Dari Rakhine ke Aleppo, harapan kami penganut Kristian

Dari Rakhine ke Aleppo, harapan kami penganut Kristian

Doa dipanjatkan menerusi upacara berbeza, tetapi ia mengiringi jiwa setiap insan di Rakhine, Gaza, Aleppo dan manusia yang terkesan konflik tidak kira agama.

aleppo

Oleh Nickolas Pius Matu

Menuju penghujung 2016, dunia nampaknya semakin suram disebabkan konflik, tidak kurang juga berita panas yang turut melanda Malaysia, menggegar dan menggerunkan sanubari setiap manusia yang peka dan prihatin.

Usai sudah sambutan Hari Natal penuh rahmat, tetapi disurami dengan malapetaka bas dan kehilangan nyawa di sudut selatan tanah air. Sebak hati, kelu lidah bila mendengarnya. Tapi apakan daya, Tuhan lebih menyayangi mereka.

Ya, teringat juga, kegembiraan kami tidaklah sampai ke tahap maksima sampai kami lupa ada umat lain yang berdukacita tatkala kami merayakan pesta besar sempena kelahiran juruselamat kami.

Ya, kami tidak lupa, dan kami juga tidak akan pernah lupa, akan setiap umat yang menderita, setiap jiwa yang diseksa, setiap susuk yang diperkosa, setiap maut yang direncana di Rakhine, Gaza dan Aleppo serta di mana-mana saja di seluruh penjuru dunia.

Nama mereka yang hidup huru hara dititipkan di dalam doa kami agar pada akhirnya menemui cahaya di penghujung terowong kegelapan, yang dicipta oleh rejim rakus durjana yang hidupnya diabdikan hanya pada kuasa dan kemegahan sementara.

Ya, kami masyarakat Kristian dan bukan Islam yang lain, turut terkesan akan penderitaan dan penindasan yang dialami oleh masyarakat di sana. Melainkan berita tentang keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang meluluskan resolusi bagi menggesa pemberhentian pembinaan penempatan haram penduduk Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, yang selebihnya hanyalah cerita yang mengayat dan merobek hati kecil ini, meskipun kebanyakan yang menderita bukanlah sama kepercayan dan amalan agamanya.

Kami juga punya hati dan perasaan, rasa belas kasihan dan simpati tidak pernah kenal erti agama serta bangsa.

Kami kental berdiri, teguh mempertahankan nilai kemanusiaan serta bersolidariti bersama rakan Islam di luar sana, memanjatkan doa dan harapan agar keadaan mampu dipulihkan seperti sedia kala menuju ke tahun yang seterusnya.

Mungkin juga solidariti kami lebih ikhlas dan bermakna, meskipun diungkapkan tanpa liputan media arus perdana, dan jauh bezanya daripada Himpunan Solidariti Ummah oleh puak yang kononnya pejuang bangsa dan agama, yang gayanya hanya seolah-olah tidak lebih daripada mengeksploitasi situasi di zon konflik demi meraih keuntungan dan kesepaduan politik.

Mungkin juga, lain kali, di kemudian hari himpunan yang harus kita laksanakan adalah berbunyi “Himpunan Solidariti Malaysia bersama Rohingya”, yang mana semua rakyat Malaysia tidak kira status sosial, etnik atau agama bersama-sama mendoakan keamanan, dan memperingati mangsa tragedi, sama seperti yang dilakukan tatkala kita berduka akan kehilangan pesawat MH370 dan malapetaka MH17 beberapa tahun lalu.

Mungkin juga pendekatan bertafakur sebegitu lebih menyeluruh dan mampu menggembleng setiap jiwa dan raga di Malaysia untuk turut merasakan denyut nadi yang sama.

Mungkin juga kita harus melihat sesuatu itu daripada perspektif kemanusiaan secara keseluruhannya, dan bukan menyempitkannya hanya kepada sentimen kaum dan agama sahaja.

Sesungguhnya nilai dan semangat kemanusiaan itu adalah lebih tinggi daripada mana-mana bangsa atau apa-apa agama yang ada di atas muka bumi ini.

Mungkin juga suatu masa nanti kita boleh mengatur perarakan “March to Aleppo” seperti yang diusahakan dan diketuai oleh wartawan Jerman, Anna Alboth. Segalanya masih berkisar pada persoalan tentang mungkin.

Bedilan bom dan peluru di Gaza, jeritan tidak bermaya di Aleppo, dan tangisan tiada kesudahan di Rakhine meresap ke seluruh jiwa raga kami rakyat biasa, mencanai rasa takut dan gundah gulana.

Kami positif, optimis tetapi berjaga-jaga kerana kami tahu dan sedar keindahan sesebuah negara yang damai dan harmoni tidak tercipta hanya dengan kata-kata, dan sama juga tidak akan dapat dipertahankan seandainya prinsip rukun negara tidak dijunjung sepenuhnya.

Kami berharap agar barisan pentadbiran dan wakil rakyat benar-benar mampu terus memerintah dengan penuh keadilan dan kesaksamaan, agar ungkapan 1Malaysia tidaklah hanya retorik semata, tetapi sewajarnya dilaksanakan sepenuhnya sebagai peniup semangat kerjasama dan persahabatan sesama insan, masyarakat berbilang kaum dan berlainan agama, agar segala detik bahagia yang dinikmati bersama-sama rakan dan keluarga tidak diragut dari bumi kita, seperti yang berlaku di bumi Rakhine, Gaza dan Aleppo.

Sesungguhnya kami juga sentiasa berharap dan berdoa agar pemimpin kita berhenti bersikap hipokrit tetapi sebaliknya terus berusaha “mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian” serta sentiasa berusaha mengangkat martabat setiap komuniti dan segenap lapisan masyarakat agar kita tetap selamanya selesa menunaikan kewajipan agama dan berasa bahagia semasa meraikan pelbagai pesta atau sambutan penuh warna tanpa berlakunya pecah belah dan huru hara, seperti mana yang terjadi dan berlaku di bumi Myanmar, Palestin dan Syria.

Dan kami juga cakna bahawa penderitaan dan kesengsaraan manusia tidak berdosa di Rakhine, Gaza dan Aleppo adalah bermula daripada pembangkitan elemen kemazhaban dan kebencian agama, yang diatur dengan liciknya oleh pihak durjana demi memperkukuh hegemoni politik dan ekonomi semata.

Kami percaya rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri terletak pada perpaduan dan semangat kekitaan, tidak mengira kaum, agama dan bangsa kerana kami dan anda adalah sekeluarga dan saling bersaudara.

Bersatulah kita agar masa depan, keamanan dan kesejahteraan kita tidak diperkuda, seperti mana yang dialami dan dilalui oleh saudara-saudara kita di Rakhine, Gaza dan Aleppo.

Doa semua, meskipun dipanjatkan menerusi upacara yang berbeza, tetap bersatu mengiringi jiwa dan raga setiap insan di Rakhine, Gaza dan Aleppo dan juga untuk keharmonian negara yang lebih jitu di tahun yang mendatang.

Selamat menuju ke tahun 2017! Tahun penuh harapan dan harap juga perubahan.

* Nickolas Pius Matu seorang pelajar Universiti Putra Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.