerajaan pusat, meluluskannya.

Pembangkang iaitu PKR dan DAP cuba membayangkan masalah bekalan air kali ini adalah tindakan kerajaan pusat sedang mensabotaj Selangor. Malah, PKR/DAP sampai pada peringkat berjanji kononnya “sifar gangguan air” selepas ini, di bawah pentadbiran mereka nanti.

Di media arus perdana pula, berdendanglah ahli politik parti pemerintah mengutuk kerajaan Selangor, habis menteri besarnya terkena, kononnya gagal mentadbir urusan bekalan air hingga yang menerima akibatnya ialah rakyat jelata.

Maka, apa tempiasnya semua ini – tindakan Jamal, ahli politik pembangkang dan kerajaan saling bertingkah, pihak berkuasa saling menyalahkan – kepada jutaan “orang biasa” di Lembah Klang yang masih tidak ada air di pili rumah mereka?

Rakyat tetap bergelut untuk mengatasi masalah bekalan air, kan?

Masih tetap terpaksa berusaha untuk kekal “survive” ketika berdepan dengan satu lagi ujian.

Bila agaknya wakil rakyat di Malaysia, sama ada pembangkang atau kerajaan, akan benar-benar ambil kisah, pedulikan kesengsaraan rakyat, bukan sekadar tunjuk wayang simpati, tetapi sebenarnya hanya berlakon.

Air bersih ialah asas untuk kehidupan sihat manusia dan menurut www.worldwildlife.org, 1.1 bilion manusia kekurangan akses mendapatkannya. Sementara 2.7 bilion manusia di dunia mengalami masalah kekurangan air sekurang-kurangnya 30 hari dalam setiap tahun.

Menjelang 2025, dua pertiga daripada populasi manusia di dunia ini mungkin berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Wakil rakyat, sila ambil kisah. Tolong jangan jadikan rakyat Malaysia sebahagian daripada statistik malang itu.