Rukun Negara ideologi tangkis ekstremisme

rukunnegara

Oleh Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid

Kemajmukan masyarakat yang berbilang agama dan etnik menjadi lambang keunikan Malaysia di pentas dunia. Malaysia diangkat sebagai sebuah negara yang menganjurkan toleransi dan modenisasi dalam kalangan negara jiran.

Justeru, pandangan positif ini harus menjadi tunjang penting bagi Malaysia mengekalkan kestabilan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Namun, akhir-akhir ini, timbul beberapa perkara menguji tahap keharmonian dan perpaduan Malaysia. Tingkah laku dan pemikiran yang dikenali sebagai ekstremisme amat membimbangkan. Ekstremisme boleh ditakrifkan sebagai sesuatu perbuatan dan pemikiran yang melampau. Walaupun ekstrimisme selalu digandingkan dengan bibit-bibit keganasan, tetapi ia tidak boleh dipandang dari satu bahagian kerana tingkah laku ekstrimis juga wujud dalam ruang politik dan agama.

Kerencaman pendapat dalam politik dan agama di Malaysia merupakan salah satu faktor yang membawa kepada konflik yang tidak berkesudahan. Hampir 60 tahun negara ini menggapai kebebasan, namun ia tidak menjamin negara ini bersih daripada pemikiran ekstrimis.

Harus ada mekanisme yang perlu membatasi ekstrimis supaya kematangan dalam ruang demokrasi dan menangkis fahaman kebencian serta ketakutan dapat diwujudkan dalam jiwa masyarakat Malaysia.

Rukun Negara perlu menjadi pendekatan penting membasmi fahaman pelampau ekstrimis. Ideologi negara dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara harus menjadi garis panduan rakyat Malaysia dalam menggunakan ruang politik dan agama secara berhikmah. Justeru, persoalan timbul tentang sejauh mana Rukun Negara dapat mencegah pemikiran ekstrimis dalam sudut politik dan keagamaan di Malaysia.

Rukun Negara Paksi Kestabilan Nasional

Ideologi Rukun Negara diwujudkan selepas negara ini diasak dengan peristiwa yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia. Lahirnya Rukun Negara ini pada tahun 1970 merupakan satu permulaan baru untuk Malaysia ke arah lebih stabil dan matang dalam semua sudut, khususnya dalam aspek politik, hubungan etnik dan agama.
Lima prinsip Rukun Negara jelas menggambarkan keutamaan meletakkan kepentingan nasional dalam amalan kenegaraan.

Pertama, Rukun Negara dapat memupuk erti kematangan dan menangkis ekstrimis politik. Perbezaan pandangan dalam politik di Malaysia seharusnya tidak menjadi suatu beban, malah perlu diraikan. Prinsip Rukun Negara sendiri menganjurkan nilai kesopanan dan kesusilaan kepada setiap warganya. Malah, prinsip kelima ini sebenarnya membina satu budaya sivik dan matang dalam membincangkan sesuatu permasalahan masyarakat.

Namun, kewujudan golongan pelampau dalam mengetengahkan padangan politik ini telah mencemarkan ruang awam yang akhirnya dipimpin oleh perasaan takut dan kebencian. Contohnya, perdebatan mengenai Rang Undang-Undang 355 seharusnya berlandaskan kepada hikmah kepada rakyat Malaysia. Akibat polemik kefanatikan parti politik dan kumpulan yang tidak bersetuju, maka pindaan akta ini akhirnya membawa kepada kebencian antara satu dan yang lain.

Sedangkan, perkara tersebut hanyalah satu proses pindaan undang-undang yang sepatutnya dibahaskan secara rasional di Dewan Rakyat, bukan menimbulkan kebencian, salah faham dan konotasi kurang matang kepada orang awam. Jika adanya kesopanan aktor politik membincangkan sesuatu isu, seperti yang diterapkan Rukun Negara, maka unsur kebencian dapat dibendung dengan cermat.

Kedua, Rukun Negara juga merupakan paksi membebaskan negara daripada politik perkauman yang dibawa oleh parti politik, badan organisasi dan individu itu sendiri. Ekstrimis politik berlandaskan kaum ini masih menebal dalam pemikiran rakyat hasil daripada kegagalan pemimpin negara sendiri. Mereka yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat, dilihat menjadi pemecah keharmonian negara. Akibatnya, rakyat hanya melihat isu ini berlandaskan kumpulan yang disertai, bukan secara prinsip dan dasar.

Ulasan mengenai kepentingan rukun negara ini pernah diterangkan oleh Tun Dr Ismail, yang tercatat dalam buku The Reluctant Politician. Menurut beliau, prinsip Rukun Negara yang kelima itu menegaskan bahawa tiada siapa yang berhak bersikap angkuh dan memandang rendah sensitiviti kaum dan tiada siapa yang berhak mempersoalkan kesetiaan rakyat kepada negara.

Tidak mungkin seorang yang percaya kepada tuhan dan menjunjung perlembagaan bolos dalam menjaga kesejagatan etnik dan agama di Malaysia. Seperti firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hujurat ayat 49 yang menyebut tentang pentingnya komunikasi dan persaudaraan sesama manusia yang berbilang etnik.

Jelas bahawa pengertian sebenar Rukun Negara dapat menjadi wadah tarbiyah kepada pemimpin dan rakyat Malaysia supaya menolak pemikiran ekstrimis politik dan agama demi kestabilan negara terjamin. Pembasmian ekstrimis melalui ideologi Rukun Negara bakal meletakkan negara di bawah fasa stabil dan harmoni, melangkaui perbezaan fahaman kepartian dan agama.

Cabaran Rukun Negara

Walaupun ideologi nasional menerusi pengenalan Rukun Negara ini dilihat positif untuk menangkis pemikiran ekstrimis politik dan agama, tetapi ada juga pihak yang tidak bersetuju akan nilai yang dianjurkan oleh Rukun Negara semata-mata ia bercanggah dengan pemikiran politik mereka.

Justeru, perlu ada usaha murni dalam menimbulkan kefahaman sebenar ideologi Rukun Negara yang kian dilupakan rakyat Malaysia.

Dalam kerangka sekarang, begitu mustahak untuk rakyat Malaysia kembali berpegang kepada Rukun Negara sebagai amalan dan panduan kenegaraan demi kepentingan negara. Ia bersesuaian dengan maksud perkataan ‘rukun’ yang membawa maksud sesuatu yang wajib dipatuhi dan dilaksanakan. Jika rukun tidak dipatuhi oleh parti politik, pemimpin, agamawan dan rakyat, maka kesemuanya gagal menjaga kestabilan negara daripada fahaman ekstrimis, dan gagal dalam hidup dalam kenegaraan.

Rakyat juga perlu menjadi aktor penting dalam mendesak pemerintah, parti politik dan badan bukan kerajaan meletakkan ideologi nasional ini sebagai dasar utama dan matlamat mereka.

Perkara ini akan mendesak pemerintah dan parti politik menjadi lebih berintegriti dan tidak bersikap melampau dalam berpolitik. Ia juga mampu membaik pulih sistem demokrasi Malaysia yang kian dibebani dengan politik perkauman yang mundur.

Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid ialah pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.