Orang gaji atau taska, apa pilihan ibu bapa?

TaskaKedatangan tahun baharu ini yang menjejaki usia 5 hari ini disambut dengan pelbagai kegetiran di kalangan rakyat negara ini, bermula daripada malam tahun baharu iaitu dengan pengumuman kenaikan harga minyak hinggalah kepada bencana banjir di Pantai Timur.

Ia ditambah lagi dengan pengumuman kerajaan mengenakan levi 20% pekerja asing kepada majikan dan pengumuman kenaikan harga yuran tadika dan taska antara 20% dan 50%.

Terlalu awal dirumuskan 2017 ini tahun yang tidak “best” untuk rakyat Malaysia, tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan masyarakat negara ini dalam diam, kerana jika mengeluh tiada guna, terlebih mengeluh mungkin “ke dalam”.

Menyentuh mengenai kenaikan yuran taska dan tadika yang diumumkan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, isu ini sebenarnya menghantui majoriti keluarga di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Semuanya terkesan tidak kira warna kulit, agama atau pekerjaan dan menghairankan, kerajaan seakan tidak mempunyai jawapan paling berkesan menangani isu ini, selain hanya pandai bermain retorik di media.

Suatu ketika dulu, ada menteri yang mahu memperkenalkan pengurus rumah tangga domestik bagi mengelakkan kebergantungan kepada pembantu rumah asing yang majoritinya dari Indonesia.

Namun rupanya, ia hanya sekadar kata-kata kosong bagi mencantikkan akhbar dan memberikan harapan palsu kepada rakyat dan kini, ia hanya tinggal cadangan.

Sama ada kerajaan sedar atau tidak, ibu bapa yang bekerja sepenuh masa dan mempunyai anak terpaksa bergantung kepada 2 pilihan iaitu menghantar anak ke taska atau menggaji pembantu rumah asing.

Dan kedua-dua pilihan ini, mempunyai pro dan kontra masing-masing tetapi yang pasti ia memerlukan wang yang besar sekali gus terus menghimpit kewangan seisi keluarga dalam keadaan ekonomi meleset dan kenaikan harga barangan.

Memang benar, kerajaan menggalakkan majikan menyediakan taska di tempat kerja tetapi berapa ramai majikan yang mampu berbuat demikian dan faktor lain turut perlu diberikan perhatian seperti jarak tempat tinggal dan sekolah.

Dengan urusan mendapatkan pembantu rumah asing semakin sukar dan mahal, ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain kecuali menghantar anak ke taska dan jika seorang anak, ibu bapa terpaksa mengeluarkan belanja secara purata RM350, bagaimana pula jika mereka mempunyai 2 atau 3 atau lebih anak?

Ia menyebabkan mereka terpaksa beralih alternatif kepada pembantu rumah dan atas sebab itu, ada yang tidak kisah mengeluarkan wang lebih hingga mencecah puluhan ribuan ringgit.

Namun, majoriti keluarga yang mendapatkan pembantu rumah terpaksa berdepan dengan pelbagai isu antaranya, pembantu rumah melarikan diri.

Di sinilah kerajaan gagal memainkan peranan yang berkesan dalam memberikan perlindungan kepada rakyat terutamanya keluarga muda yang berpendapatan sederhana untuk mendapatkan nilai terbaik sama ada bagi mendapatkan pembantu rumah atau perkhidmatan taska/tadika kepada anak mereka.

Tidak dapat dinafikan ibu bapa tidak boleh terus bergantung kepada kerajaan dalam menguruskan rumah tangga mereka tetapi sebagai kerajaan bertanggungjawab, pemimpin perlu menyedari dasar yang dibuat perlu seiring dengan kemahuan rakyat.

Cadangan menyediakan geran kepada taska atau tadika bagi mengurangkan kos yuran adalah sesuatu yang wajar dipertimbangkan dan kerajaan juga perlu memikirkan kaedah terbaik bagi mendapatkan pembantu rumah untuk keluarga.

Mungkin kerajaan boleh menyediakan rebat dalam bentuk cukai pendapatan kepada keluarga yang mempunyai lebih 3 anak tetapi perlu mendapatkan khidmat pembantu rumah atau taska bagi membesarkan anak.

Yang pasti kerajaan yang bertanggungjawab perlu memikirkan keseluruhan aspek kehidupan rakyat bukan sekadar menyediakan material semata-mata dengan berbangga terhadap aspek infrastruktur saja tetapi gagal menyediakan perlindungan dalam aspek rohaniah untuk ibu bapa membesarkan anak mereka.